Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amanat akhir tahun Faishal: Masa depan S’pura dibina atas perpaduan, ihsan antara rakyat

Dec 20, 2025 | 7:51 PM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menekankan kepentingan perpaduan dan belas ihsan sebagai teras pembangunan masyarakat Melayu/Islam menjelang 2026 dalam amanat video akhir tahunnya pada 20 Disember di Facebook.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menekankan kepentingan perpaduan dan belas ihsan sebagai teras pembangunan masyarakat Melayu/Islam menjelang 2026 dalam amanat video akhir tahunnya pada 20 Disember di Facebook. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK ASSOC PROF MUHAMMAD FAISHAL

Masa depan Singapura dibina secara bersama melalui perpaduan, belas ihsan dan kepercayaan di mana apabila salah seorang maju ke hadapan, yang lain akan dibawa sama, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Berkata demikian dalam amanat akhir tahunnya kepada masyarakat Muslim Singapura menerusi video selama tujuh minit di Facebook pada 20 Disember, Dr Faishal turut menggesa agar masyarakat terus melangkah dengan bermatlamat, berkeyakinan dan berkeprihatinan terhadap satu sama lain.

“Bersama kita boleh membina masyarakat Muslim yang lebih kukuh dan bersatu padu di mana setiap seorang mempunyai peluang untuk menjadi versi terbaik diri mereka, menyumbang dan berjaya,” kata Dr Faishal, yang juga merupakan Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).

Dalam video tersebut, Dr Faishal berkata sejak pelantikannya selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, beliau telah membuat komitmen untuk berhubung secara langsung dengan orang ramai baik di rumah, masjid, acara masyarakat, sesi dialog dan di tempat awam.

Menurutnya, keutamaan beliau adalah untuk memahami perkara yang paling penting kepada orang ramai, dan membina visi yang dikongsi demi masa depan masyarakat Muslim di Singapura.

“Dalam 100 hari pertama, saya bertemu dengan belia, sukarelawan, asatizah, wakil masjid, ketua masyarakat dan agama, dan rakan kongsi dari pelbagai pertubuhan serta kumpulan tidak formal.

“Harapan dan cabaran anda menguatkan tekad saya untuk mendukung satu sama lain. Dengan melabuhkan usaha kami dalam kepercayaan, rasa syukur dan keikhlasan, kami sedang membangunkan dasar yang mencerminkan aspirasi anda – daripada mengukuhkan kehidupan berkeluarga, kepada meluaskan peluang belia, kepada mewujudkan laluan untuk mobiliti sosial,” tambah beliau.

Dr Faishal turut mengatakan bahawa beliau mendapat maklum balas mengenai ruang yang mudah diakses, lebih diterima dan menyokong semasa lawatannya ke masjid.

Menurutnya, di bandar baru seperti Tengah dan Tampines, masjid baru sedang dibina sementara masjid masa kini seperti Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Masjid Darussalam sedang dinaik taraf.

“Di mana kerja-kerja naik taraf sedang dijalankan, kami sedang meneroka ruang solat sementara bagi memastikan tiada sesiapa yang dibiarkan tanpa tempat untuk beribadah,” jelas beliau.

Sementara itu Dr Faishal berkata beliau turut mendapat maklum balas mengenai usaha mengukuhkan kehidupan berkeluarga, menyokong belia, persiapan mengenai penuaan dan memastikan mobiliti sosial.

Tumpuannya, kata beliau adalah untuk menyokong keluarga yang kukuh, meluaskan peluang dalam pendidikan dan pekerjaan, serta memastikan setiap anggota dalam masyarakat mempunyai apa yang diperlukan untuk maju secara yakin.

“Satu contoh ialah Bersamamu, yang menyokong pasangan Islam baru berkahwin bukan sahaja dengan bimbingan agama, tetapi juga dengan kemahiran praktikal seperti perancangan kewangan, komunikasi dan penyelesaian konflik.

“Belia kita juga memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan kita. Melalui Pasukan Bertindak Belia Melayu/Islam, kami membuka ruang baru untuk golongan muda memimpin, menyumbang dan memperjuangkan isu-isu yang penting bagi mereka,” tambah Dr Faishal.

Tambahnya lagi, pembangunan kampus Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) juga merupakan satu peristiwa penting bagi melengkapkan bakal pemimpin agama dengan asas yang kukuh.

Dr Faishal turut menarik perhatian kepada aspek identiti melalui pembukaan semula Taman Warisan Melayu pada 2026 yang akan menjadi ruang bertenaga di mana tradisi terus memberi inspirasi dan menyatukan kita.

Di peringkat antarabangsa, kerjasama dengan rakan serantau menerusi mesyuarat MABIMS (Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura) dan lawatan kerja ke Timur Tengah telah memperkukuh urusan haji serta bantuan kemanusiaan buat Gaza.

Menceritakan pertemuannya dengan rakyat Singapura di luar negara, beliau berkata: “Ia adalah peringatan tentang bagaimana nilai-nilai kita dibawa bersama, ke mana sahaja kita pergi.”

Dr Faishal juga berkata tumpuannya menjelang 2026 kekal berlandaskan tiga nilai utama termasuk amanah, kesyukuran dan keikhlasan.

“Perjalanan kita ke hadapan adalah perjalanan yang kita lalui bersama – dengan kepercayaan, keikhlasan, dan kesyukuran,” ujar beliau sebagai menutup amanat tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg