Parti Tindakan Rakyat (PAP) berharap dapat menampilkan lebih ramai calon wanita dalam pilihan raya umum akan datang bagi meningkatkan perwakilan wanita di Parlimen, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Berucap di Persidangan Sayap Wanita PAP sempena ulang tahun ke-35 cabang itu pada 31 Ogos, Encik Wong berkata PAP sentiasa menjadi pejuang teguh bagi pembangunan wanita, dengan Liga Wanita dalam PAP dahulu mendorong perubahan hingga membawa kepada penggubalan Piagam Wanita pada 1961.
Piagam itu memberi wanita perlindungan undang-undang lebih besar, terutamanya dalam perkahwinan, dan meletakkan asas bagi wanita maju.
Encik Wong berkata hampir sepertiga Anggota Parlimen (AP) PAP hari ini adalah wanita – jauh berbeza daripada pada 1970-an hingga awal 1980-an apabila kesemua AP parti itu adalah lelaki.
Bahkan, jumlah pemegang jawatan politik wanita juga telah bertambah, kata Encik Wong pada acara di Hotel Grand Copthorne Waterfront itu.
Berkongsi pengalamannya, Encik Wong berkata sepanjang kerjayanya beliau telah meraih manfaat daripada bekerja dengan kedua-dua kaum, yang membawa pelbagai perspektif luas dan membantu menyumbang kepada huraian dan proses membuat keputusan lebih baik.
“Bagi saya, mempunyai kepelbagaian dalam pasukan sangat berguna. Sebagai sebuah parti, kita akan terus memastikan calon dan AP kita meliputi bidang luas, supaya PAP kekal sebagai parti bagi semua rakyat Singapura,” katanya.
“Saya akan berusaha untuk melakukan dengan lebih baik. Dalam pilihan raya akan datang, saya berharap dapat memperkenalkan lebih ramai calon wanita. Oleh itu, apabila mereka diperkenalkan nanti, harap sokong mereka, dan bantu saya meningkatkan perwakilan wanita kita di Parlimen,” tambah Encik Wong.
Ditanya apakah ada sasaran bilangan calon wanita yang ingin diperkenalkan dalam pilihan raya akan datang, Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, yang juga pengerusi Sayap Wanita PAP, berpandangan adalah adil menyatakan bahawa di Singapura wanita tidak begitu bersetuju dengan pendekatan kuota kerana mereka memegang jawatan kepimpinan dan perwakilan atas dasar merit serta kebolehan mereka.
“Saya akan berkata meletak sasaran angka mungkin bukan kuncinya di sini, tetapi hakikat PM Wong berkongsi secara terbuka tentang keyakinannya dalam memperkenalkan lebih ramai wanita, saya fikir itu menunjukkan kepercayaan beliau terhadap keupayaan wanita, dan saya rasa itu juga mesej yang sangat menggalakkan bagi wanita semua peringkat umur, tetapi terutamanya bagi generasi muda,” kata beliau.
Dalam ucapannya di persidangan itu, Encik Wong juga berkata meskipun pelbagai kemajuan telah dicapai untuk pembangunan wanita sejak berdekad lalu, PAP dan Sayap Wanitanya tidak pernah berpuas hati akan status quo dan terus berusaha memajukan lagi wanita di Singapura.
Contohnya, Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita yang dibentangkan di Parlimen pada 2022 telah menyumbang kepada perubahan dasar dalam beberapa bidang, seperti Perundangan Keadilan di Tempat Kerja bagi melindungi wanita dengan lebih baik daripada diskriminasi di tempat kerja.
Bagaimanapun, Encik Wong menekankan bahawa usaha pemerintah memperjuangkan kesaksamaan jantina di Singapura tidak boleh dilihat sebagai “permainan campur tolak”.
“Kesaksamaan bagi wanita tidak bererti kurang untuk lelaki. Keuntungan yang diperoleh wanita dalam masyarakat tidak bermakna lelaki pasti rugi.
“Saya gembira Sayap Wanita tidak ambil pendekatan ini – anda sentiasa melibatkan kaum lelaki dalam perbincangan dan perhimpunan anda,” katanya.
Di beberapa negara lain, Encik Wong berkata, terdapat perbezaan pandangan yang semakin meningkat antara lelaki dengan wanita.
Hakikatnya, kaum lelaki juga menghadapi cabaran dalam pelbagai bidang, seperti pendidikan, pekerjaan dan kesihatan mental.
Jika mereka rasa keprihatinan mereka tidak ditangani sewajarnya, Encik Wong berkata mereka mungkin melihat gerakan kesaksamaan bagi wanita sebagai gerakan menentang lelaki.
Encik Wong menegaskan itu sesuatu yang tidak boleh dibiarkan berlaku di Singapura kerana gerakan kesaksamaan di negara ini bertujuan menjadikan keadaan lebih baik bagi kedua-duanya, lelaki dan wanita.
Beliau berkata lelaki dan wanita perlu bekerja dan belajar bersama, berkahwin, membentuk keluarga dan membesarkan anak-anak bersama serta maju ke hadapan bersama.
Untuk memperkukuh dan menyokong institusi keluarga, Encik Wong semasa ucapan sulung Rapat Hari Kebangsaan (NDR) beliau pada 18 Ogos telah mengumumkan beberapa langkah, termasuk 10 minggu tambahan bagi Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa (SPL), bersama empat minggu cuti paterniti wajib yang berkuat kuasa 1 April 2026.
“Hakikatnya peranan berubah untuk kedua-dua lelaki dan wanita dalam masyarakat - kita semua perlu membantu satu sama lain menyesuaikan diri dengan perubahan ini, dan bekerjasama untuk menyokong satu sama lain, menyokong perkahwinan dan keibubapaan, dan memperkukuh keluarga di Singapura,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg