Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Jerman tingkat hubungan ke arah Perkongsian Strategik

Bakal bekerjasama lebih rapat dalam bidang keselamatan, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga bersih
Nov 19, 2024 | 6:17 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bersama Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz, pada 18 November semasa menghadiri Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bersama Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz, pada 18 November semasa menghadiri Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil. - Foto ST

Singapura dan Jerman akan bekerjasama lebih rapat dalam bidang seperti keselamatan, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga bersih, menyusuli keputusan untuk meningkatkan hubungan antara kededua negara ke arah Perkongsian Strategik.

Pengumuman itu menyusuli pertemuan antara Perdana Menteri Encik Lawrence Wong, dengan Canselor Jerman Encik Olaf Scholz, pada 18 November.

Kededua pemimpin kini berada di Rio de Janeiro, Brazil, bagi menghadiri Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20).

Sebagai sebahagian daripada Perkongsian Strategik, kededua negara akan meningkatkan penglibatan dan lawatan peringkat tinggi memandangkan “penumpuan kepentingan strategik yang semakin meningkat” antara mereka, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan.

Tentera di kededua pihak juga akan memperdalam kerjasama dalam pendigitalan dan keselamatan siber, manakala kededua negara akan menyediakan talian komunikasi selamat untuk bertukar maklumat.

Singapura dan Jerman turut merancang bekerjasama dalam keselamatan AI, termasuk menetapkan piawaian antarabangsa bagi penggunaan AI secara selamat.

Di samping itu, kededua negara akan saling bertukar pengetahuan tentang cara mengurus sisa pembungkusan dan sisa elektronik.

Ini selain meneroka kerjasama dalam perlindungan pantai dan menguruskan air hujan (stormwater) dalam persekitaran bandar sebagai sebahagian daripada daya tahan iklim.

Kededua pihak juga akan mewujudkan bidang kerjasama mengenai harga karbon, termasuk cukai karbon, perjanjian kredit karbon, dan teknologi penyahkarbonan.

“Sebagai rakan kongsi yang sealiran berfikiran, peristiwa penting ini membuka jalan kepada kerjasama lebih erat dalam perdagangan, pertahanan, tenaga bersih, pendigitalan dan banyak lagi, sambil kita menandakan 60 tahun hubungan tahun depan (2025),” kata Encik Wong dalam satu catatan Facebook.

Bidang lain yang diliputi di bawah Perkongsian Strategik baru itu termasuk perdagangan, penyelidikan dan perkongsian antara sekolah dengan universiti.

Kededua negara menandatangani deklarasi bersama pada 2022 untuk bekerjasama dalam bidang seperti perubahan iklim, pertahanan dan ekonomi.

Perkongsian strategik baru itu dibina berdasarkan perjanjian tersebut.

Dalam kenyataannya, MFA berkata Singapura dan Jerman berkongsi komitmen kuat terhadap multilateralisme dan perintah antarabangsa berasaskan peraturan.

“Penumpuan strategik ini menyokong hasrat bersama kita untuk menggalakkan perdagangan bebas dan mengekalkan seni bina antarabangsa yang terbuka dan terangkum.

“Ini akan membantu menggalakkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang lebih besar di Asia-Pasifik,” katanya.

MFA menyifatkan hubungan antara kededua negara itu, termasuk hubungan politik dan perdagangan dan pelaburan, sebagai mendalam dan meluas.

Singapura dan Jerman juga bekerjasama dalam bidang pertahanan, keselamatan, penyelidikan dan inovasi, serta hubungan antara kededua negara itu adalah mesra, katanya.

“Mencerminkan sifat inovatif dan pandangan ke hadapan perkongsian kita, kita mengembangkan kerjasama kita ke dalam bidang yang lebih baru seperti tenaga bersih, tindakan iklim, ketersambungan, keselamatan siber dan pendigitalan,” kata MFA.

MFA berkata kededua negara akan terus bekerjasama dalam meningkatkan perkongsian strategik antara Asean dengan Kesatuan Eropah (EU).

Encik Wong juga bertemu dengan ketua pengarah Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) Cik Ngozi Okonjo-Iweala dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen.

Dalam satu catatan di wadah media sosial X, Encik Wong berkata Singapura adalah penyokong kuat sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka dan berasaskan peraturan seperti yang terkandung dalam WTO.

Beliau berkata mereka telah mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil tentang perkembangan perdagangan sejagat, dan beliau tidak sabar untuk bertemu Dr Okonjo-Iweala di Singapura tidak lama lagi.

Mengenai pertemuannya dengan Dr von der Leyen, Encik Wong berkata mereka membincangkan cara untuk membawa perkongsian Singapura-EU ke hadapan.

Menurutnya, hubungan yang lebih kukuh dengan Jerman dan EU akan menyumbang kepada kemakmuran dan keselamatan bersama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg