Singapura menjangkakan semua pihak akan memenuhi komitmen masing-masing di bawah kontrak komersial dan pengimport gas setempat akan mengambil langkah yang diperlukan untuk melindungi hak dan kepentingan mereka, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Encik Wong, yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), berkata demikian setelah Indonesia mengumumkan ia memotong eksport gas asli ke Singapura sebanyak 31 bilion unit terma British sehari (BBTUD) bermula 24 Oktober.

Pengurangan bekalan gas asli dari Indonesia ini membentuk kurang dua peratus daripada keseluruhan permintaan gas harian Singapura, kata Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada 24 Oktober. Jumlah permintaan gas harian Singapura mencecah lebih 1,000 BBTUD,

EMA menambah berdasarkan maklumat diterima oleh pengimport gas asli Singapura, jumlah pengurangan itu mencecah 17 BBTUD bagi tempoh 18 hari.

Berucap di acara Persidangan dan Anugerah PAP 2026 di Ekspo Singapura pada 25 Oktober, Encik Wong berkata:

“Bekalan gas terikat dengan kontrak komersial. Kami menjangkakan semua pihak untuk memenuhi komitmen masing-masing, dan pengimport gas Singapura akan mengambil langkah yang perlu bagi melindungi hak serta kepentingannya di bawah kontrak-kontrak tersebut.”

Oleh demikian, beliau menambah bahawa adalah penting bagi Singapura untuk merancang keperluan tenaga bagi masa hadapan.

“Kami telah membuat persiapan bagi risiko sedemikian. Kami telah membuat pelaburan dalam terminal gas asli cecair (LNG) untuk mengimport gas dari negara berbeza, tanpa perlu bergantung pada laluan paip.

“Ini memberikan kami lebih banyak pilihan untuk mengurus sebarang gangguan kepada bekalan gas kita,” ujarnya lagi.

Sementara itu, EMA berkata pihak berkuasa mempunyai pelan luar jangka bagi menangani pengurangan bekalan sedemikian.

Contohnya, Singapura pernah mengalami pengurangan bekalan gas antara 20 BBTUD hingga 100 BBTUD sejak beberapa bulan kebelakangan ini akibat kerja penyelenggaraan yang dirancang atau segera.

Kekurangan tersebut berjaya diganti dengan sumber gas lain tanpa sebarang insiden. EMA telah mengatakan Singapura mempunyai bekalan tenaga yang mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik.

Singapura bergantung kepada gas asli bagi 95 peratus keperluan penjanaan kuasanya.

Gas ini disalurkan menerusi paip dari Malaysia dan Indonesia, ataupun dalam bentuk LNG dari seluruh dunia.

Jurucakap EMA menambah, Singapore GasCo – entiti pemerolehan dan pembekalan gas asli pusat negara ini – bersedia dari segi operasi untuk mengimport lebih banyak LNG pada bila-bila masa.