CANBERRA: Singapura sedang bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk mewujudkan satu mekanisme bagi memudahkan penguatkuasaan kawalan eksport cip negara itu, sementara negara ini meneruskan siasatan terhadap syarikat berpangkalan di Singapura, Megaspeed International, atas kemungkinan pelanggaran undang-undang tempatan.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata demikian pada 24 November, beberapa jam selepas Amerika bertindak menyenaraihitamkan Megaspeed dan enam syarikat berkaitan di Singapura, Malaysia dan Thailand berhubung risiko pemindahan tidak sah teknologi pengkomputeran canggih.

Singapura juga sedang menyiasat syarikat yang berkemungkinan mengeksploitasi kedudukannya sebagai hab perdagangan untuk melencongkan eksport cip kecerdasan buatan (AI) canggih ke negara lain, tambah Encik Wong dalam satu sidang media bersama rakan sejawatnya dari Australia, Encik Anthony Albanese.

“Amerika mempunyai kawalan eksport ke atas cipnya. Kami tidak menguatkuasakan kawalan eksport Amerika, tetapi kami tidak mahu Singapura dipergunakan dan disalahgunakan sebagai laluan perantara oleh syarikat untuk memintas kawalan eksport Amerika,” katanya sebagai menjawab soalan penyiar Australia, SBS.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pentadbiran Amerika dalam hal tersebut bagi memudahkan proses perkongsian maklumat, untuk merangka satu mekanisme di mana Amerika boleh melaksanakan penguatkuasaannya sendiri.”

Namun, ia merupakan satu usaha rumit, memandangkan Singapura tidak mempunyai maklumat penuh mengenai destinasi akhir cip-cip tersebut, tambahnya.

Apabila ditanya sama ada Amerika telah melakukan usaha mencukupi untuk membantu Singapura dalam siasatannya, Encik Wong berkata: 

“Kami memang ada meminta beberapa maklumat, namun bukan semuanya diberikan.”

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Singapura sedang meneruskan perbincangan dengan penguasa Amerika untuk mengenal pasti pengguna akhir cip yang dibeli Megaspeed serta mengesahkan dokumen berkaitan urus niaga tersebut, katanya.

“Di pihak Singapura, kami sedang memberi tumpuan kepada sama ada Megaspeed berkemungkinan telah melanggar mana-mana undang-undang Singapura. Sekali lagi, kami sedang meneruskan siasatan kami,” ujar Encik Wong.

Jabatan Perdagangan Amerika pada 23 November bertindak menyenaraikan Megaspeed dan enam syarikat berkaitan ke dalam Senarai Entiti, dengan memetik risiko teknologi pengkomputeran canggih dilencongkan kepada pengguna akhir atau digunakan bagi aktiviti yang tidak dibenarkan.

Syarikat yang berada dalam senarai tersebut tertakluk kepada syarat pelesenan eksport tambahan Amerika, dengan permohonan berkemungkinan besar akan ditolak.

Dua lagi syarikat Singapura yang disenaraikan ialah Apex Enterprise Solutions (Singapore) dan Swiftdata, manakala tiga lagi berada di Malaysia dan satu di Thailand.

Megaspeed – sebuah syarikat pengkomputeran awan dan prasarana AI – mula mendapat tumpuan pada Oktober 2025 susulan laporan bahawa pihak berkuasa Amerika sedang menyiasat sama ada ia telah membantu pelanggan China memperoleh cip canggih Nvidia yang tertakluk di bawah kawalan eksport negara itu.

Encik Wong pada 24 November menegaskan bahawa Singapura akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap syarikat yang didapati melanggar undang-undangnya.

Beliau berkata Amerika semakin memberi perhatian terhadap cip yang dipindahkan melalui pemunggahan atau dialihkan melalui Singapura ke negara lain, dan kedua-dua pihak sedang bekerjasama rapat dalam bidang ini.

Encik Albanese pula berkata Australia dan Singapura berkongsi pandangan yang serupa mengenai isu tersebut, dan negara-negara perlu berkongsi maklumat serta pengalaman, selain membangunkan amalan terbaik di peringkat serantau dan pelbagai hala.

Kedua-dua pemimpin itu bercakap kepada pihak media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Pemimpin Tahunan Singapura-Australia ke-11 di Canberra, sempena lawatan rasmi tiga hari Encik Wong ke Australia dari 23 hingga 25 November.