Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Josephine: Pemerintah komited sokong media vernakular setempat

Usaha perkukuh media vernakular jadi syarat pembiayaan bagi SPH Media Trust
Jul 6, 2025 | 8:00 PM
Josephine Teo, Tamil Murasu
Cik Josephine Teo menekankan kepentingan media vernakular dalam menjadi suara masyarakat, yang penting dalam menerapkan nilai-nilai Singapura. - Foto ST

Pemerintah kekal komited bagi menyokong media vernakular, bahkan, menjadikannya satu syarat pembiayaan bagi SPH Media Trust dalam usaha menyokong dan memperkukuh media berkenaan, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.

Berucap pada majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-90 akhbar nasional Tamil Murasu (TM), di Fairmont Singapore pada 6 Julai, Cik Teo yang merujuk pada TM, berkata:

“Pemerintah komited menyokong TM agar ia akan terus menjana inovasi dan menjadi suara bagi golongan berbahasa Tamil di Singapura.”

Beliau menambah, kehadiran media vernakular aliran utama di Singapura “tidak wujud secara kebetulan”, tetapi dengan rekaan dasar yang teliti dan usaha konsisten daripada akhbar, masyarakat dan pemerintah untuk “mencerminkan nilai-nilai Singapura”.

Cik Teo juga akur cabaran paling genting yang dihadapi kini adalah penggunaan bahasa vernakular yang kian merosot dalam kalangan warga Singapura, lantas memberi tamparan hebat untuk ditangani media vernakular setempat.

Namun, beliau berkata adalah penting bagi media vernakular terus berpijak di bumi nyata, mendapatkan sentimen masyarakat dan menjadi suara bagi masyarakat, nescaya ia akan terus mendapat sokongan daripada golongan yang disasarkan.

Majlis makan malam tersebut dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam selaku tetamu terhormat, selain pengurusan kanan SPH Media termasuk Pengerusi, Encik Khaw Boon Wan; Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Chan Yeng Kit; dan Editor TM, Encik Raja Segar.

Cik Teo menukil contoh kewujudan TM yang masih kekal utuh di Singapura, di samping media vernakular lain di sini seperti Berita Harian, dan menyifatkannya sebagai “tidak wujud secara kebetulan”.

“Ia mencerminkan rekaan dasar yang teliti, sokongan kukuh daripada masyarakat dan usaha berterusan akhbar masing-masing untuk melakukan inovasi.

“Ini sejajar dengan komitmen mendalam negara kita terhadap kepelbagaian budaya dan selagi mana media vernakular kita terus kekalkan nadi dan menjadi suara masyarakat yang mereka salurkan khidmat, saya menaruh harapan audiens anda akan membalas khidmat anda dengan perhatian mereka,” kata Cik Teo.

Di samping itu, beliau berkata TM memainkan peranan penting dalam mencatat pembinaan negara, dengan akhbar tersebut mendokumentasikan acara yang berlaku dalam sejarah.

Beliau menukil sejarah Singapura tatkala warganya beralih daripada kehidupan di kampung kepada perumahan awam yang bermula sekitar 1960-an.

Pada ketika itu, banyak keluarga berbangsa India yang menetap di kampung prihatin mereka mungkin hilang jalinan kebudayaan dan keagamaan.

Ini memandangkan kehidupan kampung berteraskan jalinan kukuh sesama penduduk kampung serta berpaksikan kuil-kuil.

“Dalam liputan anda terhadap isu-isu, TM akur kehilangan mendalam yang dirasakan apabila (golongan masyarakat berbahasa Tamil) meninggalkan persekitaran sedemikian.

“Melalui laporan anda, TM membantu masyarakat India untuk melihat perumahan awam bukannya sebagai kehilangan atau anjakan, tetapi lebih kepada penyertaan aktif dalam usaha pemodenan dan pertumbuhan Singapura,” kata Cik Teo.

Segala usaha ini, tambah beliau, telah bantu mencapai hasil yang diraih TM pada hari ini.

Sungguhpun demikian, memandang ke hadapan, tugas penting yang harus TM beri perhatian adalah cara ia kekal relevan kepada masyarakat sebagai usaha memupuk semangat keterlibatan dan warganegara yang berpengetahuan, ujar beliau.

Beliau berkata ini sesuatu yang semakin sukar, lebih-lebih lagi berlatarbelakangkan gangguan teknologi dan citarasa pelanggan yang kian berubah.

“Lebih ramai warga Singapura, termasuk warga senja, akan mendapatkan berita mereka secara dalam talian.

“Pada masa yang sama, di seluruh dunia, percambahan berita ‘percuma’ telah menyebabkan keletihan dan risiko orang ramai menjadi tidak peka dengan berita, terutamanya belia,” tambahnya.

Dari segi ini, beliau menyambut baik usaha TM untuk bereksperimen dengan produk dan pendekatan baru bagi memperkukuhkan hubungan dengan khalayak tumpuannya, tambah Cik Teo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg