Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong lawat Qatar, UAE pada 18-22 Okt; pertama sejak jadi PM
PM Wong lawat Qatar, UAE pada 18-22 Okt; pertama sejak jadi PM
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan mengadakan lawatan rasmi ke Qatar dari 18 hingga 20 Oktober, dan ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) dari 20 hingga 22 Oktober.
Ini merupakan lawatan sulung Encik Wong ke Timur Tengah sebagai Perdana Menteri, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 17 Oktober.
Lawatan beliau berlangsung atas jemputan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, dan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
“Lawatan tersebut akan memberi peluang tepat pada masanya kepada Singapura untuk bertukar pandangan dengan pemimpin serantau mengenai perkembangan di Timur Tengah, mengesahkan semula sokongan terhadap dialog dan diplomasi, serta memperkukuh kerjasama dengan Qatar dan UAE dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama, khususnya keselamatan tenaga dan daya tahan ekonomi,” kata PMO.
Di Qatar, Encik Wong akan mengadakan pertemuan bersama Amir Qatar.
Kededua pemimpin akan mempengerusikan bersama Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi Singapura-Qatar (HLJC) kesembilan, yang merupakan platform utama bagi memajukan kerjasama antara Qatar dengan Singapura.
Selain itu, Encik Wong akan bertemu dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.
Encik Wong dijangka turut melawat Abu Dhabi dan Dubai di UAE.
Di Abu Dhabi, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Sheikh Mohamed yang juga Amir Abu Dhabi; dan Putera Mahkota Abu Dhabi, merangkap Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi, Putera Mahkota Sheikh Khaled Bin Mohamed Bin Zayed Al Nahyan.
Encik Wong juga dijadual bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan merangkap Timbalan Pemerintah Dubai, Sheikh Maktoum Bin Mohamed Bin Rashid Al Maktoum, di Dubai.
Sementara itu, Encik Wong bakal bertemu dengan rakyat Singapura yang berada di luar negara dalam majlis jamuan di Doha dan Dubai.
Dalam lawatan tersebut, Encik Wong akan disertai isterinya, dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng; dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Selain itu, pegawai daripada PMO, Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan dan Kementerian Ehwal Luar juga akan menyertainya.
Sepanjang ketiadaan Encik Wong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), Encik Gan Kim Yong, akan menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Perdana Menteri.