Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Media dipercayai semakin penting, diperlukan di S’pura

Ini demi bantu negara harungi dunia kompleks; pemerintah beri sokongan padu kepada media khidmat awam di S’pura
Jul 11, 2025 | 8:06 PM
Ulang tahun ST, media setempat, PM Wong
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tengah), membaca replika edisi pertama ‘The Straits Times’ semasa majlis jamuan malam gala akhbar bahasa Inggeris itu sempena ulang tahunnya yang ke-180. Bersama Encik Wong ialah pengerusi SPH Media, Encik Khaw Boon Wan (kiri), dan Editor ST, Encik Jaime Ho. - Foto ST

Singapura memerlukan media yang boleh dipercayai untuk membantu negara ini mengharungi dunia yang lebih kompleks, membezakan fakta daripada kepalsuan, dan membina persamaan dalam dunia yang pesat berubah dan penuh kerumitan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Perkara ini semakin genting sekarang terutamanya dalam persekitaran media baru dengan kemunculan media sosial, kata beliau dalam ucapannya di majlis jamuan malam gala sempena ulang tahun ke-180 akhbar The Straits Times (ST) pada 11 Julai.

Encik Wong berkata bilik berita serata dunia semakin mengecil dan banyak saluran media telah “menjadi tawanan kepentingan komersial”. Justeru, perkara ini tidak boleh dibenarkan berlaku di Singapura.

“Model perniagaan bagi kewartawanan bermutu malangnya, berada di bawah tekanan di serata dunia,” kata beliau.

“Kita tidak mahu akhbar nasional kita dimiliki jutawan dengan agenda sempit atau partisan. Kita juga tidak mahu kepercayaan orang ramai terhadap media terhakis.

“Itu sebabnya mengapa pemerintah mengambil langkah untuk menyokong media khidmat awam di Singapura – demi memastikan kewartawanan bermutu kekal berdaya maju, bebas dan bertanggungjawab kepada rakyat Singapura,” tambah beliau.

Dalam hal ini, Encik Wong berkata ST – akhbar bahasa Inggeris paling lama wujud di Singapura – akan mendapat sokongan padu dan keyakinan pemerintah untuk menghasilkan penerbitan bermutu tinggi yang memberikan maklumat, mendidik, menghubungkan dan menyatukan masyarakat bersama.

“Anda mempunyai sokongan dan keyakinan penuh kami dalam misi ini,” kata beliau.

Majlis jamuan malam itu, yang diadakan di Jewel di Lapangan Terbang Changi, turut dihadiri Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran pameran bertajuk Heartbeats And Headlines: 180 Years Of Telling The Singapore Story yang menceritakan perjalanan ST sepanjang hampir dua abad lalu, daripada sebuah surat berita penjajah kepada institusi nasional yang boleh dipercayai. Turut dilancarkan adalah laman web dan aplikasi ST yang diberi nafas baru.

Encik Wong berkata sepanjang 180 tahun yang lalu, ST telah menjadi lebih daripada sekadar sebuah akhbar, dengan ia menjadi suara boleh dipercayai untuk Singapura yang menjelaskan isu-isu harian.

Ini membantu pembacanya memahami apa yang sedang berlaku di dalam dunia yang rumit, menghubungkan rakyat kepada perkembangan global dan berkongsi perspektif Singapura di luar negara.

Namun, landskap media telah melalui pelbagai revolusi sepanjang beberapa dekad lalu – dari media cetak hingga ke radio dan televisyen, dan kemunculan Internet dan kini era media sosial – dengan setiap perubahan membawa gangguan besar, tetapi juga peluang baru, kata Encik Wong.

Kemunculan media sosial bererti berita tidak lagi terbatas kepada hanya akhbar atau buletin petang, dengan adanya berita pada setiap masa merentasi aplikasi, platform dan sempadan dalam pelbagai format atau diringkaskan kecerdasan buatan (AI).

Bahkan, pembaca juga bukan lagi sekadar pengguna pasif – sesiapa sahaja boleh menjadi pencipta kandungan, dan orang ramai menjangkakan kandungan disesuaikan mengikut minat mereka dan disampaikan dalam format pilihan mereka.

Trend ini dilihat di seluruh dunia, termasuk Singapura, dan semakin ramai orang mendapatkan maklumat terkini daripada platform digital dan media sosial, kata Encik Wong.

Bahkan, Encik Wong berkata tabiat membacanya sendiri telah berubah. Jika beliau dahulu membaca ST melalui akhbar cetaknya, hari ini beliau mengakses berita ST melalui aplikasinya, dan bahkan membaca berita melalui pelbagai sumber tempatan dan antarabangsa.

Dengan persaingan di peringkat global hari ini, beliau berkata ST perlu menyesuaikan dirinya dengan persekitaran media baru.

Kekuatan utama ST terletak pada liputan berita Singapura dan rantau Asia Tenggara yang mendalam dan konsisten, dan orang ramai tetap bergantung pada ST untuk berita kepentingan nasional sebagai sumber maklumat yang dipercayai.

Meskipun kredibiliti itu satu aset nyata dan kelebihan daya saing, Encik Wong berkata ST juga perlu berkembang sedang tabiat penggunaan media berubah.

“Ini tidak mudah. Menyesuaikan diri dengan anjakan ini akan melibatkan pilihan sukar. Akan ada keseimbangan yang perlu diuruskan, termasuk risiko menjejas format sedia ada, atau mengganggu proses kerja yang lama.

“Contohnya, untuk kekal relevan, anda akan perlu mengeksperimen cara kandungan disampaikan merentas platform berbeza. Ini bermakna memikirkan semula bagaimana format yang berbeza boleh memenuhi keperluan khalayak yang pelbagai,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg