Ketidaksamaan adalah isu penting yang merupakan keprihatinan Singapura dan pemerintah telah cuba menanganinya secara konsisten dan sistematik selama bertahun.
Namun, lebih daripada sekadar ketidaksamaan, adalah penting juga memastikan terdapat mobiliti sosial dan peluang.
Ini untuk memastikan kanak-kanak yang membesar dalam keluarga berpendapatan rendah atau latar belakang yang kurang bernasib baik masih boleh mengakses peluang yang baik, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Menjawab soalan yang diajukan peserta semasa dialog The Singapore Dream and You pada 21 Januari, Encik Wong berkata ketidaksamaan pendapatan di Singapura telah menurun saban tahun.
“Ia menurun kerana kami telah cuba mencari cara dan jalan untuk meningkatkan pekerja bergaji rendah dan usaha kami telah mendatangkan hasil dan kami akan teruskan usaha ini,” jelas beliau.
Pun begitu, ketidaksamaan bukanlah satu-satunya isu yang perlu diberi perhatian, tambahnya.
“Ia juga mengenai mobiliti dan peluang untuk memastikan bahawa kanak-kanak yang membesar dalam keluarga berpendapatan rendah, latar belakang keluarga yang kurang bernasib baik masih boleh mengakses peluang yang baik dan boleh mempunyai permulaan yang baik dalam hidup. Itu penting.
“Ini supaya kami boleh memberi jaminan kepada anak-anak ini, tanpa mengira latar belakang anda, tanpa mengira pendapatan keluarga anda, kami boleh memberikan peluang yang saksama kepada setiap warga Singapura, dan itulah yang kami sedang gigih mengusahakan,” kata Encik Wong.
Selain soalan mengenai ketidaksamaan dan memastikan kesepaduan sosial, sesi dialog anjuran unit maklum balas pemerintah, Reach, dan organisasi mahasiswa, Varsity Voices, yang dihadiri hampir 900 pelajar daripada pelbagai institusi pengajian itu turut melihat peserta mengajukan pelbagai soalan berkaitan geopolitik, perumahan dan peluang bagi individu berkeperluan khas, antara lain.
Beberapa soalan menyentuh kepimpinan Encik Donald Trump yang baru mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat serta kesannya ke atas Singapura dan dunia secara amnya.
Akur bahawa dunia berada dalam keadaan yang semakin mencabar sekarang, Encik Wong berkata realiti bahawa negara-negara semakin meletakkan kepentingan mereka dahulu adalah sesuatu yang tidak dapat dielak.
“Dari masa ke masa, adakah negara-negara akan memperkenalkan dasar bagi kepentingan mereka yang akan merugikan negara lain? Pasti, ia sering berlaku, dan itulah realiti yang malang kerana itulah arah tujuan dunia.
“Pentadbiran Trump telah menghasilkan agenda ‘Amerika dahulu’ dan semakin banyak negara akan mengikutinya... ia boleh berlaku dengan China dan ia boleh berlaku dengan jiran-jiran kita juga,” ujarnya.
Meskipun ia realiti yang harus diterima Singapura, ia juga bermakna negara ini mesti bekerja keras dan bekerja dengan rakan kongsi yang berfikiran serupa “untuk mengukuhkan norma global, untuk mengukuhkan institusi antarabangsa... yang penting bagi kami, dan untuk mencari jalan untuk mengukuhkan kerjasama saling menguntungkan”, tekan Encik Wong.
Menyentuh tentang media sosial dan pengaruh identiti luar pula, PM Wong berkata Singapura merupakan negara yang terbuka.
Oleh itu, adalah penting untuk membantu warganya menjadi lebih arif biarpun dari usia muda agar mereka dapat membezakan apa yang betul dan salah apabila melihat atau membaca sesuatu dalam talian.
“Walaupun kita berbeza pandangan, sekurang-kurangnya kita harus bersetuju dengan apa yang merupakan fakta.
“Di manakah anda mungkin tidak mempunyai maklumat sepenuhnya? Setidaknya, kita semua harus sampai pada tahap di mana kita mempunyai maklumat yang sama, dan jika kita mempunyai perbezaan pandangan, maka itu tiada masalah,” katanya.
Namun, apa yang menjadi kebimbangan ialah apabila terdapat pengaruh luar yang ingin menekankan naratif tertentu dengan tujuan mempengaruhi warga Singapura dengan agenda mereka.
“Itu sesuatu yang kami risaukan dan kami telah meletakkan beberapa perlindungan... dan akan terus memantau ruang tersebut,” tambah Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg