Syarikat perniagaan di sini mesti merancang pembaharuan pucuk pimpinan lebih awal dan memastikan setiap generasi diberi peluang menyumbang, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 30 Oktober.

Walaupun langkah menyerahkan tampuk kepimpinan bukan satu tugas mudah, tindakan memegang jawatan terlalu lama membawa risiko tersendiri, tegas beliau dalam ucapan di majlis makan malam gala ulang tahun ke-120 Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI).

SCCCI merupakan badan puncak bagi masyarakat perniagaan Cina di Singapura.

“Pembaharuan tidak boleh dibiarkan berlaku secara kebetulan,” tegas beliau.

“Ia mesti dirancang dan dipupuk secara bersungguh-sungguh,” tambah beliau.

Berucap dalam bahasa Inggeris dan Mandarin di hadapan lebih 1,000 hadirin di Fairmont Singapore, Encik Wong menarik perhatian bahawa peralihan kepimpinan adalah antara cabaran terbesar bagi sesebuah perniagaan, khususnya syarikat milik keluarga.

Majlis itu turut dihadiri wakil daripada pemerintah, masyarakat perniagaan dan persatuan perdagangan. “Geseran ada kalanya boleh timbul antara generasi pemimpin berbeza.

“Oleh itu, kita tidak seharusnya sekadar memberi tumpuan kepada penyerahan baton,” kata beliau semasa memulakan ucapannya dalam bahasa Mandarin.

”Lebih penting lagi, kita mesti mencari jalan agar generasi berbeza dapat bekerjasama dan membina kekuatan berasaskan kelebihan masing-masing,” tambah Encik Wong sambil menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan SCCCI kepada kemajuan Singapura.

Menukil peribahasa Cina, “ombak baharu bangkit dan melonjakkan gelombang sebelumnya ke hadapan”, beliau menekankan generasi seterusnya perlu melangkah ke hadapan agar masyarakat terus maju.

Ketika beralih ke bahasa Inggeris, Encik Wong menjelaskan bahawa pengasas syarikat sering meluangkan masa berdekad-dekad membina perniagaan mereka, sekali gus mencerminkan pertimbangan, hubungan serta identiti peribadi mereka.

“Namun, berpegang terlalu lama membawa risiko tersendiri.

Pemimpin muda mungkin tidak berpeluang membina keupayaan mereka.

Idea baharu sukar bertapak, dan perniagaan itu mungkin mendapati dirinya kurang bersedia mendepani masa depan,” ujar beliau.

Justeru, Encik Wong menyarankan pemimpin kanan agar mempersiapkan pengganti dengan berkongsi pengalaman dan rangkaian hubungan, di samping memberi tanggungjawab lebih besar secara bertahap. “Beri mereka ruang menggunakan pertimbangan sendiri, membuat keputusan sendiri, malah ada kalanya melakukan kesilapan,” kata beliau.

Pemimpin muda pula perlu meraih kepercayaan itu dengan membawa idea segar dan keupayaan baharu, tambahnya.

Walaupun teknologi dan kecerdasan buatan (AI) membolehkan mereka mengakses pengetahuan di hujung jari, mereka tidak sepatutnya menganggap diri lebih tahu berbanding golongan terdahulu, sebaliknya perlu sedia mendengar dan belajar mengenai faktor kejayaan perniagaan berkenaan.

Prinsip pembaharuan ini, menurut Encik Wong, turut merangkumi institusi seperti SCCCI.

Beliau menggesa dewan perniagaan itu menghubungkan pemimpin perniagaan muda dan lama, memudah cara bimbingan mentor serta membuka laluan kepada generasi pelapis.

“Ini kerana kayu ukur sebenar kepimpinan yang berjaya bukanlah apa yang kita capai sepanjang hayat kita, tetapi sama ada kita meninggalkan sesebuah organisasi yang lebih kukuh, dan satu generasi pemimpin baharu yang bersedia membawanya ke hadapan,” tegas beliau.

Selain pembaharuan pimpinan, Encik Wong menggariskan dua bidang utama lain yang perlu diceburi syarikat: melaksanakan transformasi sebelum keadaan mendesak, serta meluaskan rangkaian hubungan ke luar Singapura.

Beliau menekankan perubahan pesat teknologi seperti AI yang mengubah cara firma beroperasi tidak dapat disekat, dan cabaran utama adalah untuk mendahuluinya.

Transformasi sebenar, jelas beliau, melangkaui sekadar menggunakan alat AI terkini, sebaliknya memerlukan perubahan minda bagi menilai semula proses kerja, mereka bentuk semula pekerjaan dan merombak model perniagaan.

“Kita mesti bersedia mempersoalkan andaian yang telah memberi manfaat kepada kita pada masa lalu,” kata beliau sambil memberi amaran bahawa kejayaan sering melahirkan keselesaan dan akhirnya leka.

Dari segi penerokaan pasaran, Encik Wong menyeru syarikat meluaskan rangkaian dan mempelbagaikan pasaran melepasi saiz pasaran domestik Singapura yang kecil.

Walaupun pasaran China kekal penting, firma Singapura digesa bertindak awal dan membina kehadiran jangka panjang di Asean, India, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin dengan sokongan berterusan daripada pemerintah.

Encik Wong turut menyambut baik Panel Penasihat Antarabangsa baharu SCCCI yang dinaungi Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, bagi menyokong syarikat tempatan meluaskan sayap ke luar negara.

Presiden SCCCI, Encik Kho Choon Keng, berkata dalam bahasa Mandarin bahawa penubuhan panel itu akan mengumpulkan pandangan dan kepakaran pemimpin perniagaan antarabangsa serta membuka peluang pasaran global.

“Sedang Singapura memegang jawatan pengerusi Asean tahun depan, kami berharap dapat merebut peluang ini untuk berganding bahu dengan semua pihak bagi membina rantau yang lebih makmur, stabil dan mampan,” kata Encik Kho.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti