Perdana Menteri Encik Lawrence Wong menyambut baik fasa pertama perjanjian gencatan senjata di Gaza serta pembebasan semua tebusan.
Perjanjian ini merupakan sebahagian daripada rancangan yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk menamatkan konflik di Gaza.
Mengiktiraf kepimpinan Encik Trump serta peranan Qatar, Mesir dan Turkey, Encik Wong dalam hantaran di Facebook pada 10 Oktober berkata dua tahun telah berlalu sejak serangan Hamas.
Walaupun ia langkah pertama yang penting, laluan ke hadapan tidak mudah, tambahnya.
Beliau menekankan bahawa Singapura berharap satu perjanjian muktamad dapat dicapai supaya rakyat Gaza dapat membina semula kehidupan dan kediaman mereka.
“Singapura bersedia meningkatkan program pembangunan keupayaan bagi membantu rakyat Palestin dalam proses ini,” jelasnya.
Dalam hantaran di Instagram, beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai langkah bermakna ke arah keamanan dan menegaskan bahawa Singapura akan terus menyumbang “dalam apa jua cara yang termampu untuk memastikan rakyat Israel dan Palestin dapat hidup dalam keamanan dan keselamatan berkekalan.”
Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 9 Oktober turut mengalu-alukan perjanjian tersebut, sambil menyatakan bahawa gencatan senjata dan pembebasan tebusan akan membawa kelegaan besar buat rakyat Gaza dan Israel.
Perjanjian ini juga dijangka membuka laluan bagi bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan ke Semenanjung Gaza, di mana lebih setengah juta orang dilaporkan mengalami kebuluran akibat perang yang telah meragut lebih 67,000 nyawa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg