Singapura perlu memperkukuhkan perpaduan masyarakat dan membawa bersama semua warga untuk melakar masa depannya, memandangkan ia akan berdepan dengan persekitaran luar yang lebih mencabar, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang juga Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam dan Anugerah Ulang Tahun ke-70 PAP pada 23 November di Singapore Expo, Encik Heng berkata sementara parti itu telah mencapai kemajuan baik, ia perlu terus bekerja keras dan menyahut cabaran yang mendatang.
Selain itu, ia juga harus terus mewakili semua lapisan masyarakat Singapura walaupun dalam usahanya untuk mengeratkan hubungan dengan generasi pengundi baru.
“Kita telah terus mencapai kemajuan baik dalam merangsang rakyat kita dan memajukan kepentingan Singapura...Tetapi dengan sekitaran luaran yang lebih mencabar, kita harus terus bekerja keras, bekerja dengan bijak dan menyahut cabaran yang mendatang.
“Titik permulaannya ialah dengan memperkukuhkan perpaduan dalaman dan menyatukan warga Singapura untuk melakar masa depan kita,” ujar Encik Heng.
Memandang ke hadapan, Encik Heng menarik perhatian pelbagai cabaran akan dihadapi negara ini seperti penduduk semakin menua.
“Dunia berubah dengan pantas. Persaingan geopolitik semakin meningkat. Kemajuan teknologi mengganggu perniagaan dan pekerjaan. Banyak bahagian dunia, termasuk Singapura, semakin tua dengan cepat.
“Perubahan iklim menyebabkan kejadian cuaca ekstrem dan peningkatan paras laut. Orang ramai di seluruh dunia tertekan dengan isu-isu seperti kos sara hidup, pekerjaan dan imigresen,” kata Encik Heng.
Dalam hal ini, parti itu telah menganjurkan satu latihan pembaharuan, yang melibatkan lebih 2,300 aktivis dan rakan kerja, dengan diketuai Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
“Pesanannya jelas: PAP harus terus mewakili semua warga Singapura, walaupun dalam usaha kita mengeratkan hubungan dengan generasi pengundi baru,” tekan beliau.
Dalam ucapannya itu kepada 3,000 hadirin, beliau menggesa aktivis supaya memberikan sokongan kepada Encik Wong dan PAP untuk mendapat mandat kuat dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
Encik Heng juga menyeru rakan aktivis supaya menghargai kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Singapura kepada PAP dengan penuh tanggungjawab dan rendah hati.
“Biarlah nilai teras kita iaitu keadilan, kesaksamaan, keharmonian kaum, integriti dan amanah memandu kita. Walaupun ada masanya, ini tidak mudah.
“Anda adalah asas kepada misi parti kita untuk berkhidmat kepada rakyat, untuk membina masyarakat yang adil dan saksama.
“Di mana keputusan sukar mesti diambil untuk manfaat jangka panjang Singapura, anda adalah suara kita untuk menjelaskan cabaran yang kita hadapi,” kata Encik Heng.
Semasa majlis itu juga, seramai 448 aktivis diiktiraf di malam penuh gemilang bagi meraikan ulang tahun yang ke-70 parti tersebut atas dedikasi dan perkhidmatan mereka kepada Singapura.
Selain dedikasi mereka dalam berkhidmat kepada penduduk mereka di kawasan undi di seluruh Singapura, para aktivis juga diiktiraf atas perjuangan mereka dalam pelbagai bidang penting yang dekat di hati rakyat Singapura.
Ini termasuk seperti isu pembangunan wanita, penjagaan warga emas, dan kemampanan.
Penghormatan tertinggi – Pingat Bintang Khidmat Cemerlang – diberikan kepada mantan Anggota Parlimen (AP), Dr Sushilan Vasoo atas khidmat berdedikasi dan sumbangan cemerlang beliau kepada cawangan Teck Ghee, parti dan juga negara selama 40 tahun.
Beliau, yang juga lebih dikenali sebagai Dr S. Vasoo, pernah berkhidmat sebagai AP PAP selama 18 tahun dari 1984 hingga 2001 bagi beberapa kawasan undi seperti Bowen di Ang Mo Kio, GRC Tiong Bahru dan kemudian GRC Tanjong Pagar.
“Dr S. Vasoo telah berkhidmat kepada masyarakat di Ang Mo Kio, Tiong Bahru dan Tanjong Pagar selama 40 tahun.
“Seorang pekerja sosial melalui latihan, Dr S. Vasoo berdedikasi untuk meningkatkan keluarga berpendapatan rendah, dan dikenali sebagai “AP mewakili orang miskin”.
“Sehingga hari ini, beliau adalah seorang yang teguh dalam Teck Ghee membantu mengukuhkan komuniti dan meningkatkan kehidupan penduduk,” kata Encik Heng.
Kawasan undi Bowen kini telah diserap sebagai sebahagian daripada GRC Ang Mo Kio, Kebun Baru & Yio Chu Kang malah GRC Tiong Bahru telah dibubar dan terangkum di bawah GRC Tanjong Pagar.
Dr S. Vasoo juga merupakan antara para AP pertama yang mengemukakan konsep majlis bandaran kerana beliau percaya bahawa penduduk harus mempunyai suara yang lebih besar dalam membentuk tempat tinggal yang mereka diami.
Seorang lagi aktivis yang mendapat pengiktirafan oleh Encik Heng semasa ucapannya ialah Cik Sa’adiah Abdul, yang telah berkhidmat di Kaki Bukit, wad pembangkang di bawah GRC Aljunied, sejak 17 tahun lalu.
“Berkhidmat di wad pembangkang memang membawa cabaran, tetapi Sa’adiah tetap teguh menyokong warga Kaki Bukit.
“Sebagai ahli Exco Sayap Wanita (WW) PAP dan pengerusi sayap di cawangannya, beliau bekerjasama rapat dengan Pengerusi Cawangan Encik Shamsul Kamar untuk melibatkan masyarakat, kata Encik Heng.
Semasa majlis tersebut, penghormatan turut diberikan kepada Menteri Kanan yang juga Setiausaha Agung PAP, Encik Lee Hsien Loong, yang telah berkhidmat di kawasan undi Teck Ghee dan parti itu selama 40 tahun sejak 1984.
Encik Lee, 72 tahun, telah memimpin 10 Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebagai Setiausaha Agung berturut-turut sepanjang tempoh 20 tahun sejak November 2004 setelah beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Singapura ketiga pada tahun yang sama.
Beliau menjadi Perdana Menteri pada 2004, mengambil alih Encik Goh Chok Tong, yang telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri kedua Singapura selama 14 tahun dari 1990 hingga 2004.
Encik Lee memimpin Singapura sebagai Perdana Menteri selama 20 tahun sebelum memberi laluan kepada Encik Wong pada 15 Mei.
Pada persidangan dwitahunan PAP pada 24 November, 12 anggota akan dipilih bagi membentuk Jawatankuasa Eksekutif Pusat(CEC) yang ke-38.
Ini dijangka memberi laluan kepada Encik Wong untuk memimpin parti memerintah itu dalam pilihanraya akan datang.
“
“Kita telah terus mencapai kemajuan baik dalam merangsang rakyat kita dan memajukan kepentingan Singapura...Tetapi dengan sekitaran luaran yang lebih mencabar, kita harus terus bekerja keras, bekerja dengan bijak dan menyahut cabaran yang mendatang. Titik permulaannya ialah dengan memperkukuhkan perpaduan dalaman dan menyatukan warga Singapura untuk melakar masa depan kita.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg