Rakyat Singapura harus terus mendakap semangat mengatasi cabaran, berusaha mencapai kecemerlangan, serta saling menyokong dan mendorong satu sama lain, gesa Perdana Menteri Lawrence Wong.
Menurut Encik Wong, semangat sedemikian perlu diteruskan bagi membawa masyarakat dan negara melangkah ke depan pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian semasa majlis jamuan malam amal bagi menyambut Ulang Tahun ke-60 LBKM pada 24 Januari.
“Seperti LBKM, Singapura juga bangkit daripada ujian kesulitan.
“Kita merupakan sebuah negara yang dianggap ‘mustahil’. Kita bertanggungjawab bagi diri kita sendiri.
“Ramai yang nyatakan Singapura tidak akan berjaya.
“Namun kita atasi cabaran itu dan buktikan bahawa mereka salah.
“Kita bekerjasama sebagai satu rakyat, untuk mencapai kebahagiaan, kemakmuran, dan kemajuan buat semua,” ujar beliau.
Majlis yang di Grand Ballroom, Orchid Country Club di Yishun pada 24 Januari menyaksikan kehadiran sekitar 750 tetamu – terdiri daripada penderma, penaja, penerima bantuan kewangan LBKM, rakan kongsi dan pihak berkepentingan – yang turut serta meraikan acara tersebut.
Dalam ucapannya itu, Encik Wong menambah 2025 bukan sahaja mengiktiraf usaha enam dekad LBKM, malah ia juga bertepatan dengan 60 tahun kemerdekaan Singapura (SG60).
“Tahun ini bukan sambutan ke-60 tahun LBKM sahaja, ia juga sambutan kemerdekaan Singapura yang ke-60 tahun.
“SG60 adalah masa untuk kita mengenang kembali bagaimana kita sampai ke hari ini, apa yang kita dirikan sebagai warga Singapura, dan bagaimana kita boleh bina masa depan bersama,” tambah beliau.
Di majlis itu, Encik Wong turut memainkan alat muzik, Saronang Penerus, instrumen pertama yang menggabungkan alat muzik Gamelan – Bonang, Slenthem, dan Saron – sebagai melancarkan dendangan rasmi terbaru LBKM, “Joget Di Bintang.”
Muzik tersebut digubah oleh instruktur muzik etnik Singapura, Encik Shahneezar Shahnan.
Bertemakan “Meneruskan Perjalanan Kita,” majlis tersebut menekankan dedikasi berterusan LBKM dalam mewujudkan peluang yang seimbang untuk pelajar dan keluarga.
Sejak penubuhannya pada 1965, LBKM telah memberi kesan positif kepada lebih daripada 40,520 pelajar, merangkumi pelajar sekolah rendah hingga pengajian pascasiswazah.
Ia telah mengagihkan lebih daripada $37 juta dalam menyokong perjalanan pendidikan mereka.
Dalam ucapannya itu, Encik Wong turut menghargai segala usaha LBKM yang telah membantu ramai rakyat Singapura mencapai cita-cita mereka.
Menyingkap sumbangan ketua LBKM yang terdahulu, Encik Wong berkata:
“Pemimpin LBKM bertekad untuk memberikan tumpuan kepada pendidikan demi kehidupan yang lebih baik.
“Dengan menyokong semua pelajar yang berkelayakan, tanpa mengira bangsa atau agama, mereka telah menyumbang dengan cara mereka tersendiri untuk memupuk keharmonian dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama.”
Presiden LBKM, Dr Syed Harun Alhabsyi, dalam ucapannya pula berkata LBKM mampu kekal teguh selama 60 tahun disebabkan misi yang menyatukan masyarakat.
“Bagi LBKM berkembang maju dengan penuh keyakinan dan menyumbang secara murah hati kepada satu tujuan, ia hanya dapat dicapai melalui misi bermatlamat yang benar-benar menyentuh hati dan menyatukan semua pihak.
“Bagi LBKM, ia adalah satu tujuan yang jelas untuk meningkatkan martabat masyarakat melalui pendidikan, memberikan bantuan dan memacu kecemerlangan,” ujar beliau.
Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-60, LBKM turut melancarkan Dana Endowmen terbarunya, dedah Dr Syed Harun.
Daya utama tersebut akan menyediakan sokongan berterusan kepada generasi pelajar akan datang, sejajar dengan misi LBKM untuk memupuk kecemerlangan akademik serta memperkasa masyarakat, sekaligus mengukuhkan peranannya dalam memberi kesan yang berpanjangan, kata beliau.
Sebagai permulaan, bagi setiap $100,000 yang didermakan kepada dana tersebut, LBKM akan menyumbang tambahan 50 peratus daripada jumlah itu iaitu $50,000 atas nama penderma.
Setakat ini, LBKM hanya mampu menyumbang jumlah maksimum sebanyak $1 juta.
Makan malam itu turut mencatatkan sejarah apabila LBKM memasuki Singapore Book of Records dengan persembahan angklung terbesar, melibatkan penyertaan hadirin seramai 636 orang yang bersama-sama memainkan angklung.
Tambahan itu, beberapa persembahan dari persatuan budaya Melayu Universiti Pengurusan Singapura (SMU) bernama SMU Rentak, dan sebuah ensembel dinamik yang terkenal dengan penggunaan alat muzik pelbagai etnik, Artusik turut memeriahkan suasana acara tersebut.
Beberapa anugerah turut disampaikan kepada penaja, penderma, serta individu yang telah berkhidmat dalammenyumbang tenaga kepada pertubuhan tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg