Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong sanjung usaha Masjid Sultan jadi ‘pelita keharmonian’

Masagos: Masjid, yang rai ulang tahun ke-200, tunjukkan daya tahan Melayu/Islam S’pura dalam pelihara wakaf
Oct 26, 2024 | 9:54 PM
The Mi’raj Project menyampaikan persembahan qasidah di majlis jamuan  malam sambutan ulang tahun ke-200 Masjid Sultan di Hotel Park Royal di Beach Road pada 26 Oktober.
The Mi’raj Project menyampaikan persembahan qasidah di majlis jamuan malam sambutan ulang tahun ke-200 Masjid Sultan di Hotel Park Royal di Beach Road pada 26 Oktober. - Foto BM oleh IZWANDI AZMAN

Perdana Menteri Lawrence Wong menghargai usaha Masjid Sultan mengalu-alukan Muslim dari seluruh Singapura dan dunia serta pelawat daripada semua budaya dan kepercayaan, dan berharap masjid itu terus menjadi “pelita keharmonian”.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya melalui video yang ditayang pada permulaan majlis jamuan malam bagi menyambut ulang tahun ke-200 Masjid Sultan pada 26 Oktober.

Encik Wong berada di Apia, Samoa, dari 23 hingga 26 Oktober bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (Chogm).

Dalam ucapannya, Encik Wong berkata pada awal penubuhannya, Masjid Sultan menjadi titik pertemuan serantau yang penting bagi jemaah haji yang melalui Singapura untuk ke Tanah Suci.

“Ia kekal menjadi sebuah lambang kepercayaan kukuh hari ini, mengalu-alukan jemaah dari seluruh Singapura dan dunia. Masjid Sultan juga mengalu-alukan pelawat daripada semua budaya dan kepercayaan, menyediakan peluang bagi orang bukan Islam dan tetamu luar belajar tentang Singapura dan kedudukannya dalam sejarah Singapura.

“Usaha anda itu mengukuhkan pemahaman bersama kita sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama dan membolehkan kita maju sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu.

“Semoga Masjid Sultan terus menjadi pelita keharmonian bagi tahun-tahun mendatang,” kata Encik Wong, yang juga berkata Masjid Sultan terus berdiri di tengah-tengah Kampong Gelam dan menyaksikan kawasan itu berkembang.

Majlis itu diadakan di Hotel Park Royal di Beach Road dan dihadiri sekitar 400 pemimpin masyarakat Melayu/Islam.

Dalam ucapan beliau di majlis itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata Masjid Sultan menjadi lambang penting bagi masyarakat Melayu/Islam di Singapura sejak ia didirikan 200 tahun lalu, dan sebuah wakaf yang dipelihara sejak sekian lama.

Semasa ditemui media, beliau berkata Masjid Sultan ialah mercu tanda penting bagi masyarakat Melayu/Islam.

“Ia adalah sebuah wakaf yang telah lama berdiri, menunjukkan ketahanan masyarakat kita dalam menjaga wakaf yang ada.

“Saya harap kita sebagai masyarakat berasa gembira menyambut ulang tahun ini dan juga sering melawat kawasan Kampong Gelam kerana Masjid Sultan ialah satu mercu tanda yang sangat penting di sana,” ujar Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan.

“Orang Melayu/Islam suka ke Kampong Glam untuk bersantai dengan keluarga, (dan) membawa pelawat ke sana kerana mereka bangga dengan adanya Masjid Sultan yang tersergam indah selama 200 tahun,” katanya lagi.

Sementara itu, pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Sultan, Encik Abdul Salim Ahmed Ibrahim, berkongsi bahawa asjid itu akan menjalani kerja naik taraf pada 2025.

Bangunan tambahannya pula akan menjalani pembaikan, juga pada 2025, untuk dijadikan sebagai sebuah galeri warisan sebagai usaha menjadikan Masjid Sultan sebuah hab Islam.

Turut hadir di majlis itu ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Cik Denise Phua dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah; AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Sa’at Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan Pengarah Divisyen Pemuliharaan Tapak dan Monumen Lembaga Warisan Negara (NHB), Cik Jean Wee.

Acara majlis itu termasuk bacaan Al-Quran oleh Pegawai Agama Masjid Sultan, Ustaz Muhammad Zul Fadhli Bin Abdul Razak, dan Pegawai Dakwah Masjid Sultan, Ustaz Muhammad Bin Hassan, serta persembahan qasidah oleh The Mi’raj Project, dan persembahan muzik tradisional oleh Sri Mahligai.

Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-200 Masjid Sultan, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dan Ustaz Nuzhan Abdul Halim akan menyampaikan syarahan di masjid itu dari 7.15 malam hingga 10 malam pada 2 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg