Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat Ketahanan Siber dibuka 2026, bantu SME tangani ancaman siber

Oct 21, 2025 | 8:01 PM
Pusat Ketahanan Siber, SME, tangani ancaman siber
Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How (tengah), bersama para tetamu menyertai permainan interaktif bertemakan keselamatan siber semasa acara SG Cyber Safe for Enterprises pada 21 Oktober. - Foto ST

Syarikat kecil dan sederhana (SME) akan dapat menghubungi talian bantuan baru apabila mereka menjadi mangsa serangan siber.

Pusat Ketahanan Siber (CRC) yang berfungsi sebagai talian bantuan sehenti ini juga akan menyediakan diagnostik keselamatan siber, iaitu analisis sistem untuk mengenal pasti kelemahan, lapor The Straits Times (ST).

Dijadualkan dibuka pada 2026, CRC akan dikendalikan dan terletak di premis Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

Persatuan perdagangan seperti SGTech dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI) juga akan menyediakan sumber untuk mengendalikan CRC, satu inisiatif yang dipimpin oleh SBF dan disokong oleh Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA).

Dalam mengumumkan penubuhan CRC semasa forum SG Cyber Safe for Enterprises yang diadakan sempena Minggu Siber Antarabangsa Singapura pada 21 Oktober, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, berkata pusat ini berfungsi sebagai pusat untuk membantu perniagaan memperkukuh pertahanan sebelum serangan berlaku, dan pulih dengan cepat apabila insiden berlaku.

Encik Tan berkata lebih lapan daripada 10 perusahaan di Singapura telah menghadapi sekurang-kurangnya satu insiden keselamatan siber dalam setahun, dan hampir kesemua daripada mereka mengalami gangguan perniagaan, kehilangan data, dan kerosakan reputasi.

Jurucakap SBF berkata, sebelum penubuhan CRC, SME sering kali keliru tentang vendor mana yang perlu dihubungi dan terpaksa bergantung pada saluran tidak rasmi.

Penjenayah siber semakin menjadikan SME sebagai sasaran kerana mereka biasanya kekurangan sumber dan tidak mempunyai pasukan teknologi maklumat (IT) atau keselamatan siber yang khusus.

Justeru, mereka mungkin tidak melaksanakan langkah-langkah keselamatan siber yang mencukupi dan dilihat sebagai sasaran yang mudah.

Encik Tan berkata SME boleh memanfaatkan bengkel yang akan dianjurkan oleh pusat itu.

“Bengkel ini termasuk bengkel permulaan keselamatan siber yang melengkapkan SME dengan langkah-langkah kebersihan siber asas yang sejajar dengan Cyber Essentials CSA. Terdapat juga program untuk membantu perniagaan meningkatkan keupayaan keselamatan siber mereka.

“Pusat ini juga akan menyediakan sokongan selepas insiden kepada perniagaan. Ini akan melibatkan penilaian awal kejadian siber, nasihat dan rujukan kepada syarikat respons kejadian berkenaan, yang boleh membantu mereka pulih apabila terjejas akibat kejadian keselamatan siber,” kata Encik Tan.

Encik Tan berkata ini adalah penting kerana banyak syarikat, terutamanya SME, memberitahu pemerintah mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila mereka terjejas oleh kejadian siber itu.

CRC juga merancang menawarkan bantuan kepada syarikat bagi meningkatkan langkah keselamatan siber mereka melalui program CISO-as-a-service CSA, di mana Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO) memberikan perkhidmatan perundingan kepada SME untuk melaksanakan langkah-langkah kebersihan siber.

Terdapat juga latihan siber untuk melengkapkan SME dengan pengetahuan pemulihan respons kejadian.

Keutamaan utama pusat tersebut apabila dibuka pada 2026 adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang talian bantuan sebagai saluran respons pertama bagi perniagaan yang menghadapi kejadian siber dan memperkukuh kebersihan siber asas perniagaan tempatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg