Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura perlu terus jalin kerjasama perdagangan serantau

Selain G20 dan Asean, S’pura boleh berganding bahu dengan blok Mercosur di Amerika Latin
Nov 20, 2024 | 12:16 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata bahawa negara-negara semakin mahu berdagang dengan negara lain yang dirasakan mesra dengan mereka.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata bahawa negara-negara semakin mahu berdagang dengan negara lain yang dirasakan mesra dengan mereka. - Foto ST

RIO DE JANEIRO (Brazil): Singapura perlu realistik dan menyesuaikan diri dengan pembentukan perdagangan antarabangsa semasa, sedang ia terus menjalin kerjasama dengan negara-negara yang berfikiran serupa, kata Perdana Menteri Encik Lawrence Wong pada 19 November.

Ini bermakna mengeratkan lagi hubungan dengan negara-negara Asean dan berganding bahu dengan kumpulan serantau lain, seperti blok Mercosur di Amerika Latin, kata Encik Wong kepada pemberita di akhir Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Rio de Janeiro, Brazil.

“Hakikatnya ialah perdagangan masih berterusan, tetapi ia sedang disusun semula,” kata Encik Wong dalam temu bual mengakhiri lawatannya.

Beliau menyentuh mengenai kesan perubahan kepada aliran perdagangan antarabangsa dan mengapa penyertaan Republik ini dalam mesyuarat antarabangsa seperti Sidang Puncak G20 memberi kesan, lapor The Straits Times.

Singapura bukan ahli G20, yang terdiri daripada 19 ekonomi utama dan sedang pesat membangun, bersama dengan Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika.

Namun, ia sentiasa diundang menyertai mesyuarat kumpulan itu.

Mengenai perdagangan, Encik Wong berkata negara-negara mahu berdagang dengan negara lain yang dirasakan mesra dengan mereka.

Perkumpulan serantau juga menjadi lebih penting apabila negara berusaha mengurangkan pergantungan dan mengurangkan kelemahan masing-masing, katanya.

“(Ini adalah) era globalisasi semula, satu bentuk globalisasi yang berbeza dengan aliran perdagangan, mungkin, akan menjadi lebih bersifat serantau,” tambah Encik Wong.

Beliau tekankan mengapa Asean amat penting bagi Singapura.

“Pertama, kita perlu mengukuhkan kawasan kejiranan kita sendiri”.

Beliau menggariskan usaha yang sedang dijalankan dalam beberapa bidang untuk menjadikan Asean lebih dekat dan berdaya saing, seperti hubungan digital, sistem pembayaran dan grid kuasa serantau.

Pada masa yang sama, Asean harus meneruskan hubungan dengan rantau lain, kata Encik Wong.

Beliau berkata Singapura mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Mercosur dan Perikatan Pasifik, satu lagi blok perdagangan Amerika Latin, dan juga mahu menjalin hubungan dengan Timur Tengah dan benua Afrika.

“Kita mahu berhubungan dengan semua kumpulan serantau yang berbeza dan memastikan, walaupun aliran perdagangan disusun semula, Singapura dan Asean masih boleh menjadi aliran perdagangan yang disusun semula, dan kita boleh terus kekal relevan,” kata Encik Wong.

Perdana Menteri juga ditanya mengenai peranan G20, memandangkan ia menerima kritikan berterusan bahawa ia gagal memberi hasil yang konkrit terutama mengenai isu-isu utama.

Sidang puncak tahun ini, misalnya, dibayangi perbezaan mengenai tindakan iklim dan isu perang di Ukraine.

Encik Wong menjawab bahawa G20 dan platform yang serupa adalah sangat penting untuk Singapura, kerana ia memberi gambaran tentang perkara yang dibincangkan di pentas antarabangsa.

Beliau berkata: “Mengambil bahagian secara aktif dalam platform seperti (G20) memberi gambaran mengenai inisiatif baru yang sedang dibangunkan, apakah bidang-bidang kerjasama baru, dan kemudian kita boleh, membentuk proses baru dengan cara-cara yang kita fikir amat berguna.”

Walaupun sekiranya Singapura tidak berjaya mendapat hasil yang diharapkan, Singapura sedar dengan apa yang berlaku dan membuat penyesuaian yang sesuai, tambah Encik Wong lagi.

Laporan lanjut di Muka 2

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg