Laos dan Singapura kedua-duanya menghadapi cabaran dari segi geografi – Laos dikelilingi darat manakala Singapura pula dikelilingi laut.
Ini bermakna kedua-dua negara mempunyai kepentingan sama untuk kekal terhubung dengan rantau ini dan dunia, dengan sifat berdaya tahan dalam dunia yang kian tidak menentu, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
“Bersama, kita boleh mengubah keterbatasan ini menjadi kekuatan, dengan mengendalikan projek yang saling bermanfaat bagi rakyat,” katanya semasa berucap di majlis jamuan malam anjuran Perdana Menteri Laos, Dr Sonexay Siphandone, di Vientiane pada 11 Oktober.
Awal dari itu, kedua-dua pemimpin tersebut berbincang tentang hubungan dua hala Singapura-Laos serta kemajuan yang dicapai dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk tenaga hijau dan hubungan antara rakyat.
Singapura dan Laos telah menjalin hubungan diplomatik selama 50 tahun.
Encik Wong sedang mengadakan lawatan ke Vientiane dari 9 hingga 12 Oktober sempena Sidang Puncak Asean yang ke-44 dan ke-45 dan Sidang Puncak Berkaitan, yang dipengerusikan Laos bagi 2024.
Lawatannya ke Laos merupakan yang terkini dalam siri lawatan menteri peringkat tinggi ke negara itu, dengan hubungan antara kedua-dua negara kian berkembang sejak hubungan diplomatik dijalin pada 1974.
Pada Julai 2024, Dr Sonexay berkunjung ke Singapura, dengan kedua-dua negara memeterai perjanjian untuk bekerjasama dalam bidang kredit karbon serta meningkatkan peluang pertukaran melibatkan pelajar dan pendidikan.
Berucap di majlis jamuan malam itu, Dr Sonexay menarik perhatian kepentingan bersama Singapura dan Laos dari segi kerjasama dalam bidang tenaga bersih dan pembangunan sumber manusia.
Beliau juga menarik perhatian hubungan kerja yang rapat antara Singapura dengan Laos.
Dr Sonexay turut mengalu-alukan langkah mengembangkan kerjasama politik dan mempelbagai kerjasama ekonomi untuk memastikan hasil yang kukuh.
Pada 2022, Singapura mula mengimport tenaga hidrokuasa yang boleh diperbaharui dari Laos – salah satu pengeksport hidrokuasa terbesar di Asia – menerusi Thailand dan Malaysia.
Ini merupakan sebahagian usaha yang dinamakan Projek Penyepaduan Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP).
Pada September 2024, projek itu memasuki fasa kedua, dengan menambah perdagangan kuasa rentas sempadan daripada 100MW kepada 200MW, dengan Malaysia menyertai Laos sebagai salah satu negara sumber.
Menyusuli pemeteraian perjanjian kredit karbon pada Julai, Laos dan Singapura juga sedang bekerjasama untuk menghasilkan rangka kerja yang terikat dengan undang-undang bagi pelaksanaannya.
“Apabila selesai, ini akan membantu Singapura mencapai matlamat iklim kami, sementara memangkin pelaburan hijau yang baru di Laos,” ujar Encik Wong.
Singapura dan Laos juga sedang bekerjasama dalam bidang keterjaminan makanan dan sistem kesihatan awam.
Dalam ucapannya, Encik Wong turut mengumumkan Program Latihan Kepimpinan dan Tadbir Urus yang baru bagi pegawai pemerintah Laos yang akan bermula pada 2025.
Program tersebut bertujuan berkongsi pengalaman pembangunan Singapura dan menyediakan wadah untuk saling berkongsi amalan terbaik.
Menarik perhatian hubungan antara rakyat yang kian berkembang, Encik Wong juga mengalu-alukan pengumuman syarikat penerbangan Scoot untuk menambah jumlah penerbangan ke Vientiane daripada tiga penerbangan kepada empat penerbangan seminggu mulai Disember 2024.
Dalam pada itu, di Sidang Puncak Asia Timur (EAS) yang dihadiri Encik Wong pada 11 Oktober, Singapura menggesa rakan kerja utama Asean, termasuk Amerika Syarikat dan China, untuk menggunakan pengaruhnya ke atas pihak berkuasa Myanmar untuk menghentikan keganasan di negara itu dan membantu membuka laluan bagi bantuan kemanusiaan serta perdamaian.
“Asean akan memainkan peranan namun kami memerlukan rakan kerja kami (dari luar Asean) untuk memainkan peranan juga,” kata Encik Wong.
Tambahnya, sokongan daripada rakan kerja Asean dalam menangani cabaran serantau ini penting bukan sahaja untuk mengatasi konflik di Myanmar tetapi juga untuk memastikan wadah EAS akan terus memainkan peranan penting.
Dengan Asean di terasnya, EAS menyatukan lapan rakan kerja utama termasuk Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan Amerika.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg