Singapura perlu memperkukuhkan keupayaan pemulihan yang melebihi kaunseling keagamaan Islam, dengan semakin ramai anak muda terjebak dalam kancah ekstremisme ganas dan teknologi digital yang menjadikan propaganda melampau lebih mudah diakses.
Ini termasuk campur tangan menyasarkan belia radikal seperti pementoran, kesejahteraan siber dan program bagi memperbaiki kemahiran sosial mereka yang sudah mula dijalankan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pada 13 September.
Berucap sewaktu majlis penghargaan makan tengah hari untuk sukarelawan masyarakat anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di Parkroyal Collection Marina Bay, Encik Wong berkata ideologi ekstrem pada hari ini tidak hanya terbatas kepada unsur keagamaan, malah semakin pelbagai.
Contohnya, semakin ramai tertarik dengan gerakan neo-Nazi atau subkultur ‘incel’ yang membenci dan memusuhi kaum wanita secara melampau.
Teknologi digital juga menjadikan propaganda ekstremis semakin mudah diakses lantas mengubah landskap ancaman dan keselamatan, katanya.
“Kita akan mengukuhkan keupayaan pemulihan kita. Kita harus melangkaui kaunseling agama Islam, dengan mengambil kira bagaimana rakyat Singapura terjebak dalam pelbagai ideologi ekstremis yang lebih luas,” ujar Encik Wong.
Tambahnya, usaha sudah dijalankan dan telah membuahkan hasil positif. Beliau memberi contoh remaja Kristian berusia 16 tahun yang ditahan pada Disember 2020 kerana merancang serangan masjid.
Hasil kaunseling dan bimbingan, warga Singapura pertama ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana radikalisasi sayap kanan itu dibebaskan pada Januari 2024 dan kini belajar di institut pengajian tinggi.
Ucapan Encik Wong itu menyusuli laporan terkini mengenai dua warga tempatan diberi arahan sekatan di bawah Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Ini termasuk pelajar berusia 14 tahun yang menyifatkan dirinya sebagai anggota ISIS, membenci wanita dan orang Yahudi serta yang pertama menjadi radikal akibat mencampur aduk beberapa ideologi ekstrem.
Seorang lagi warga Singapura yang dikenakan arahan sekatan ialah pemilik perniagaan dalam talian, Muhammad Jihadul Mustaqiim Mahmud, 30 tahun.
Beliau pula telah memupuk rasa simpati terhadap warga Syria yang terjejas dengan konflik sejak 2011 dan menjelang akhir 2019, mahu berjuang bersama kumpulan pemberontak Syria untuk menjatuhkan rejim Assad.
Encik Wong menyifatkan betapa keadaan tersebut membimbangkan kerana semakin ramai anak muda terjebak dalam ideologi melampau.
Sejak 2015, seramai 18 belia antara usia 14 tahun dengan 20 tahun ditangani di bawah ISA. Lebih daripada dua pertiga timbul hanya dalam lima tahun lalu.
Singapura akan memperkukuh kerjasama antarabangsa dengan bertukar risikan, kepakaran serta sumber supaya dapat menumpaskan rancangan pengganas, ujar Encik Wong.
Banyak negara, katanya, ingin belajar daripada pendekatan pemulihan Singapura, dan dalam pada itu, Singapura akan saling belajar daripada mereka juga.
Mengenai peranan setiap warga, beliau mengingatkan agar semua kekal berhati-hati.
“Agensi keselamatan kita akan melakukan yang terbaik untuk mengesan dan melumpuhkan ancaman.
“Namun setiap rakyat Singapura juga perlu memainkan peranan.
“Jika anda melihat orang tersayang tunduk kepada ideologi melampau, anda perlu melaporkannya awal supaya mereka boleh menerima bantuan.
“Saya tahu ia tidak mudah. Saya juga ada rakan yang telah terpesong. Saya kenali mereka apabila mereka lebih muda, dan tidak pernah menyangka mereka akan berpaling pada ektremisme.
“Tetapi perkara ini boleh berlaku, dan apabila ia berlaku, kita mahu mampu untuk bertindak awal dan bantu mereka kembali ke pangkal jalan secepat mungkin,” kongsi beliau.
Encik Wong turut menggesa agar masyarakat terus membina ikatan yang kukuh dan padu.
Mereka yang rasa terasing seringkali menjadi mangsa radikalisasi, di mana mereka berpaling kepada sumber dalam talian untuk mencari tujuan dan lantas terdedah kepada kandungan melampau, katanya.
“Untuk mengatasinya, kita perlu memupuk rasa (mereka) sebahagian masyarakat, hubungan manusia dan kepercayaan.
“Selama 60 tahun, kita telah bekerja keras untuk mengeratkan jalinan antara kaum dan agama. Ini kekal penting.
“Tetapi kita juga mesti berjaga-jaga dengan perpecahan baru, seperti yang berlaku atas dasar sosial-ekonomi,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut menyampaikan penghargaan mendalam kepada sekitar 400 sukarelawan yang hadir atas sumbangan dan peranan mereka.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg