Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MBS catat hasil rekod tertinggi, permintaan kukuh pelawat

Apr 14, 2025 | 4:40 PM
Menjelang Mei 2025, jumlah suite hotel Marina Bay Sands (MBS) akan meningkat kepada 776, berbanding 205 suite sebelum pandemik Covid-19.
Menjelang Mei 2025, jumlah suite hotel Marina Bay Sands (MBS) akan meningkat kepada 776, berbanding 205 suite sebelum pandemik Covid-19. - Foto ZAOBAO

Marina Bay Sands (MBS) mencatatkan hasil tahunan sebanyak AS$2 bilion ($2.7 bilion) – pendapatan rekod tertingginya sejak dibuka pada 2010.

Pendapatan rekod sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) pada 2024 sebahagiannya didorong oleh pemulihan dalam percutian mewah dan langkah perubahan strategik yang diambil hotel, dengan mengurangkan hampir satu pertiga daripada bilik hotel untuk memberi ruang kepada suite mewah.

MBS mencapai pendapatan tinggi itu di tengah pemulihan kukuh dalam ketibaan pelancong antarabangsa, lapor The Straits Times (ST).

Menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB), bilangan pelancong antarabangsa meningkat 21 peratus kepada 16.5 juta pada 2024, dengan pelancong dari China, Indonesia, dan India membentuk jumlah tertinggi.

Dalam satu wawancara dengan ST pada 3 April, Ketua Pegawai Operasi MBS, Encik Paul Town, mengaitkan pencapaian tersebut dengan strategi pascapandemik yang menyasarkan tetamu kelas atasan yang mengutamakan penginapan berasaskan pengalaman dan peka terhadap penjagaan alam sekitar. 

Hotel ini telah mengurangkan jumlah biliknya daripada 2,561 kepada 1,850, supaya dapat memberi ruang untuk suite mewah. 

Ia turut menggandakan pasukan pelayan tamu atau ‘butler’ daripada 60 kepada 160 kakitangan bagi memenuhi permintaan perkhidmatan mewah yang semakin berkembang.

Menjelang Mei 2025, jumlah suite akan meningkat kepada 776, berbanding 205 suite sebelum pandemik Covid-19.

Tumpuan kepada sektor mewah, disokong oleh cara perkhidmatan yang diperbaharui dan pengalaman tetamu yang diberi layanan peribadi, membuahkan hasil dan meningkatkan harga purata bilik serta kadar keuntungan.

Encik Town berkata MBS mencatatkan pertumbuhan kukuh di kedua-dua sektor permainan dan bukan permainan pada 2024. Tempoh penginapan tetamu kini lebih panjang, dan permintaan terus meningkat hasil daripada tawaran yang dipelbagaikan dalam bidang makanan, hiburan dan riadah.

“Saya rasa kami telah meningkatkan bukan sahaja asas hospitaliti seperti bilik, restoran dan ruang permainan, malah pengalaman secara keseluruhannya – dari teater hingga kegiatan luar seperti golf dan program kapal layar,” tambahnya.

Meski sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian dengan beberapa bilik tidak dibuka untuk tempahan, MBS mengekalkan kadar penginapan tinggi sebanyak 95 peratus pada 2024, menjelang ulang tahun ke-15 hotel itu pada 2025.

Naib presiden serantau bagi Asia Pasifik di firma penyelidikan perusahaan hotel STR, Encik Jesper Palmqvist, berkata pertumbuhan kawasan Marina Bay banyak dipacu oleh segmen mewah, dengan MBS meraih manfaat daripada kerja naik taraf yang sejajar dengan permintaan pasaran mewah.

Beliau menambah, hotel-hotel di kawasan Marina Bay kekal sebagai subpasaran yang berkembang paling pesat di Singapura, dengan pilihan hotel mewah terus meraih kejayaan hasil daripada pengurusan kos yang lebih baik dan peningkatan kadar harga.

Transformasi MBS bernilai AS$1.75 bilion yang diumumkan pada 2022 merupakan sebahagian daripada program berbilang tahun untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam perusahaan hospitaliti mewah.

Encik Town berkata penyusunan semula resort itu bukan sekadar meliputi kerja naik taraf fizikal, malah turut melibatkan penilaian semula mengenai kehendak tetamu kelas mewah.

Beliau menjelaskan bahawa pelancong kelas mewah hari ini mencari pengalaman yang lebih bermakna dan mendalam. 

Mereka menitikberatkan kesejahteraan dan kemampanan, serta lebih menghargai penginapan menyeluruh yang diberi layanan peribadi berbanding kemewahan sementara. 

Ciri-ciri pintar dalam bilik seperti sistem yang menjimatkan tenaga juga semakin dihargai, sejajar dengan kesedaran terhadap alam sekitar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg