Sentiasa bersatu, bersikap terbuka dan terhubung dengan dunia, dan mampu mempunyai keupayaan sendiri untuk menentukan masa depan Singapura.
Itulah tiga pengajaran utama yang rakyat Singapura boleh pelajari daripada buku biografi kedua tentang pemimpin pengasas Singapura, Encik S. Rajaratnam, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Berucap di pelancaran buku The Lion’s Roar - The Authorised Biography of S. Rajaratnam pada 22 Julai di Bangunan Perpustakaan Negara, Encik Wong berkata Encik Rajaratnam, atau lebih dikenali sebagai Raja, merupakan “Singa Singapura” yang telah banyak membantu mewujudkan Singapura yang merdeka.
Buku tersebut telah dikarang oleh mantan Anggota Parlimen (AP) dan wartawan politik kanan The Straits Times (ST), Cik Irene Ng, dan diterbitkan oleh ISEAS – Institut Yusof Ishak. Ia merupakan buku kedua beliau mengenai Encik Rajaratnam selepas keluaran jilid pertamanya pada tahun 2010.
Mengenai pentingnya untuk bersikap terbuka dan terhubung dengan dunia, Encik Wong berkata Encik Rajaratnam adalah “seorang yang berwawasan” yang sudah membayangkan Singapura sebagai sebuah negara global pada 1972, hanya tujuh tahun selepas Singapura mencapai kemerdekaan.
“Apabila Raja mengutarakan visi Singapura sebagai sebuah negara global pada 1972, beliau jauh mendahului zamannya. Tetapi dengan berakhirnya Perang Dingin 20 tahun kemudian, globalisasi bermula dan membawa integrasi ekonomi yang ketara di seluruh dunia.
“Dan Singapura mendapat manfaat yang ketara daripada peralihan ini. Kita menjadi hab utama kewangan, perdagangan, logistik dan rumah kepada perusahaan berbilang negara.
“Seperti yang diramalkan oleh Raja, saling berhubung dengan rangkaian global membolehkan kita mengatasi saiz kecil kita dan kekurangan kawasan pedalaman, dan ia mewujudkan pertumbuhan dan kemakmuran untuk semua,” kata Encik Wong.
Encik Wong juga berkongsi bahawa ketika semakin banyak negara meletakkan halangan kepada perdagangan, pelaburan dan bakat dengan harapan untuk melindungi rakyat mereka, Encik Rajaratnam telah memberi amaran agar Singapura tidak mengikuti arus sedemikian.
Mentelah, memetik kata-kata Encik Rajaratnam, Encik Wong berkata bahawa jika Singapura mengikut arus sedemikian, ia akan membawa kepada “bencana yang tidak dapat dipulihkan” bagi Singapura.
“Kami juga mendengar panggilan serupa di Singapura agar pemerintah melakukan perkara yang sama. Raja sendiri menjangkakan ini dalam salah satu wawancaranya.
“Beliau berkata bahawa tekanan yang tidak dapat dielakkan akan meningkat di Singapura di kalangan ahli perniagaan dan profesional yang membenci warga asing kerena diberikan kontrak walaupun ia dilakukan atas dasar merit.
“Untuk bersikap terbuka bukan sahaja penting bagi Singapura, malah ia penting bagi kewujudan kita. Singapura tidak boleh wujud selain sebuah pulau negara kota yang berkaitan dengan dunia. Kami memerlukan idea terbaik dan pasukan terbaik untuk cemerlang dan bertahan menghadapi saingan sengit,” kata Encik Wong.
Encik Wong juga berkongsi bahawa Encik Rajaratnam adalah seorang yang memegang teguh istilah ‘Asabiya’, sebuah idea yang dibangunkan oleh ahli falsafah dan ahli sejarah Islam abad ke-14, Ibnu Khaldun.
Menurutnya, ‘Asabiya’, atau dalam istilah hari ini dipanggil modal sosial, adalah perkataan Arab yang menggambarkan ikatan yang wujud dalam sesebuah masyarakat.
Beliau menekankan bahawa dalam versi asal ikrar kebangsaan, Encik Rajaratnam merangka “untuk membina sebuah masyarakat demokratik di mana keadilan dan kesaksamaan akan ditegakkan dan di mana kita akan mencari kebahagiaan dan kemajuan dengan membantu satu sama lain”.
“Mencari kebahagiaan dan kemajuan dengan membantu satu sama lain. Saya rasa itulah pandangan utama yang Raja miliki tentang bagaimana kita boleh membawa Singapura ke hadapan. Kita mahu semua orang di Singapura bekerja keras dan berusaha untuk kecemerlangan dan pergi sejauh yang mereka boleh.
“Mari kita mengejar kebahagiaan dengan membantu antara satu sama lain, dengan memberi kembali, dengan menyumbang kepada masyarakat dan berkhidmat kepada negara kita.
“Kita menonjolkan yang terbaik antara satu sama lain dan kita berjaya bersama-sama sebagai satu masyarakat,” kata Encik Wong.
Beliau juga berkongsi bahawa Singapura mesti terus mempunyai keupayaan untuk menentukan masa depannya sendiri, sebagaimana Encik Rajaratnam dan pemimpin perintis lain telah berjuang untuk membina Singapura pada tahun-tahun awalnya walaupun ramai yang meramalkan bahawa Singapura akan gagal.
Beliau menambah, walaupun persekitaran hari ini berbeza daripada keadaan pada 1965, Singapura terus menghadapi cabaran baru dan menggerunkan, dan adalah penting bagi Singapura untuk terus dapat menentukan masa depannya sendiri.
“Sekarang, seperti dahulu, akan ada orang sinis dan skeptik yang mengatakan bahawa kita tidak boleh melakukannya. Tetapi Raja mengingatkan kita, sebuah negara mencipta masa depannya sendiri pada setiap masa. Tiada yang ditakdirkan.
“Orang luar boleh mengatakan apa yang mereka mahu tentang kita, tetapi akhirnya di Singapura, kita mempunyai keupayaan untuk menentukan masa depan kita sendiri,” kata Encik Wong.
Semasa acara itu, Encik Wong juga merasmikan pembukaan dua pameran buku sembang interaktif prototaip besar, atau ChatBook, rekaan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) yang membolehkan pelawat mengetahui lebih lanjut tentang kehidupan dan sumbangan Encik Rajaratnam melalui respons yang dikuasakan AI Generatif.
Pameran Chatbook itu, yang berlangsung dari 23 Julai hingga 21 Oktober, akan membolehkan pelawat mengemukakan soalan mereka menerusi mikrofon atau menaip di meja tulis di hadapan kedua-dua ChatBook.
NLB berkata prototaip itu ialah prototaip ChatBook pertama yang tersedia untuk umum berikutan maklum balas positif dan maklum balas daripada pengguna ujian prototaip ChatBook pertama NLB, Seven Hundred Years: A History of Singapore.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Pakar (Sejarah Lisan) Arkib Nasional Singapura (NAS) Cik Sheerin Mustapa berkata, pameran tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan NLB untuk memanfaatkan teknologi dalam melibatkan para pengunjung tentang sejarah Singapura.
“ChatBook menawarkan pengunjung pengalaman yang unik, interaktif dan berbilang modal untuk mempelajari tentang kehidupan dan sumbangan Encik Rajaratnam, salah seorang pemimpin pengasas Singapura, dan sejarah kita bersama.
“Kami akan terus bereksperimen dengan prototaip bersama rakan kongsi dan masyarakat untuk membentuk semula masa depan pembelajaran dan penemuan,” kata Cik Sheerin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg