Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: Pemerintah PAP mesti rancang masa depan, buat pilihan sukar demi S’pura
PM Wong: Pemerintah PAP mesti rancang masa depan, buat pilihan sukar demi S’pura
Pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) bukan sahaja perlu menangani keprihatinan semasa rakyat, malah juga mempersiapkan negara ini untuk menghadapi cabaran hari esok serta bertindak sebelum isu-isu tersebut menjadi lebih mencabar untuk diselesaikan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Usaha mentadbir negara juga bererti mengimbangi pelbagai keperluan dan kepentingan yang bersaing, dan parti pemerintah mesti sentiasa mempertimbangkan gambaran yang lebih luas.
“Kumpulan yang berbeza secara semula jadinya akan mengutarakan perkara yang paling penting kepada mereka.
“Namun, sebagai parti yang memerintah, kita mesti mempertimbangkan gambaran yang lebih luas.
“Kita tidak boleh sekadar memberitahu orang ramai apa yang mereka mahu dengar, atau menjanjikan apa yang mereka harapkan semata-mata,” kata beliau.
Ini berbeza dengan parti pembangkang, khususnya Parti Pekerja (WP) yang didapati tidak selalu mengambil pendirian yang konsisten atau koheren mengenai dasar, kata Encik Wong kepada sekitar 3,000 aktivis parti semasa berucap di Persidangan dan Anugerah PAP 2026 pada 25 Oktober, yang diadakan di Singapore Expo.
Sebaliknya, Encik Wong berkata pendirian WP kelihatan sering berubah-ubah “mengikut tiupan angin politik” dan isu popular semasa, tanpa mengambil kira pertimbangan menyeluruh serta kesan jangka panjang.
Beliau memberi contoh isu perumahan – pada 2019 ketika harga flat jualan semula susut, WP menggesa pemerintah mengurangkan pembinaan flat baharu. Namun selepas pandemik Covid-19 menjejas pembinaan, WP pada 2023 pula mengkritik pemerintah kerana tidak membina flat yang mencukupi tanpa mengakui pendirian mereka sebelumnya.
Begitu juga dalam isu tenaga kerja asing, kata Encik Wong, di mana WP menggesa fleksibiliti lebih besar dalam pelbagai industri apabila pemerintah mengetatkan dasar pekerja asing pada 2012. Namun, kemudian semasa perbahasan mengenai dasar populasi, WP mencadangkan sifar pertumbuhan tenaga kerja asing. Baru-baru ini pula, mereka menggesa kuota dilonggarkan apabila syarikat kecil dan sederhana (SME) menghadapi kekurangan pekerja.
“Ini sebahagian daripada politik pembangkang. Lebih mudah untuk mempertahankan sesuatu pendirian apabila anda tidak perlu menyelaras pelbagai tuntutan yang bersaing, atau memikul tanggungjawab ke atas hasilnya.
“Mentadbir itu berbeza. Kita tidak boleh sekadar menawarkan apa yang kedengaran menarik hari ini, atau menawarkan janji mudah. Kita mesti membuat pilihan sukar yang mampu bertahan mengharungi ujian masa,” kata beliau, yang juga Setiausaha Agung PAP.
Encik Wong menambah, Singapura juga mesti berwaspada terhadap populisme, godaan untuk menawarkan penyelesaian mudah dan cetek, dan bukannya mendepani realiti yang sukar.
Paling penting, pemerintah tidak boleh sama sekali membiarkan politik menjadi begitu terpecah belah sehingga hilang keupayaan untuk bekerjasama demi kebaikan Singapura.
Sebab itulah, sebagai parti pemerintah, PAP mesti sentiasa mengambil pandangan yang lebih luas dan berjangka panjang, dengan mempertimbangkan kepentingan Singapura dan rakyatnya secara keseluruhan dan bukan hanya mereka yang bersuara paling lantang.
Kadangkala, cabarannya bukanlah tentang mengimbangi kepentingan yang bersaing, tetapi adalah tentang menghadapi isu yang, dari segi politik, jauh lebih mudah untuk dibiarkan sahaja, kata Encik Wong.
Ini seperti isu semakan gaji politik, tenaga manusia dan perumahan.
Namun, pemerintah tidak boleh mengelak daripada membuat keputusan yang sukar semata-mata kerana ia tidak popular.
“Kerana apabila kita menangguhkan keputusan yang sukar, kita tidak melenyapkan masalah tersebut. Kita sekadar menyerahkannya kepada mereka yang datang selepas kita – dan sering kali meninggalkan mereka dengan pilihan yang jauh lebih sukar kelak.
“Oleh itu, komrad, kita mesti mempunyai keberanian untuk bertindak – bukan sahaja demi rakyat Singapura hari ini, tetapi juga untuk anak dan cucu kita yang bakal mewarisi Singapura yang kita bina,” kata beliau.