Kewangan mampan pacu peluang, tangani cabaran masa depan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kewangan mampan pacu peluang, tangani cabaran masa depan

Kedudukan wang kukuh hari ini hasil pengawasan teliti, perancangan berpandangan jauh
Feb 26, 2026 | 7:57 PM

Kewangan mampan pacu peluang, tangani cabaran masa depan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Indranee Rajah, COS
Menteri Kedua Kewangan, Cik Indranee Rajah. - Foto MDDI

Singapura perlu berpegang pada prinsip kehematan dan kemampanan kewangan. Ini bukan hanya untuk memenuhi keperluan semasa, tetapi juga untuk merebut peluang dan menghadapi cabaran masa depan, kata Menteri Kedua Kewangan, Cik Indranee Rajah.

Berucap pada Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Kewangan (MOF) pada 26 Februari, Cik Indranee berkata Singapura berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh hari ini hasil pengawasan yang teliti selama beberapa dekad dan perancangan kewangan yang berpandangan jauh.

“Setiap dolar awam adalah cerminan kerja keras rakyat kita, yang telah diamanahkan kepada pemerintah untuk dimanfaatkan demi kebaikan negara.

“Kami akan terus mencapai lebih banyak lagi dan memberikan hasil yang lebih baik untuk rakyat Singapura dan Singapura,” kata Cik Indranee.

Pembiayaan awam, katanya, harus digunakan lebih daripada sekadar mengisi jurang; ia perlu memacu hala tuju baharu, mempercepatkan pertumbuhan, dan membina momentum.

Beliau memberi contoh bagaimana MOF telah melabur besar dalam membina keupayaan jangka panjang rakyat Singapura, melalui pembelajaran sepanjang hayat dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta memperkukuh ekosistem perusahaan.

Cik Indranee menyentuh bagaimana Lembaga Tote menggalakkan pembaharuan sosial, kesihatan dan penjagaan masyarakat yang dicetuskan oleh komuniti.

Contohnya, melalui geran Enabling Lives Initiative (ELI) Lembaga Tote untuk memajukan inovasi bagi sektor kurang upaya.

Dalam ucapannya, beliau turut menjawab cadangan Anggota Parlimen (AP) Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied) mengenai penilaian cukai hartanah.

Encik Tiong mencadangkan agar penilaian harta kediaman yang diduduki pemilik untuk cukai hartanah ditentukan secara berbeza daripada harta bukan diduduki pemilik.

Katanya, sementara penilaian hartanah yang disewakan harus menggunakan nilai tahunan (AV) berdasarkan transaksi sewa, hartanah yang diduduki pemilik sebaliknya harus berdasarkan “nilai modal” daripada transaksi penjualan.

Menjawab perkara ini, Cik Indranee berkata cadangan itu bukanlah “pendekatan yang sesuai” untuk penilaian cukai harta.

Beliau menegaskan, asas penilaian yang sama perlu diguna pakai untuk semua hartanah kediaman, sama ada diduduki pemilik, disewakan, atau kosong.

“Ini supaya terdapat ukuran yang sama untuk menilai hartanah bagi tujuan cukai harta.

“Oleh itu, seseorang harus menggunakan data sewa untuk semua atau nilai modal untuk semua, tetapi bukan data sewa untuk sesetengah orang, dan nilai modal untuk yang lain,” kata Cik Indranee.

Cik Indranee menekankan pentingnya membezakan antara penilaian dengan kadar cukai harta dalam penetapan cukai harta yang perlu dibayar.

Beliau menambah, walaupun penilaian untuk semua hartanah kediaman menggunakan ukuran yang sama, Singapura boleh dan telah mengenakan kadar cukai hartanah yang berlainan untuk hartanah yang diduduki pemilik dan bukan diduduki pemilik.

“Sebagai konsesi kepada hartanah yang diduduki pemilik, kadar cukai hartanah untuk hartanah yang diduduki pemilik adalah lebih rendah berbanding hartanah yang tidak diduduki pemilik.

“Dari semasa ke semasa, kami juga menyediakan rebat cukai hartanah sekali sahaja untuk hartanah yang diduduki pemilik untuk membantu mengurangkan kesan cukai hartanah,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa beralih kepada nilai modal sebagai asas untuk penilaian cukai hartanah tidak semestinya menurunkan penilaian.

Mengenai pilihan antara data sewa atau data jualan untuk semua hartanah kediaman, Cik Indranee berkata penggunaan data sewa untuk menentukan AV menjadikan cukai hartanah “lebih stabil dan terjangka untuk pemilik rumah”.

Ini kerana lebih banyak transaksi sewa berbanding transaksi jualan, memberikan gambaran yang lebih tepat dan stabil tentang hartanah setanding dalam menentukan penilaian hartanah tertentu, katanya.

Beliau berkata langkah ini akan menarik kira-kira 90,000 lagi perniagaan ke rangkaian InvoiceNow, menjadikannya lebih daripada 63,000 perniagaan sedia ada.

Iras dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), dalam kenyataan bersama, memaklumkan bahawa pelanjutan keperluan InvoiceNow GST ini akan dilancarkan secara progresif dari April 2028 hingga April 2031.

Bagi memudahkan penyertaan dan menggalakkan penggunaan awal InvoiceNow, pemerintah akan memperkenalkan pembiayaan peralihan untuk mengimbangi kos penyertaan.

Ini merangkumi sehingga $1,000 untuk perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan sehingga $5,000 untuk perniagaan yang lebih besar.

SME juga boleh memanfaatkan penyelesaian InvoiceNow-Ready secara percuma, mulai sekarang hingga Mac 2031, tambah Iras dan IMDA.

Semasa di Parlimen juga, Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang juga mengumumkan MOF akan memanfaatkan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) untuk menyegarkan sistem pemerolehan tender pemerintah GeBIZ secara komprehensif dan meningkatkan produktiviti.

Beliau berkata GeBIZ yang diperbaharui akan melangkaui peringkat penyumberan, dan akan merangkumi peringkat prapenyumberan dan pengurusan kontrak juga.

“Ini akan menyatukan sistem yang kini beroperasi secara berasingan, dan menjadikan perolehan lebih telus, berkesan dan cekap. Ini adalah usaha berbilang tahun,” kata Encik Huang.

“Setiap dolar awam adalah cerminan kerja keras rakyat kita, yang telah diamanahkan kepada pemerintah untuk dimanfaatkan demi kebaikan negara. Kami akan terus mencapai lebih banyak lagi dan memberikan hasil yang lebih baik untuk rakyat Singapura dan Singapura.”
Menteri Kedua Kewangan, Cik Indranee Rajah.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg