Seramai 54 wakil peringkat menteri dari 44 negara akan menghadiri Dialog Shangri-La (SLD) ke-23 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei di Hotel Shangri-La di Singapura.

Presiden Vietnam, Encik To Lam, yang juga Setiausaha Agung Parti Komunis negara berkenaan, akan menyampaikan ucapan dasar pada 29 Mei.

Presiden Timor-Leste, Encik Jose Ramos-Horta, pula dijadual menyampaikan ucapan khas pada 30 Mei.

Selain itu, Presiden Tharman Shanmugaratnam, akan meraikan wakil tersebut dalam satu majlis di Istana pada 30 Mei.

Antara hadirin terhormat lain termasuk Timbalan Perdana Menteri Qatar merangkap Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan, Sheikh Saoud bin Abdulrahman Al Thani; Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), Encik Nurlan Yermekbayev; serta Setiausaha Perang, Amerika Syarikat, Encik Pete Hegseth.

Dianjurkan Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) yang berpangkalan di London, forum itu merupakan sidang kemuncak pertahanan utama di Asia bagi membincangkan cabaran keselamatan kritikal di rantau Asia-Pasifik.

Pada 2025, wakil dari 47 negara telah menghadiri SLD, dengan ucapan dasar disampaikan oleh Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, sekali gus menjadi pemimpin Eropah pertama yang berbuat demikian.

Acara tahunan tersebut lazimnya dihadiri barisan tertinggi wakil pertahanan pemerintah dari China dan Amerika, menjadikannya wadah penting buat dua kuasa besar dunia itu mengadakan perbincangan.

Namun, Menteri Pertahanan China, Encik Dong Jun, tidak akan menghadiri acara itu buat tahun kedua berturut-turut, dan negara tersebut akan diwakili pegawai daripada institut kendalian Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) serta angkatan tentera lautnya.

Dalam satu kenyataan pada 28 Mei, Kementerian Pertahanan (Mindef) menyatakan Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, akan menyampaikan ucapan bertajuk, ‘Rangkaian Kerjasama Keselamatan yang Berkembang dalam Dunia yang Berpecah Belah’ pada sesi pleno terakhir pada 31 Mei.

Secara keseluruhan, sebanyak enam sesi pleno dan tiga sesi khas akan dikendalikan sepanjang dialog tersebut.

Mindef menambah bahawa Encik Chan akan menganjurkan sesi perbincangan meja bundar bagi kumpulan menteri pada 30 dan 31 Mei.

Beliau akan turut menganjurkan majlis sarapan bagi kumpulan menteri pertahanan di bawah Persetujuan Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang merupakan acara lazim bagi dialog berkenaan.

FPDA, yang dianggotai oleh Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan Britain, ditubuhkan pada 1971 bagi melindungi pertahanan luar Singapura dan Malaysia susulan pengunduran tentera Britain dari Singapura.

Encik Chan bersama rakan sejawatnya dari Filipina, Setiausaha Pertahanan Negara, Encik Gilberto Teodoro Jr, juga akan menganjurkan mesyuarat sarapan bagi kumpulan menteri pertahanan Asean, tambah kementerian tersebut.

Filipina merupakan pengerusi Asean pada 2026, manakala Singapura bakal mengambil alih peranan tersebut pada 2027.

Di samping itu, Encik Chan dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan para menteri serta pegawai kanan dari pelbagai negara di sisi acara SLD, kata Mindef.

SLD telah bermula sejak 2002 dan menyediakan “wadah yang bernilai bagi pertukaran perspektif mengenai isu serta inisiatif pertahanan dan keselamatan”, ujar Mindef.

Mindef turut menyatakan bahawa dialog itu membolehkan negara yang sehaluan untuk bersama-sama menggembleng usaha bagi menangani cabaran baru.