Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: S’pura-AS kerjasama wujudkan mekanisme kuat kuasa kawalan eksport cip
Siasatan terhadap firma berpangkalan S’pura, Megaspeed International, diteruskan selepas disenarai hitam AS
PM Wong: S’pura-AS kerjasama wujudkan mekanisme kuat kuasa kawalan eksport cip
CANBERRA: Singapura sedang bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk mewujudkan satu mekanisme bagi memudahkan penguatkuasaan kawalan eksport cip negara itu.
Dalam masa yang sama, negara ini meneruskan siasatan terhadap syarikat berpangkalan di Singapura, Megaspeed International, atas kemungkinan pelanggaran undang-undang tempatan.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata demikian pada 24 November, beberapa jam selepas Amerika bertindak menyenaraihitamkan Megaspeed dan enam syarikat berkaitan di Singapura, Malaysia dan Thailand berhubung risiko pemindahan tidak sah teknologi pengkomputeran canggih.
Singapura juga sedang menyiasat syarikat yang berkemungkinan mengeksploitasi kedudukannya sebagai hab perdagangan untuk melencongkan eksport cip kecerdasan buatan (AI) canggih ke negara lain, tambah Encik Wong.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Australia, Encik Anthony Albanese.
“Amerika mempunyai kawalan eksport ke atas cipnya.
“Kami tidak menguatkuasakan kawalan eksport Amerika, tetapi kami tidak mahu Singapura dipergunakan dan disalahgunakan sebagai laluan perantara oleh syarikat untuk memintas kawalan eksport Amerika,” katanya bagi menjawab soalan penyiar Australia, SBS.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pentadbiran Amerika dalam hal tersebut bagi memudahkan proses perkongsian maklumat, untuk merangka satu mekanisme di mana Amerika boleh melaksanakan penguatkuasaannya sendiri.”
Namun, usaha tersebut rumit, memandangkan Singapura tidak mempunyai maklumat penuh mengenai destinasi akhir cip-cip tersebut, tambahnya.
Apabila ditanya sama ada Amerika telah melakukan usaha mencukupi untuk membantu Singapura dalam siasatannya, Encik Wong berkata:
“Kami memang ada meminta beberapa maklumat, namun tidak semuanya diberikan.”
Singapura sedang meneruskan perbincangan dengan penguasa Amerika untuk mengenal pasti pengguna akhir cip yang dibeli Megaspeed serta mengesahkan dokumen berkaitan urus niaga tersebut, katanya.
“Di pihak Singapura, tumpuan kami kini adalah untuk menentukan sama ada Megaspeed telah melanggar mana-mana undang-undang negara ini.
“Sekali lagi, kami sedang meneruskan siasatan kami,” ujar Encik Wong.
Jabatan Perdagangan Amerika pada 23 November bertindak menyenaraikan Megaspeed dan enam syarikat berkaitan ke dalam Senarai Entiti, dengan memetik risiko teknologi pengkomputeran canggih dilencongkan kepada pengguna akhir atau digunakan bagi kegiatan yang tidak dibenarkan.
Syarikat yang berada dalam senarai tersebut tertakluk kepada syarat pelesenan eksport tambahan Amerika, dengan permohonan berkemungkinan besar akan ditolak.
Dua lagi syarikat Singapura yang disenaraikan ialah Apex Enterprise Solutions (Singapore) dan Swiftdata, manakala tiga lagi berada di Malaysia dan satu di Thailand.
Megaspeed – sebuah syarikat pengkomputeran awan dan prasarana AI – mula mendapat tumpuan pada Oktober 2025 susulan laporan bahawa pihak berkuasa Amerika sedang menyiasat sama ada syarikat itu telah membantu pelanggan China memperoleh cip canggih Nvidia yang tertakluk di bawah kawalan eksport negara itu.
Encik Wong pada 24 November menegaskan bahawa Singapura akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap syarikat yang didapati melanggar undang-undangnya.
Beliau berkata Amerika semakin memberi perhatian terhadap cip yang dipindahkan melalui pemunggahan atau dialihkan melalui Singapura ke negara lain, dan kedua-dua pihak sedang bekerjasama rapat dalam bidang ini.
Encik Albanese pula berkata Australia dan Singapura berkongsi pandangan serupa mengenai isu tersebut, dan negara-negara perlu berkongsi maklumat serta pengalaman, selain membangunkan amalan terbaik di peringkat serantau dan pelbagai hala.
Kedua-dua pemimpin itu bercakap kepada pihak media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Pemimpin Tahunan Singapura-Australia ke-11 di Canberra, sempena lawatan rasmi tiga hari Encik Wong ke Australia dari 23 hingga 25 November.