Adalah penting bagi semua negara untuk bersuara dan memahami perspektif masing-masing demi membina kepercayaan dan menyelaras kerjasama dalam bidang yang saling diminati, kata Perdana Menteri Encik Lawrence Wong (gambar sisipan).
Menyatakan demikian dalam catatan Facebooknya pada 11 Oktober, Encik Wong berkata menerusi kerjasama yang ketara termasuk dalam bidang seperti ekonomi, digital, kemampanan, keselamatan dan isu lain, Asean mampu mencorak Asia Pasifik yang lebih terbuka dan inklusif.
Encik Wong yang kini sedang mengadakan lawatan ke Vientiane, Laos, dari 9 hingga 12 Oktober bagi Sidang Puncak Asean yang ke-44 dan ke-45 dan Sidang Puncak Berkaitan, berkata:
“Puncak Asean bukan sekadar bagi anggota Asean sahaja tapi juga melibatkan mesyuarat dengan rakan luar kami – seperti China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan Amerika Syarikat.
“Kami bertemu setiap pemimpin mereka secara individu, dan juga secara berkumpulan bagi Kumpulan Asean Plus (APT) dan Puncak Asia Timur.
“Penglibatan sebegini mengesahkan kepentingan “Pusat Asean”.
“Ia bukan bermakna Asean mengawal segalanya, tapi ia bermakna bahawa Asean menawarkan wadah utama bagi perbincangan serantau dalam banyak isu.
“Perspektif kami mungkin berbeza atau berasingan. Tapi penting bagi semua negara untuk menyatakan dan mempunyai pemahaman tentang perspektif satu sama lain.
“Ini membina kepercayaan dan menyelaras kerjasama dalam bidang yang saling diminati,” tambahnya.
Mesyuarat ini merupakan Sidang Puncak Asean pertama yang dihadiri Encik Wong sebagai Perdana Menteri sejak menyandang jawatan itu pada Mei 2024.
Singapura dan Laos, yang merupakan pengerusi semasa Asean, menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2024.
Di sidang itu juga, Encik Wong telah bertemu dengan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang.
Dalam satu catatan Facebook pada 11 Oktober, Encik Wong berkata tahun ini menandakan sambutan 30 tahun Taman Perindustrian Suzhou, dan pada 2025 “kita akan menyambut 35 tahun hubungan diplomatik”.
Beliau berkata: “Kali terakhir saya bertemu dengan Perdana Menteri Encik Li Qiang ialah pada 2023, dan saya gembira dapat bertemu dengannya, dalam jawatan baru saya, di luar sidang puncak.
“Singapura dan China berkongsi hubungan yang lama dan mendalam. Hubungan dua hala kami dalam keadaan cemerlang. Kami mengadakan pertukaran baik mengenai cara meluaskan lagi kerjasama menerusi Kerjasama Bertumpu Masa Depan Berkualiti Tinggi Secara Menyeluruh,” tambahnya.
Dalam catatannya itu juga Encik Wong berkata bahawa Majlis Bersama Singapura-China bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) adalah platform puncak dua hala bagi menyemak dan menetapkan arah keseluruhan kerjasama kededua negara.
“Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong telah mengambil alih daripada saya selaku Pengerusi bersama (Singapura) bagi JCBC dan akan menjadi hos kepada Naib Perdana Menteri China, Encik Ding Xuexiang bagi JCBC selanjutnya lewat tahun ini.
“Saya nantikan hubungan lebih kukuh dengan China, demi manfaat rakyat kededua negara,” jelas Encik Wong dalam catatannya itu lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg