Singapura dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) mempunyai ruang untuk memperluas kerjasama menjangkaui perkongsian antara pemerintah, di samping memperkukuh hubungan antara perniagaan dengan pelabur dua negara itu, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran media sosial selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin perniagaan dari UAE di Abu Dhabi pada 20 Oktober, sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu.

Pada hari yang sama, beliau turut bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Khaled Bin Mohamed Bin Zayed Al Nahyan, di mana mereka membincangkan cara kedua-dua negara dapat saling menimba ilmu daripada pengalaman masing-masing.

Encik Wong berkata UAE mempunyai kekuatan yang besar dalam sektor tenaga, bukan sahaja dalam bidang minyak dan gas, malah tenaga boleh diperbaharui dan tenaga nuklear.

UAE juga giat melabur dalam membangunkan keupayaan baharu, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pertahanan, tambah Encik Wong.

Memandangkan bidang-bidang tersebut turut menjadi kepentingan Singapura, kedua-dua pihak boleh meneroka peluang baharu dan memanfaatkan kekuatan satu sama lain, katanya.

Perjumpaan itu dianjurkan oleh Pengerusi Penguasa Ehwal Eksekutif (EAA) Abu Dhabi, Encik Khaldoon Khalifa Al Mubarak, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mubadala, dana kekayaan berdaulat Abu Dhabi.

Encik Wong berada di Abu Dhabi sempena lawatannya ke Timur Tengah, yang bermula di Qatar pada 18 Oktober.

Awal daripada itu pada 20 Oktober, semasa pertemuannya dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, kedua-dua pemimpin saling bertukar pandangan mengenai cara negara masing-masing dapat membuat persiapan menghadapi masa hadapan, sambil terus berpegang teguh pada warisan dan nilai-nilai mereka, serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Menyifatkan UAE sebagai rakan lama Singapura, Encik Wong berkata:

“Kededua negara berkongsi banyak keutamaan dan terdapat banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada pengalaman serta pendekatan masing-masing.”

Lawatan beliau merupakan peluang untuk memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka bidang kerjasama baharu, terutama dalam keadaan ketidaktentuan global yang semakin meningkat, tambah Encik Wong.

Beliau juga dijadualkan bertemu Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, yang juga pemerintah Abu Dhabi.

Encik Wong dijadualkan membuat lawatan ke Dubai selepas itu, sebelum mengakhiri lawatannya pada 22 Oktober.

UAE merupakan rakan dagang terbesar Singapura di Timur Tengah. Pada 2025, perdagangan barangan dua hala mencecah $27.9 bilion, manakala perdagangan perkhidmatan dua hala mencapai $12.8 bilion pada 2024.

Pada September, syarikat pelaburan Singapura, Temasek, mengumumkan rancangan untuk membuka pejabat di Abu Dhabi dan Riyadh, Arab Saudi, pada separuh pertama 2027 bagi memperluas kehadirannya di Timur Tengah.

Kededua negara juga baru-baru ini mempererat hubungan ekonomi menerusi Forum Bersama Abu Dhabi-Singapura edisi ke-17, yang diadakan di Singapura pada September.