Komitmen sepanjang hayat mantan presiden Amerika Syarikat, Encik Jimmy Carter, kepada keamanan, kemanusiaan dan khidmat masyarakat meninggalkan warisan berkekalan pada peringkat sejagat, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 30 Disember, Encik Wong berkata mendiang Encik Carter amat menghargai peranan Amerika dalam memupuk keamanan dan kestabilan di rantau ini, dan Singapura turut bersedih seiring Amerika di atas pemergian beliau.
Mendiang Encik Carter, Presiden Amerika ke-39 yang paling panjang umurnya, meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 29 Disember.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir dikelilingi ahli keluarganya di kediaman beliau di Plains, Georgia.
Dalam hantaran beliau di media sosial, Encik Wong berkata:
“Semasa penggal beliau (mendiang Encik Carter) sebagai presiden, Amerika menjadi Rakan Dialog Asean pada 1977.
“Pada tahun berikutnya (1978), beliau menghadiri Mesyuarat Menteri Asean-AS yang pertama kali diadakan di Washington DC.”
Encik Wong menambah bahawa Perdana Menteri Pengasas Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew, yang merupakan perdana menteri pada waktu itu, kagum mengenai pengetahuan mendalam Encik Carter tentang Singapura dan rantau Asean.
“Beliau akan dikenang sebagai seorang sahabat baik Singapura dan Asean.
“Ucapan takziah tulus ikhlas daripada kami buat keluarga dan orang tersayang beliau pada saat kehilangan ini,” kata Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg