PM Wong: S’pura mesti sesuaikan strategi ekonomi dalam dunia kian berubah
PM Wong: S’pura mesti sesuaikan strategi ekonomi dalam dunia kian berubah
Kedudukan fiskal S’pura yang kukuh adalah kelebihan strategik dalam dunia tidak menentu
Singapura mesti menyesuaikan strategi ekonominya untuk terus berkembang dan mewujudkan peluang bagi semua rakyatnya, lebih-lebih lagi dalam dunia yang kian berubah dengan negara kecil semakin dipinggirkan, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Bercakap semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2026 pada 26 Februari, Encik Wong berkata kedudukan fiskal Singapura yang kukuh merupakan kelebihan strategik dalam dunia yang tidak menentu kerana ia menyediakan negara ini dengan keupayaan untuk melabur dalam ekonomi dan rakyatnya.
Menurutnya, negara ini mampu mengharungi masa sukar pada masa lalu kerana adanya sistem cukai dan perbelanjaan yang mantap serta progresif. Maka itu, pemerintah akan kekal berdisiplin dan terus mengimbangi Belanjawannya untuk melindungi daya tahan jangka panjang negara.
Dalam dunia yang kian berubah ini, Singapura juga akan mempelbagaikan hubungannya sambil memperdalam perkongsian dengan negara lain yang dipercayai.
Dalam ucapan selama sejam itu, Encik Wong turut memberi respons kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh 67 Anggota Parlimen (AP) sepanjang tiga hari perbahasan Belanjawan 2026.
Antara isu yang diutarakan termasuk mengenai lebihan Belanjawan yang mencatat rekod $15.1 bilion bagi tahun kewangan 2025 dan usaha kecerdasan buatan (AI) nasional.
Encik Wong telah membentangkan Belanjawan bernilai $154.7 bilion – yang tertinggi sejauh ini – pada 12 Februari lalu.
Encik Wong berkata Singapura telah merasakan tekanan dalam dunia di mana “siapa yang kuat, dialah yang berkuasa”, terutamanya selepas Amerika Syarikat mengumumkan tarif Hari Pembebasan pada April 2025.
Beliau menambah bahawa Singapura akan mewujudkan kepimpinan dalam bidang utama untuk mewujudkan “nilai tersendiri yang tidak dapat ditiru oleh orang lain dengan mudah”.
Ini bermakna Singapura mesti kekal di hadapan dalam sektor perkilangan lanjutan, kewangan, perkhidmatan digital dan pertumbuhan baharu melalui pelaburan besar dalam penyelidikan dan pembangunan.
Encik Wong turut membincangkan isu ketepatan ramalan fiskal, yang diutarakan beberapa AP termasuk parti pembangkang, Parti Pekerja (WP).
Perbezaan ramalan adalah dalam julat yang munasabah setanding dengan ekonomi maju yang lain, kata beliau.
“Adakah ini kerana kami terlalu konservatif? Jawapan ringkasnya adalah tidak – unjuran kami disediakan oleh ahli ekonomi Kementerian Kewangan (MOF) menggunakan data terbaik yang ada pada permulaan setiap tahun kewangan, termasuk andaian pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) pada masa itu.”
Namun, bagi ekonomi kecil yang terbuka seperti Singapura, hasil pertumbuhan boleh berbeza dengan ketara daripada ramalan apabila keadaan global berubah kerana ia sangat bergantung pada persekitaran luaran, jelas Encik Wong.
Beliau menambah bahawa meramal pertumbuhan GDP Singapura adalah seolah-olah meramal pertumbuhan GDP dunia dan ini perkara yang “sangat, sangat sukar dilakukan”.
“Jadi ramalan dalam persekitaran sedemikian tidak akan pernah tepat,” kata Encik Wong sambil menambah bahawa pendekatan Singapura selama ini adalah bersifat bertanggungjawab dan profesional, dan akan kekal sedemikian.
Encik Wong turut membincangkan apa yang dianggap sindiran bahawa pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) “sengaja melukis gambaran malang dan suram demi kelebihan pilihan raya”.
Semasa perbahasan Belanjawan itu, ketua WP, Encik Pritam Singh, berkata masa Pilihan Raya Umum 2025 diambil kira untuk meletakkan PAP dalam kedudukan yang paling menguntungkan.
“Kebimbangan tarif Hari Pembebasan membayangi Singapura pada April tahun lepas, pemerintah PAP membubarkan Parlimen hanya beberapa hari selepas pengumuman pentadbiran Trump,” kata Encik Pritam sebelum ini.
Encik Wong berkata selepas tarif Hari Pembebasan Amerika, terdapat ketidakpastian yang meluas di seluruh dunia, bukan sahaja di Singapura dan pada masa itu, beliau tidak ingat mana-mana penganalisis yang mengunjurkan pertumbuhan 5 peratus bagi Singapura pada 2025.
“Sebab mengapa keadaan tidak menjadi seburuk yang kami takutkan sebahagiannya disebabkan oleh faktor-faktor di luar kawalan kami, tetapi juga sebahagiannya kerana langkah tegas yang kami ambil,” kata Encik Wong.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dan pasukannya bergerak pantas untuk mendekati Amerika dan melindungi kepentingan teras Singapura, ulasnya.
“Agensi kami, perniagaan kami dan pekerja kami menyesuaikan diri dengan pantas dan bekerja tanpa mengenal penat lelah melalui tempoh yang sangat tidak menentu. Usaha mereka wajar mendapat pengiktirafan, jadi janganlah kita memperkecilkan sumbangan ini hanya untuk mendapatkan keuntungan politik.”
Hakikat bahawa Singapura berada dalam kedudukan yang lebih baik hari ini berbanding unjuran pemerintah juga adalah sesuatu yang patut dialu-alukan, kata Encik Wong.
“Ia berita baik untuk Singapura dan rakyat Singapura,” tambahnya.

