Meluaskan definisi kejayaan melebihi kelayakan akademik dan menggalak semua rakyat Singapura menghargai sumbangan setiap pekerja dalam setiap kerjaya.
Inilah yang diharapkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan pasukannya semasa menggariskan visinya untuk negara, dalam mesej video kepada rakyat Singapura yang disiarkan pada 22 Jun.
Dalam video 6 minit yang dimuat naik di YouTube, Encik Wong yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mei, berkata beliau dan pasukannya mahu bekerjasama dengan rakyat Singapura untuk membina sebuah masyarakat yang membenarkan “ruang untuk berpatah balik, langkah ke tepi, langkah perlahan, henti seketika, eksperimentasi dan yang tersisih”.
“Sebagai masyarakat, kita sudah terbiasa meletakkan prestij kepada beberapa kerjaya. Kita harus membuka minda kita dan menerima pelbagai cara orang boleh berkembang.
“Kita gembira dengan bakat muda dan mereka yang telah berjaya tetapi kita juga harus meraikan mereka yang mengambil masa lebih lama untuk mengembangkan diri dan mereka yang mendapat kekuatan semula selepas beberapa kegagalan dan hambatan,” kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.
Menggunakan sektor penjagaan kesihatan sebagai contoh, beliau menekankan bahawa walaupun kerjaya doktor sering diraikan sebagai kerjaya yang berprestij, terdapat banyak lagi kerjaya yang kurang disanjung walaupun mereka menyokong pemulihan setiap pesakit dengan sepenuh jiwa dan raga.
Ini termasuk jururawat, ahli fisioterapi, ahli terapi cara kerja dan jururadiografi, yang Encik Wong sifatkan sebagai “contoh teladan yang berjaya” dan patut disanjung oleh rakyat Singapura.
Beliau berkata pada masa lalu, kejayaan di Singapura ditakrif dengan lima ‘C’ iaitu wang tunai, kereta, kad kredit, kondo dan keanggotaan kelab.
Bagaimanapun, tambahnya, definisi kejayaan yang begitu sempit boleh membawa kepada akibat negatif dan menjadikan masyarakat menjadi lebih mementingkan diri sendiri dan persaingan lebih toksik.
“Kita menjadi lebih cemas dan tertekan dan lebih buruk lagi, kita mewariskan sikap ini kepada anak-anak kita.
“Ini bukan masyarakat yang saya mahu untuk Singapura. Sudah tentu bukan masyarakat ini yang saya harapkan anak-anak kita membesar.
“Definisi kejayaan adalah tentang kecemerlangan dalam apa jua yang kita lakukan, bertahan dengannya dan melakukannya dengan bangga dan bukannya bimbang tentang status atau ganjaran. Kita semua mempunyai aspirasi dan harapan kita sendiri,” kata Encik Wong.
Dalam video itu juga, beliau menasihati agar rakyat Singapura tidak membandingkan kejayaan diri sendiri dengan orang lain atau menilai kejayaan orang lain.
Beliau menggesa warga Singapura supaya menghargai apa yang mereka ada, meraikan kejayaan orang lain dan agar tidak cuba “memuatkan diri ke dalam kotak yang kita tidak sepatutnya muat”.
“Kita semua mempunyai bakat dan kekuatan yang berbeza, aspirasi dan keutamaan kita sendiri. Sesetengah mungkin memilih kerja yang berentak lebih perlahan untuk menjaga keluarga mereka. Yang lain mungkin bercita-cita untuk naik tangga kerjaya atau meneruskan usaha perniagaan yang menarik.
“Marilah kita membuat komitmen antara satu sama lain. Raikan setiap kejayaan. Hormati semua bentuk kerja dan jangan pernah takut untuk mencuba, walaupun halangan tidak dapat dielakkan.
“Tidak kira jalan mana yang kita ambil, kita akan saling bersorak dan menyokong satu sama lain,” kata Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg