Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Pembangunan MBS papar transformasi S’pura lebih luas, berwawasan

Beliau berucap semasa majlis pecah tanah menara hotel keempat MBS bernilai AS$8b
Jul 15, 2025 | 8:57 PM
Kompleks baru Marina Bay Sands (MBS) dijangka siap menjelang 2030 dan akan dibuka kepada orang ramai pada suku pertama 2031.
Kompleks baru Marina Bay Sands (MBS) dijangka siap menjelang 2030 dan akan dibuka kepada orang ramai pada suku pertama 2031. - Foto SAFDIE ARCHITECTS

Singapura bakal menyaksikan penambahan mercu tanda baru menjelang 2030 apabila menara hotel keempat Marina Bay Sands (MBS) bernilai AS$8 bilion ($10.26 bilion) siap dibina.

Berucap semasa majlis pecah tanah pembangunan itu pada 15 Julai, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata rancangan pembangunan Marina Bay hanyalah sebahagian daripada usaha transformasi menyeluruh dan berwawasan tinggi bagi kawasan tepi laut di bahagian selatan republik ini.

Beliau berkata kawasan pesisir sepanjang 30 kilometer – dari Gardens by the Bay East hingga Pasir Panjang – yang saiznya enam kali ganda Marina Bay, akan menampilkan lebih banyak ruang komersial, rekreasi dan hiburan, selain kawasan kediaman baru yang turut merangkumi perumahan awam untuk warga Singapura.

Pihak berkuasa pada Mei berkata fasa pertama pembangunan perumahan di kawasan itu, yang melibatkan sekitar 1,000 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan dilancarkan untuk jualan pada Oktober. 

Flat BTO tersebut akan dibina di tapak lama Keppel Club, lapor The Straits Times (ST).

“Inilah maksudnya apabila kami katakan bahawa kami tidak akan selesai membangunkan Singapura. Kami akan terus menambah baik, terus memperbaharui dan terus maju ke depan,” kata Encik Wong.

Projek Greater Southern Waterfront ini kali pertama diumumkan Perdana Menteri ketika itu, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2013. 

Beliau ketika itu menggariskan visi menyatukan aktiviti pelabuhan kontena di Tanjong Pagar, Keppel, Brani dan Pasir Panjang ke pelabuhan bersepadu di Tuas, sekali gus membolehkan tanah tepi laut yang bernilai tinggi itu dimanfaatkan untuk pembangunan semula.

Encik Wong berucap di hadapan sekitar 200 tetamu yang hadir di tapak pecah tanah bersebelahan Menara 1 Hotel MBS. 

Antara yang hadir termasuk pengasas bersama Las Vegas Sands, Cik Miriam Adelson; pengerusi merangkap ketua pegawai eksekutif (CEO), Encik Robert Goldstein; serta presiden dan ketua pegawai operasi, Encik Patrick Dumont.

Kompleks baru MBS itu akan merangkumi 570 bilik kediaman hotel mewah, sebuah kasino, arena hiburan yang boleh memuatkan 15,000 tempat duduk, ruang mesyuarat dan konvensyen seluas 200,000 kaki persegi, serta pelbagai restoran mewah. 

Ia dijangka siap menjelang 2030 dan dibuka kepada orang ramai pada suku pertama 2031.

Seperti kompleks MBS sedia ada, bangunan baru ini direka oleh firma Safdie Architects yang berpangkalan di Amerika Syarikat. 

Ia akan menampilkan bumbung khas yang dinamakan Skyloop, dengan pemandangan 360 darjah serta kemudahan awam dan peribadi.

Encik Wong menyifatkan Marina Bay sebagai simbol Kisah Singapura – sebuah hab kewangan dan perniagaan yang pesat, destinasi utama bagi mesyuarat, pelancongan dan hiburan, serta titik penting yang menghubungkan negara dengan ekonomi sejagat.

Kawasan itu turut menjadi sebahagian daripada identiti rakyat, di mana warga Singapura berkumpul meraikan detik penting seperti Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) dan sambutan akhir tahun, serta mencipta kenangan, tambah Encik Wong.

Beliau menambah bahawa latar langit Marina Bay kini juga mudah dikenali di seluruh dunia sebagai imej ikonik Singapura, sama ada dalam filem, dokumentari atau video muzik.

“Kami sangat berbangga dengan apa yang telah dicapai di Marina Bay, tetapi usaha kami belum selesai, kerana kami percaya masih ada yang lebih baik yang boleh dicapai,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg