Singapura dan Laos menandatangani satu perjanjian kredit karbon pada 9 Julai, membuka laluan bagi perdagangan dua hala dalam bidang baru ini dan sekali gus mengeratkan lagi jalinan persahabatan selama 50 tahun antara dua negara tersebut.
Persetujuan baru itu “membuka perbatasan baru kerjasama (dua hala)”, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa satu majlis jamuan tengah hari bagi meraikan Perdana Menteri Laos, Dr Sonexay Siphandone, sempena lawatan rasmi pertamanya ke Singapura sejak dilantik pada Disember 2022.
“Singapura tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengan Laos bagi memuktamadkan Perjanjian Pelaksanaan mengenai kerjasama kredit karbon secara sah, yang akan menghubungkan negara kita dengan cara yang saling menguntungkan,” kata Encik Wong ketika berucap kepada delegasi dari kedua-dua negara di acara yang berlangsung di hotel Conrad Centennial Singapura itu.
Perjanjian itu menetapkan rangka kerja dua hala untuk pemindahan antarabangsa kredit karbon yang diselaraskan sewajarnya, serta pertukaran amalan terbaik dan pengetahuan mengenai mekanisme pasaran karbon, kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Ia sejajar dengan Artikel 6 Persetujuan Paris, perjanjian antarabangsa mengenai perubahan iklim yang diterima pakai pada 2015.
Artikel itu membolehkan negara bekerjasama untuk mencapai sasaran pelepasan dan menangani perubahan iklim, sambil turut membuka kunci kepada sokongan kewangan untuk negara membangun.
“Ia akan membantu kami mencapai sasaran iklim kami, memudahkan pelaburan, mencipta pekerjaan, mempromosikan pembangunan mampan, dan menggalak penggunaan teknologi bersih,” kata Encik Wong.
Dr Sonexay berada di Singapura selama sehari.
Awal hari itu, kehadiran beliau disambut secara istiadat negara oleh Encik Wong di Bangunan Parlimen – berbanding di Istana, tempat lawatan rasmi lazimnya diraikan – kerana sebahagian daripada Istana sedang menjalani kerja pemulihan besar-besaran.
Di Bangunan Parlimen, dua perdana menteri itu menyaksikan penandatangan Memorandum persefahaman (MOU) berkaitan kerjasama kredit karbon oleh Menteri Kemampanan dan Persekitaran, Cik Grace Fu, dan Menteri Sumber Semula Jadi dan Persekitaran Laos, Cik Bounkham Vorachit.
Dua negara ini juga bekerjasama dalam cara lain untuk ekonomi hijau.
Pada Jun 2022, Singapura mula mengimport hingga 100 megawatt tenaga kuasa hidro boleh diperbaharui dari Laos – salah satu pengeksport tenaga kuasa hidro terbesar di Asia – menerusi Thailand dan Malaysia melalui sambungan yang sedia ada.
Ini adalah usaha rentas negara yang dipanggil Projek Integrasi Kuasa Republik Demokratik Rakyat Lao-Thailand-Malaysia-Singapura, atau LTMS-PIP.
Projek itu juga akan membina asas bagi Grid Kuasa Asean, yang akan memperdalam ketersambungan tenaga dalam rantau ini, dan mengukuhkan daya tahan tenaga di rantau ini, kata Encik Wong.
Beliau menambah bahawa kerjasama mengenai tenaga boleh diperbaharui sebegini adalah contoh cara negara-negara boleh “menterjemahkan cabaran geografi kepada peluang yang saling menguntungkan”.
“Kami menantikan peningkatan dan pengembangan LTMS-PIP ke fasa kedua, yang juga akan sejajar dengan rancangan Laos untuk menjadi ‘Bateri Asean’,” kata Encik Wong.
Dalam ucapan beliau pada majlis itu, Dr Sonexay menegaskan komitmen Laos terhadap hubungan bersama kededua negara, yang menurutnya, “telah dipupuk dan dihargai oleh pendahulu kita sejak 50 tahun lalu”.
Beliau berkata kedua-dua negara bersetuju untuk terus memperkukuh kerjasama dalam bidang termasuk mempromosikan tenaga bersih di bawah LTMS-PIP.
Beliau berkata Laos juga akan memudahkan pengembangan grid kuasa untuk membekalkan tenaga kepada Singapura dan memastikan keselamatan tenaga.
Secara berasingan, MOU mengenai kerjasama pendidikan yang pertama kali ditandatangani pada 2018 turut diperbaharui di Bangunan Parlimen.
MOU yang ditandatangani oleh Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, dan Menteri Pendidikan dan Sukan Laos, Encik Phout Simmalavong, itu meningkatkan kerjasama dalam bidang seperti pertukaran pelajar, pertukaran maklumat dan amalan terbaik, serta peluang biasiswa akademik.
Pada 2024, Singapura meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala dengan Laos, pengerusi semasa Asean.
Dr Sonexay turut bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, di Istana pada 9 Julai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg