Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan membuat lawatan rasmi ke Timor-Leste dari 2 hingga 3 Julai.

Ini kali pertama Perdana Menteri Singapura mengadakan lawatan ke negara termuda Asia Tenggara itu, yang mencapai kemerdekaan pada 2002, dengan kedua-dua negara bakal mewujudkan rangka kerja untuk memperkukuh kerjasama dua hala.

Lawatan beliau merupakan kunjungan balas kepada lawatan Perdana Menteri Timor-Leste, Encik Xanana Gusmao, ke Singapura pada Julai 2025, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada 1 Julai.

Beliau akan bertemu dengan Presiden Timor-Leste, Encik Jose Ramos-Horta, yang mengunjungi Singapura pada Mei bagi menyampaikan ucapan khas sempena Dialog Shangri-La ke-23.

PMO menyatakan bahawa Presiden Ramos-Horta akan menganugerahkan Darjah Kebesaran Timor-Leste (Grand Collar) kepada Encik Wong.

Anugerah itu mengiktiraf sumbangan Singapura kepada pembangunan Timor-Leste serta sokongan bagi keanggotaan menyertai Asean.

Timor-Leste menjadi negara anggota ke-11 Asean secara rasmi pada 26 Oktober 2025, selepas ia pertama kali membuat permohonan bagi keanggotaan tersebut pada 2011 dan menggalas status pemerhati pada 2022.

Encik Wong juga akan bertemu dengan Encik Gusmao, dengan kedua-dua pemimpin bakal menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) tentang penubuhan perundingan dua hala, serta mengadakan sidang akhbar bersama.

Encik Gusmao turut dijadual mengadakan jamuan tengah hari bersama Encik Wong.

Dalam lawatan tersebut, Encik Wong akan ditemani isterinya, di samping Menteri Ehwal Luar, Encik Vivian Balakrishnan, dan pegawai PMO serta Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Beliau akan turut bertemu rakyat Singapura yang menetap di Timor-Leste – sekitar 50 hingga 60 rakyat di sana – dalam satu majlis jamuan di ibu kotanya, Dili.

Hubungan dua hala antara Singapura dengan Timor-Leste berkembang dengan stabil sejak kebelakangan ini, dengan penubuhan kedutaan residen Singapura di Dili pada April 2024, dan pelantikan duta residen pertama ke bandar itu pada April 2026.

Sebagai salah satu negara pertama yang menyumbang kepada Pasukan Antarabangsa Timor-Leste pada Ogos 1999, Singapura telah mengerahkan lebih 1,000 anggota tentera.

Ia termasuk pasukan perubatan, pengamanan serta peralatan seperti kereta kebal pendaratan dan helikopter ‘UH-1H’ dari 1999 hingga 2012.

Singapura turut melancarkan pakej Sokongan Kesediaan Asean Singapura-Timor-Leste (Stars) pada Disember 2022, untuk menyediakan latihan kemahiran amali dan pengetahuan bagi pegawai Timor-Leste.

Ini supaya mereka dapat menyertai mesyuarat Asean dan membina kapasiti pendidikan secara berkesan.

Pakej Stars yang dipertingkat (eStars) dilancarkan pada Julai 2025 dan merangkumi program kepimpinan peringkat tinggi, biasiswa possiswazah dan latihan dalam bidang tertentu, seperti undang-undang antarabangsa serta pendidikan vokasional.

Aliran perdagangan antara kedua-dua negara kini didorong oleh eksport Singapura ke Timor-Leste terutamanya bahan api, jentera dan peralatan mekanikal, serta produk tenusu dan haiwan.

Sepanjang ketiadaan Encik Wong, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, akan menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Perdana Menteri.