Sistem pemerintahan dan politik Singapura mesti sentiasa bersih dan bebas daripada rasuah, kata Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Dalam satu kenyataan pada 3 Oktober, Encik Wong berkata mereka yang diamanahkan dengan perkhidmatan awam mesti mempertahankan piawaian integriti tertinggi dan kelakuan mereka tidak boleh dicela.
Ini bagi Encik Wong adalah suatu sifat yang “sangat penting dan tidak boleh dirunding”.
“Saya kecewa dan sedih kerana kerjaya politik Encik S. Iswaran berakhir seperti ini. Dia telah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) selama lebih 25 tahun.
“Dia adalah AP yang aktif dan terlibat, tangani kebimbangan penduduknya dan membuat penambahbaikan kepada kemudahan di GRC West Coast.
“Dia memegang portfolio Menteri di Kementerian Perhubungan dan Penerangan, Kementerian Pengangkutan, dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan. Dia memberi sumbangan yang besar dalam semua peranan ini.
“Tetapi sumbangannya yang lalu tidak membetulkan kesilapan ini. Walaupun menyakitkan untuk bertindak terhadap rakan sekerja dan rakan sendiri, adalah menjadi kewajipan kita berbuat demikian apabila perlu,” kata Encik Wong.
Hakim Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas Iswaran.
Iswaran mengaku bersalah atas empat pertuduhan memperoleh, sebagai penjawat awam, barang berharga tanpa pertimbangan (Seksyen 165 Kanun Keseksaan) dan satu pertuduhan menghalang perjalanan keadilan (Seksyen 204A(a) Kanun Keseksaan).
Sebanyak 30 pertuduhan lagi di bawah Seksyen 165 diambil kira bagi tujuan menjatuhkan hukuman. Kesalahan di bawah Seksyen 165 memperkatakan secara khusus rasuah dan lain-lain bentuk amalan rasuah yang melibatkan penjawat awam.
Mahkamah berkata bahawa intipati kesalahan di bawah Seksyen 165 ialah kerosakan kepada kepercayaan, dan integriti, institusi awam berpunca daripada persepsi bahawa penjawat awam mungkin disogok oleh tawaran barangan berharga daripada orang yang berminat.
Hakim Vincent Hoong berkata lebih tinggi pangkat penjawat awam itu, lebih tinggi akan kesalahan dan lebih besar kesan terhadap kepentingan awam.
Encik Wong berkata tiada sistem politik yang kebal daripada kelemahan manusia dan tidak kira betapa tegasnya tindakan pemerintah terhadap rasuah, dari semasa ke semasa, sesetengah individu akan tergoda dan akan membuat kesilapan.
“Sistem kami memastikan bahawa pegawai awam kami bertanggungjawab, dan tiada siapa yang berada di luar penelitian atau di atas undang-undang. Saya dan pasukan saya akan terus tegakkan piawaian integriti dan kewajaran tertinggi.
“Integriti sistem Singapura dan nada masyarakat kita sangat bergantung pada kepimpinan politik kanan yang kekal bersih dan tidak boleh rosak, dan tidak berputus asa dalam bertindak menentang rasuah di mana-mana sahaja ia ditemui.
“Kami akan melakukan apa yang betul bagi Singapura dan warga Singapura, tanpa mengira kos politik atau kesakitan peribadi yang kami rasa apabila rakan sekerja dan rakan sendiri telah dipenjarakan,” kata Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg