Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan membuat lawatan rasmi ke Timor-Leste dari 2 hingga 3 Julai.

Ini kali pertama Perdana Menteri Singapura mengadakan lawatan ke negara termuda Asia Tenggara itu yang mencapai kemerdekaan pada 2002, dengan kedua-dua negara bakal mewujudkan rangka kerja kerjasama dua hala.

Lawatan beliau merupakan timbal balas kepada lawatan Perdana Menteri Timor-Leste, Encik Xanana Gusmao, ke Singapura pada Julai 2025, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada 1 Julai.

Beliau akan bertemu dengan Presiden Timor-Leste, Encik Jose Ramos-Horta, yang mengunjungi Singapura pada Mei bagi menyampaikan ucapan khas sempena Dialog Shangri-La ke-23.

PMO menyatakan bahawa Presiden Ramos-Horta akan menganugerahkan Darjah Kebesaran Timor-Leste (Grand Collar) kepada Encik Wong.

Anugerah ini mengiktiraf sumbangan Singapura kepada pembangunan Timor-Leste dan sokongan untuk keanggotaan dalam Asean.

Timor-Leste menjadi negara anggota ke-11 Asean secara rasmi pada 26 Oktober 2025, selepas ia pertama kali membuat permohonan bagi keanggotaan tersebut pada 2011 dan menggalas status pemerhati pada 2022.

Encik Wong juga akan bertemu dengan Encik Gusmao, dengan kedua-dua pemimpin bakal menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) tentang penubuhan perundingan dua hala. Mereka juga akan mengadakan sidang akhbar bersama.

Encik Gusmao juga akan menjamu Encik Wong untuk jamuan tengah hari.

Dalam lawatan ini, Encik Wong akan ditemani isterinya, di samping Menteri Ehwal Luar, Encik Vivian Balakrishnan, dan pegawai PMO serta Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Beliau akan turut bertemu rakyat Singapura yang menetap di Timor-Leste – sekitar 50 hingga 60 rakyat Singapura menetap di sana – dalam satu majlis jamuan di ibu kotanya, Dili.

Hubungan dua hala antara Singapura dengan Timor-Leste berkembang dengan stabil sejak kebelakangan ini, dengan penubuhan kedutaan residen Singapura di Dili pada April 2024 dan pelantikan duta residen pertama ke bandar itu pada April 2026.

Sebagai salah satu negara pertama yang menyumbang kepada Pasukan Antarabangsa Timor-Leste pada Ogos 1999, Singapura telah mengerahkan lebih 1,000 anggota tentera.

Ini termasuk pasukan perubatan, pengamanan, dan peralatan seperti kereta kebal pendaratan dan helikopter UH-1H antara 1999 dengan 2012.

Singapura juga melancarkan pakej Sokongan Kesediaan Asean Singapura-Timor-Leste (Stars) pada Disember 2022 untuk menyediakan latihan kemahiran praktikal dan pengetahuan untuk pegawai Timor-Leste.

Ini supaya mereka dapat menyertai mesyuarat Asean dan membina kapasiti pendidikan secara berkesan.

Pakej Stars yang dipertingkat (eStars) telah dilancarkan pada Julai 2025 dan merangkumi program kepimpinan peringkat tinggi, biasiswa pascasiswa, dan latihan dalam bidang tertentu seperti undang-undang antarabangsa dan pendidikan vokasional.

Aliran perdagangan antara kedua-dua negara kini didorong oleh eksport Singapura ke Timor-Leste – terutamanya bahan api, jentera dan peralatan mekanikal, serta produk tenusu dan haiwan.

Semasa ketiadaan Encik Wong, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, akan menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Perdana Menteri.