Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan mengadakan lawatan ke Vientiane, Laos, dari 9 hingga 12 Oktober bagi Sidang Puncak Asean yang ke-44 dan ke-45 dan Sidang Puncak Berkaitan.
Ia merupakan Sidang Puncak Asean pertama yang dihadiri Encik Wong sebagai Perdana Menteri sejak menyandang jawatan itu pada Mei 2024, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada 8 Oktober.
Encik Wong akan menerajui delegasi Singapura di sidang tersebut.
Lawatan tersebut juga akan menyaksikan Encik Wong mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Laos, Dr Sonexay Siphandone.
Singapura dan Laos, yang merupakan pengerusi semasa Asean, menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2024.
Tema sempena jawatan pengerusi Asean Laos ialah, ‘Mempertingkat Keterhubungan dan Daya Ketahanan’ bagi mengetengahkan agenda substantif dan berpandangan ke hadapan Asean untuk meningkatkan perpaduan dan daya tahan rantau ini di tengah-tengah masalah geopolitik dan ekonomi.
Di sidang tersebut, pemimpin Asean akan menyemak usaha Pembangunan Masyarakat Asean dan membincangkan cara mewujudkan peluang bagi rakyat dan perniagaan, terutama dalam bidang pertumbuhan baru seperti ekonomi digital dan hijau.
Selain itu, mereka akan membincangkan cara memperkukuh peranan Asean dalam memupuk struktur rantau yang terbuka, terangkum dan stabil.
“Perdana Menteri Wong dan rakan-rakan sejawatnya akan membincangkan cara memperluaskan pendekatan Asean dengan pemimpin dunia di Sidang Asean Plus Three ke-27; Sidang Asia Timur ke-19; dan Sidang bersama Australia, Canada, China, India, Jepun, Korea Selatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Amerika Syarikat,” kata PMO dalam kenyataannya.
Menyusuli sidang tersebut, Encik Wong akan bertemu Dr Sonexay, yang kemudian akan mengadakan majlis jamuan malam rasmi untuk Encik Wong dan delegasi Singapura pada 11 Oktober.
Pada 12 Oktober, Encik Wong dan delegasinya akan bertemu Presiden Laos, Encik Thongloun Sisoulith.
Lawatan Encik Wong ke Laos adalah yang terkini dalam satu siri lawatan peringkat tinggi yang diadakan antara Singapura dengan Laos sejak beberapa tahun lalu.
Antara lain, semasa lawatan rasmi Dr Sonexay ke Singapura pada 9 Julai 2024, dua Memorandum Persefahaman (MOU) dalam kerjasama kredit karbon dan kerjasama pendidikan ditandatangani.
Sebelum itu, pada Januari 2024, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, melakukan lawatan rasmi ke Laos dan menghadiri Rahat Menteri Ehwal Luar Asean.
Beliau juga menghadiri Mesyuarat Menteri Ehwal Luar Asean pada Julai 2024.
Singapura dan Laos berkongsi hubungan dua hala kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk kerjasama teknikal, ekonomi hijau dan pertukaran antara rakyat.
Dalam kerjasama teknikal, lebih 16,500 pegawai Laos menyertai kursus Program Kerjasama Singapura sejak ia dimulakan pada 1992.
Antara lain, pemimpin kanan Laos turut mengunjungi Singapura di bawah program Zamil Pertukaran Lee Kuan Yew, termasuk Dr Sonexay pada 2016.
Dalam ekonomi hijau pula, dua negara ini saling meneroka peluang kerjasama.
Ini seperti pelancaran Fasa 2 Projek Penyepaduan Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) pada September 2024, di mana Singapura akan mengimport hingga 200 megawatt elektrik boleh diperbaharui dari Laos dan Malaysia melalui grid kuasa serantau itu.
Encik Wong akan ditemani isterinya, Cik Loo Tze Lui, dan juga Dr Balakrishnan, semasa lawatan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, akan menjadi Pemangku Perdana Menteri semasa ketiadaan Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg