Langkah untuk kekal terbuka dalam dunia yang semakin bersaing dan berpecah belah bukan satu “kemewahan” tetapi satu “talian hayat penting” bagi Singapura kekal sebagai sebuah bandar sejagat dalam persekitaran baru ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Bercakap di sesi dialog Persidangan Institut Pengajian Dasar (IPS)-Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) ‘Bandar Global Singapura: SG60 Dan Selanjutnya’ di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 29 Julai, Encik Wong berkata Singapura harus yakin dalam melakar hala tujunya sendiri.
Ia harus terus menjadi sebuah bandar kosmopolitan yang menyerlah walaupun di tengah-tengah dunia yang berpecah belah dan fahaman perlindungan yang semakin meningkat.
Singapura mungkin tidak pernah akan jadi bandar seperti New York mahupun Paris, namun negara ini harus mendakap kekuatan dan kelebihan daya saingnya sebagai sebuah tempat yang stabil dan boleh dipercayai – aset tidak ketara “yang amat ingin dimiliki orang lain”.
“Kita sebuah bandar kosmopolitan, tetapi kita juga negara Asia yang berbilang budaya. Ada yang kata kita membosankan, dan kita tidak akan mempunyai tawaran yang sama seperti New York dan Paris.
“Kita boleh cuba jadi lebih menarik, dengan lebih banyak tawaran gaya hidup, tetapi kita harus realistik, kita tidak akan pernah sama.
“Tetapi pada masa yang sama, kita (sebuah bandar) stabil, boleh diramal... dan boleh dipercayai, dan ini adalah aset tidak ketara yang amat ingin dimiliki orang lain.
“Oleh itu, kita harus mendakap kekuatan dan kelebihan daya saing kita, membangunkannya dan menambah nilai kepada dunia,” kata beliau.
Encik Wong berkata demikian apabila ditanya bagaimana beliau membayangkan Singapura sebagai sebuah bandar sejagat dalam persekitaran baru hari ini.
Namun, sedang Singapura terus berusaha menjadi sebuah bandar sejagat yang unggul di dunia, ia juga harus sentiasa “menjadi rumah bagi rakyat Singapura”.
Justeru, perlu ada “peraturan rumah” dengan pemerintah mengenakan beberapa peraturan, seperti bayaran Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) kepada warga asing yang membeli hartanah kediaman di sini dan kawalan ke atas tenaga kerja asing yang memasuki negara ini, demi memastikan rakyat Singapura selalu berada di tengah-tengah segala yang dilakukan pemerintah.
Menyentuh tentang kesan tarif Amerika Syarikat ke atas Singapura pula, Encik Wong berkata meskipun tarif asas 10 peratus yang dikenakan bukan sesuatu yang ideal, ia adalah kadar yang Singapura boleh tangani.
“Adalah lebih baik untuk mempunyai sifar tarif, namun jika ia kadar asas, maka kita berada dalam kategori terendah. Kita boleh hidup dengannya, dan kita masih boleh berniaga.
“Akan masih terdapat banyak peluang bagi perdagangan bersama Amerika, kerana apa pun yang berlaku di Amerika sekarang, ekonominya masih berdaya tahan dan masih terdapat inovasi besar yang berlaku dalam syarikat Amerika,” kata beliau.
Walau bagaimanapun, Encik Wong berkata Singapura bukan sekadar pemerhati pasif, dan sedang bekerjasama dengan negara sealiran fikiran untuk memperkukuh institusi berbilang hala, dan juga kerjasama secara dua hala dan dalam kumpulan berbeza.
Selain itu, lebih banyak usaha boleh dilakukan untuk memperkukuh dan memajukan penyepaduan Asean, dan menghapuskan halangan bukan tarif bagi memudahkan syarikat menjalankan perniagaan di rantau ini.
Menurut Encik Wong, di peringkat domestik pula, pemerintah sedang memberi tumpuan pada keprihatinan segera, termasuk langkah menyokong perniagaan dan pekerja mengharungi cabaran dalam dunia yang berubah.
Beliau menambah bahawa Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) akan membuat pengumuman dalam masa terdekat untuk mempersiap Singapura dengan lebih baik bagi persekitaran berbeza.
Pemerintah telah membentuk Sert – dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong – pada April untuk membantu perniagaan dan pekerja mengharungi cabaran jangka pendek akibat tarif Amerika, di samping meletakkan negara dalam landskap ekonomi baru.
“Di luar menangani keprihatinan segera, terdapat keperluan bagi pasukan petugas itu dan kami sebagai pemerintah dan masyarakat memikirkan cara mempersiapkan Singapura dengan lebih baik bagi persekitaran yang amat berbeza.
“Oleh itu, kami akan perlu mengemas kini dan memperbaharui strategi ekonomi kita bagi dunia yang berubah.
“Pasukan petugas sedang memikirkan cara terbaik untuk melakukan perkara ini, dan mereka akan membuat pengumuman dalam masa terdekat,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg