Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura perkukuh hubungan, teroka kerjasama lebih mendalam di G20

Antara isu yang dibincangkan termasuk perdagangan digital, perkukuh rantaian bekalan, ekonomi dan pertahanan
Nov 24, 2025 | 4:10 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bersama para pemimpin Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20).
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bersama para pemimpin Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20). - Foto MDDI

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, bertemu para pemimpin di Sidang Puncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20), mengukuhkan hubungan sedia ada dan meneroka kerjasama yang lebih mendalam.

“Saya berpeluang berjumpa dan berbual dengan rakan-rakan pemimpin di Sidang Puncak G20,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial pada 23 November.

Beliau memulakan siri mesyuarat dua hala pada 22 November dengan Presiden Suruhanjaya Eropah Cik Ursula von der Leyen.

Mereka berbincang cara mengukuhkan hubungan EU-Asean, dan Encik Wong mengalu-alukan pengesahan Parlimen Eropah terhadap Perjanjian Perdagangan digital EU-Singapura (EUSDTA) yang ditandatangani pada Mei.

Perjanjian pertama seumpamanya antara EU dan Asean ini yang ditandatangani pada Mei, menetapkan peraturan aliran data selamat serta memudahkan perdagangan digital.

Dr von der Leyen menyifatkan perbincangan mereka sebagai sangat baik, sambil menegaskan hubungan dua hala semakin kukuh, lapor The Straits Times (ST).

“Kita akan memperdalamkan lagi kerjasama. Memperkukuh rantaian bekalan, memacu perdagangan dan memastikan ekonomi kita kekal kukuh,” katanya sambil menekankan hubungan erat antara EU, Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) dan Asean.

PM Wong kemudian bertemu Perdana Menteri Ireland Encik Micheal Martin, Canselor Jerman Encik Friedrich Merz dan Perdana Menteri Belanda, Encik Dick Schoof.

Dalam pertemuan dengan Encik Martin, kedua-dua pemimpin mengesahkan semula hubungan kukuh Singapura-Ireland.

“Dengan jalinan ekonomi yang rapat dan usaha bersama ke arah perdagangan terbuka, kami melihat peluang pertumbuhan dalam sains hayat dan teknologi,” tambah Encik Wong.

Dalam pertemuannya dengan Encik Merz, mereka berbincang tentang pembinaan hubungan berdasarkan 60 tahun hubungan diplomatik dan perkongsian strategik. Ini termasuk kerjasama ekonomi, pertahanan, siber dan digital.

Encik Wong berkata kededuanya bersetuju masih banyak ruang untuk diperkembangkan melalui Perkongsian Strategik Asean-EU dan CPTPP.

Beliau turut menantikan kunjungan pertama Canselor Merz ke Singapura.

Pertemuan bersama Encik Schoof pula berlangsung ketika Singapura dan Belanda menyambut 60 tahun hubungan diplomatik.

“Sebagai dua negara maritim, kita berkongsi naluri yang sama, iaitu kekal terbuka, saling berhubungan dan memastikan perdagangan terus bergerak. Kita sedang memperkukuh kerjasama untuk mengharungi dunia yang semakin tidak menentu,” kata Encik Wong.

Selain itu, Encik Wong bertemu Presiden Perancis Encik Emmanuel Macron.

Beliau berkata hubungan Singapura-Perancis kukuh dan terus berkembang, dengan kedua-dua negara berusaha mendekatkan lagi EU dan Asean.

Encik Wong turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni.

Encik Wong berkata beliau menantikan kedatangan Cik Meloni ke Singapura tidak lama lagi.

Dengan hubungan diplomatik sejak 1965, kededuanya bersetuju terdapat ruang untuk memperdalam hubungan dalam keselamatan, perdagangan dan penyelidikan.

Encik Wong juga bertemu semula Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh dan gembira melihat Vietnam pulih selepas banjir.

“Saya berharap rakyat Vietnam terus tabah,” katanya.

Mereka turut berbincang tentang Vietnam sebagai tuan rumah Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) 2027 di Phu Quoc.

Beliau juga bertemu Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang.

Encik Wong menzahirkan penghargaan kepada Presiden Afrika Selatan Encik Cyril Ramaphosa atas jemputan ke sidang bersejarah G20 pertama yang diadakan di benua Afrika.

“Di bawah kepimpinan Afrika Selatan, G20 merupakan perhimpunan yang berjaya dan mempunyai kesan besar,” katanya sambil menyatakan harapan untuk memperkukuh hubungan Singapura-Afrika Selatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg