Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong belum putuskan bila GE akan diadakan

Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) belum dibentuk
Nov 8, 2024 | 8:15 PM
Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) belum lagi dibentuk, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada sidang media pada 8 November.
Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) belum lagi dibentuk, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada sidang media pada 8 November. - Foto ST

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata beliau belum memutuskan bila akan diadakan pilihan raya umum (GE) akan datang dan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) juga belum dibentuk.

“Bila pilihan raya akan diadakan... saya belum putuskan, dan apabila kami memulakan proses itu, orang akan tahu,” kata Encik Wong dalam sidang media pada 8 November yang diadakan di bangunan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

Menjawab soalan sama ada EBRC telah dibentuk, Encik Wong berkata: “Apabila kami berbuat demikian, kami akan mengumumkannya, seperti yang selalu kami lakukan. Kami tidak akan melakukan perkara seperti ini senyap-senyap.”

Menurut laporan, The Straits Times, berdasarkan beberapa GE yang lalu, ia diumumkan antara satu dengan tiga bulan selepas EBRC mengeluarkan laporan.

Ketika ditanya sama ada Belanjawan akan datang adalah belanjawan pilihan raya, Encik Wong berkata Belanjawan 2025 berpotensi menjadi belanjawan terakhir dalam penggal pemerintah ini.

Ini kerana “pilihan raya masih boleh dilakukan sebelum Belanjawan, tetapi jika pilihan raya diadakan selepas itu, maka ia kemungkinan menjadi Belanjawan terakhir dalam penggal pemerintahan ini,” tambah Encik Wong.

Belanjawan Singapura biasanya dihantar dan dipertimbangkan pada Februari dan Mac setiap tahun.

Mengenai kesediaan beliau dan pasukannya untuk GE, Encik Wong berkata: “Setiap hari berlalu, saya lebih bersedia.”

Beliau berkata Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mentadbir sedang “mempersiapkan diri” dan menambah bahawa negara mempunyai masa sehingga akhir 2025 untuk mengadakan pilihan raya.

GE akan datang mesti diumumkan selewat-lewatnya pada November 2025.

“Kami terus membuat persediaan, dan apabila kami menjadi lebih baik... apabila kami sampai ke tahap kami bersedia, maka saya akan umumkan Pilihan Raya Umum,” katanya.

Mengenai calon-calon berpotensi yang akan diketengahkan, beliau berkata pencarian sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti calon tersebut.

“Apabila tiba masanya, saya berharap dapat mendedahkan senarai calon yang baik untuk rakyat Singapura,” kata Encik Wong.

Beliau turut menyentuh mengenai pembaruan dalam parti, sambil menyatakan bahawa Anggota Parlimen yang telah berkhidmat dua atau tiga penggal akan diminta berundur, dan parti itu akan membawa masuk “muka baru”.

Dengan pilihan raya di banyak tempat di dunia yang telah menyebabkan masyarakat lebih berpecah belah dan tidak bersatu, Encik Wong berkata beliau berharap rakyat Singapura “akan memahami apa yang dipertaruhkan”.

Memilih parti yang sesuai untuk mentadbir adalah penting... ia juga mengenai menentukan masa depan kita,” tambah Encik Wong.

“Jika kita tidak dapat bersatu sebagai sebuah masyarakat, saya fikir ia akan menjadi sangat sukar bagi kita untuk kekal relevan dan sangat sukar untuk kita bertahan dan berkembang maju,” ujarnya.

“Kami cuba sedaya upaya untuk tidak mengikut jalan kapitalisme politik, cenderung mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri, tetapi mencari jalan bagi memastikan masyarakat kita kukuh, bersatu, dan mengekalkan tahap kepercayaan yang tinggi, kerana adalah penting untuk Singapura kekal relevan dan bertahan dalam keadaan dunia baru ini.”

Diminta pandangannya mengenai pilihan raya Amerika Syarikat dan sejauh mana ia relevan dengan Singapura, Encik Wong berkata beliau tidak mengambil mudah undi atau mandat rakyat.

“Saya tidak menganggap saya akan terus menjadi perdana menteri atau PAP akan secara automatik membentuk pemerintah seterusnya,” katanya.

“Akhirnya, rakyat Singapura perlu membuat keputusan, dan apabila kami sampai ke pilihan raya, kami akan membentangkan kepada mereka rekod kami... apa yang telah kami lakukan dalam penggal pemerintahan ini.

“Kami berharap ia akan mencukupi untuk mendapatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat Singapura, dan kami berharap mereka akan memberi kami peluang untuk mentadbir Singapura.”

Encik Wong menyatakan bahawa seperti mana-mana Belanjawan, keutamaan akan tertumpu kepada isu yang memerlukan perhatian segera dan kebimbangan yang mungkin timbul, seperti isu kos sara hidup.

Sementara itu, rundingan pra-Belanjawan akan bermula pada Disember.

Temanya termasuk strategi ekonomi Singapura; peningkatan kemahiran dan pekerjaan untuk pekerja; bagaimana sokongan boleh diberikan kepada rakyat Singapura di pelbagai peringkat kehidupan mereka; serta mengukuhkan perpaduan ketika Singapura menyambut 60 tahun kemerdekaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg