Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: S’pura akan pastikan manfaat penggunaan AI dinikmati secara meluas
PM Wong: S’pura akan pastikan manfaat penggunaan AI dinikmati secara meluas
Pendekatan Singapura terhadap kecerdasan buatan (AI) adalah untuk memastikan manfaat penggunaan teknologi tersebut dinikmati secara meluas, selain melindungi setiap pekerja berbanding setiap jenis pekerjaan.
Negara ini mampu mencapai matlamat tersebut kerana ia telah membina kesepakatan yang kukuh antara pemerintah, majikan dengan kesatuan tempatan sejak berdekad lalu yang memberi tumpuan kepada manfaat bersama bagi semua pihak, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Persidangan CEO Global Forbes di Hotel Shangri-La Singapore, pada 8 Oktober.
Dalam satu sesi dialog bersama Pengerusi merangkap Ketua Editor Forbes Media, Encik Steve Forbes, Encik Wong ditanya mengenai cara Singapura menangani isu kehilangan pekerjaan akibat peralihan ke dunia AI.
Beliau menjawab bahawa berbanding sesetengah negara yang menganggap kesatuan sebagai satu halangan, Singapura sebaliknya menerima kesatuan sebagai rakan kongsi yang memainkan peranan penting dalam penggunaan AI.
Sebagai contoh, geran pemerintah bagi transformasi syarikat diuruskan oleh kesatuan.
Melalui geran ini, syarikat dikehendaki melatih pekerja mereka dengan kemahiran baharu, seiring usaha meningkatkan keupayaan teknologi maklumat syarikat.
“Ini bukan bermakna syarikat tidak boleh memberhentikan pekerja, kerana automasi mungkin akan menghilangkan sesetengah pekerjaan,” kata Encik Wong.
“Tetapi apa yang kami minta ialah supaya syarikat bersikap adil – menjadikan pemberhentian pekerja sebagai langkah terakhir.
“Jika (syarikat) perlu melakukannya, layan pekerja dengan adil, bayar faedah pemberhentian, berikan notis awal, dan maklumkan kepada kesatuan agar mereka boleh bekerjasama dengan pekerja bagi membantu mereka menjalani latihan semula dan akhirnya mendapatkan pekerjaan baharu.”
Menurut Encik Wong, Singapura berjaya mencatatkan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sebanyak 5 peratus selama tiga tahun berturut-turut, sebahagian daripadanya didorong oleh kehadiran syarikat-syarikat gergasi di negara ini.
Ini termasuk GlobalFoundries dan Micron yang mengeluarkan cip khas yang mendapat permintaan tinggi susulan lonjakan AI, selain ekosistem semikonduktor kukuh yang telah dibangunkan di negara ini.
“Lonjakan AI ini bukan sahaja memberi manfaat kepada industri semikonduktor dan sektor berkaitan, malah turut memberi kesan limpahan positif kepada industri lain seperti logistik serta perkhidmatan profesional,” tambahnya.
Namun, beliau memberi peringatan bahawa tiada lonjakan ekonomi yang akan berterusan selamanya.
Oleh itu, Singapura mengambil pendekatan memanfaatkan peluang keemasan ini untuk membina keupayaan baharu serta mencipta peluang pekerjaan lebih baik untuk rakyatnya.
Apabila ditanya mengenai kawal selia AI, Encik Wong berkata keselamatan teknologi itu merangkumi dua aspek utama.
Aspek pertama melibatkan risiko kehilangan kawalan ke atas sistem AI autonomi yang lebih berkuasa, serta ancaman pihak tidak bertanggungjawab yang mengeksploitasi keupayaan ini untuk mengakibatkan kemusnahan berskala besar.
Ini mungkin dilakukan menerusi bio-pengganasan, serangan siber mahupun penghasilan senjata pemusnah besar-besaran.
Beliau menyambut baik langkah Amerika Syarikat menubuhkan pasukan khas bagi memantau teknologi ini, namun menambah bahawa peraturan dan piawaian bagi pembangunan AI termaju perlu dibuat secara sejagat, seperti di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Aspek kedua pula melibatkan aplikasi AI, dengan syarat yang ditetapkan berbeza-beza mengikut sektor, kata Encik Wong.
Beliau memberi contoh bagaimana Singapura kini sedang menguji kenderaan autonomi tanpa pemandu bagi memahami keperluan keselamatannya.
Kenderaan ini bakal digunakan di jalan raya tempatan, namun ia akan dilaksanakan dengan pengawasan kawal selia demi memastikan keselamatan, serta dilakukan secara berperingkat agar kesan ke atas pemandu sedia ada dapat dikawal dengan baik.
“Jadi itulah pendekatan keseluruhan kami di peringkat sektor: memberi tumpuan kepada aplikasi AI, tetapi pada masa sama memastikan kita melakukannya secara bertanggungjawab dan selamat, supaya manfaat AI dapat dinikmati oleh sebahagian besar tenaga kerja,” katanya.