TEL AVIV: Pemerintah Israel pada 10 Oktober meluluskan perjanjian gencatan senjata dengan Hamas, membuka jalan untuk menamatkan perang dua tahun di Gaza dalam tempoh 24 jam serta membebaskan tebusan Israel dalam masa 72 jam selepas itu.
Kabinet Israel bersetuju dengan pelan berkenaan awal pagi 10 Oktober, kira-kira sehari selepas perantara mengumumkan perjanjian pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin - langkah pertama dalam inisiatif 20 perkara yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menamatkan konflik Gaza.
“Pemerintah baru sahaja meluluskan rangka kerja bagi pembebasan semua tebusan sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia,” kata akaun rasmi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu di platform X.
Konflik Gaza yang berlarutan dua tahun telah mengasingkan Israel di pentas antarabangsa, menggugat kestabilan Timur Tengah, dan menguji hubungan rapatnya dengan Washington. Encik Trump sebelum ini dilihat semakin hilang sabar dengan Encik Netanyahu dan mendesak beliau menerima perjanjian tersebut.
Dalam kenyataan rasmi, Encik Netanyahu berkata beliau telah mengadakan perbualan “hangat dan menyentuh hati” dengan Encik Trump selepas kelulusan perjanjian itu. “Kami saling mengucapkan tahniah atas kejayaan bersejarah menandatangani perjanjian bagi pembebasan semua tebusan,” katanya.
Namun, pelan itu bukan tanpa risiko politik. Menteri Keselamatan Negara Israel yang berhaluan kanan, Encik Itamar Ben-Gvir, memberi amaran bahawa partinya akan “menjatuhkan pemerintah” jika Hamas tidak dibubarkan. “Pemerintah tidak boleh berunding dengan kumpulan pengganas,” tulisnya di platform X.
Menteri Kewangan Encik Bezalel Smotrich turut menegaskan bahawa Hamas mesti “dimusnahkan sepenuhnya” sebaik sahaja tebusan dibebaskan.
Perjanjian itu dicapai hasil rundingan tidak langsung antara Israel, Hamas, dan diplomat Amerika termasuk Duta Besar Khas Encik Steve Witkoff serta menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner.
Encik Trump mengumumkan kejayaan rundingan itu sehari selepas ulang tahun kedua serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan 1,200 orang dan menculik sekitar 250 tebusan. Peperangan susulan yang dilancarkan Israel di Gaza telah menyebabkan lebih 67,000 penduduk Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut pegawai kesihatan tempatan.
Jurucakap pemerintah Israel berkata gencatan senjata akan berkuat kuasa dalam masa 24 jam selepas kelulusan Kabinet, manakala pembebasan tebusan dijangka berlaku dalam tempoh 72 jam selepas itu.
Sejumlah 20 tebusan Israel dipercayai masih hidup di Gaza, 26 lagi disahkan telah meninggal dunia, dan nasib dua orang masih tidak diketahui. Hamas memaklumkan bahawa proses mencari mayat mangsa yang telah meninggal dunia mungkin mengambil masa lebih lama.
Di bawah perjanjian itu, pertempuran akan dihentikan, Israel akan menarik balik sebahagian tenteranya dari Gaza, dan Hamas akan membebaskan semua baki tebusan sebagai pertukaran dengan ratusan tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Trak bantuan makanan dan perubatan akan dibenarkan memasuki Gaza dalam jumlah besar untuk membantu ratusan ribu penduduk yang kini berlindung di khemah selepas rumah dan bandar mereka musnah akibat serangan udara.
Berita gembira itu disambut dengan kegembiraan oleh penduduk di kedua-dua belah sempadan. “Segala puji bagi Allah atas gencatan senjata ini, atas berakhirnya pertumpahan darah dan pembunuhan,” kata Encik Abdul Majeed Abd Rabbo dari Khan Younis, selatan Gaza. “Seluruh Gaza gembira, seluruh dunia Arab gembira dengan berakhirnya perang ini.”
Di Tel Aviv, suasana penuh emosi menyelubungi Dataran Tebusan apabila keluarga mangsa meraikan berita pembebasan. Cik Einav Zaugauker, ibu kepada Encik Matan Zangauker, salah seorang tebusan terakhir yang masih hidup menangis kegembiraan. “Saya tidak dapat bernafas, saya tidak dapat jelaskan perasaan ini... ia seperti mimpi,” katanya sambil memegang lilin di bawah cahaya suar merah.
Tanda-tanda awal penarikan balik tentera Israel sudah kelihatan. Seorang saksi di kem Nuseirat di tengah Gaza memberitahu Reuters bahawa beliau melihat tentera Israel memusnahkan pos kawalan yang ditinggalkan serta menurunkan kren pemantauan.
Di koridor Netzarim, kawasan utama penempatan tentera Israel, pasukan tentera dilihat melepaskan puluhan bom asap petunjuk jelas bahawa proses pengunduran sedang dijalankan.
Jika semua langkah dilaksanakan, perjanjian ini akan menjadi titik perubahan penting yang menamatkan konflik paling berdarah di rantau itu sejak lebih dua dekad lalu. Seperti yang dinyatakan seorang diplomat Arab, “Gencatan senjata ini bukan penghujung perjalanan, tetapi permulaan kepada harapan baharu bagi keamanan sebenar di Gaza.
”Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyambut baik perkembangan itu dan menggesa semua pihak mematuhi sepenuhnya terma perjanjian tersebut, menyifatkannya sebagai “peluang besar untuk mengiktiraf hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.”
Kolonel Steve Warren, bekas pegawai kanan Pentagon, memberitahu NBC News bahawa jika perjanjian ini bertahan, ia akan “membuka era keamanan yang belum pernah disaksikan di Timur Tengah sejak serangan berdarah pada 7 Oktober.”- Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg