Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong tekan kepentingan bina S’pura lebih terangkum pada acara Hari Paralimpik
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menekankan kepentingan membina Singapura yang lebih terangkum, sedang pemerintah terus memperkukuh langkah untuk mencapai matlamat itu.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri acara Hari Paralimpik di Angsana Green, Taman East Coast, yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC) pada 29 Ogos.
Acara itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai sukan para, menonjolkan pencapaian serta keupayaan individu kurang upaya, dan menggalakkan penyertaan sukan dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai keupayaan.
Acara kemuncak pada majlis tersebut ialah Walkaton Paralimpik sejauh 3 kilometer, yang dilancarkan oleh Encik Wong.
Lebih 3,000 peserta, termasuk individu kurang upaya, keluarga, pihak sekolah, rakan korporat dan organisasi masyarakat, berjalan bersama-sama 20 atlet para Team Singapore.
Dalam ucapan beliau pada 29 Ogos, Encik Wong berkata:
“Hari ini merupakan sambutan bagi meraikan semua atlet para kita – kita meraikan ketabahan, keberanian dan kesungguhan anda.
“Sifat-sifat ini adalah teras kepada Gerakan Paralimpik. Ia mengingatkan kita untuk memberi peluang kepada semua orang bagi merealisasikan potensi mereka, dan menjadi versi diri yang terbaik.
“... Jadi hari ini bukan sekadar sambutan bagi pencapaian sukan, malah ia merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam perjalanan kita ke arah Singapura yang lebih terangkum.”
Diraikan di peringkat global, Hari Paralimpik mengetengahkan nilai-nilai Paralimpik iaitu keberanian, kesungguhan, inspirasi dan kesaksamaan.
Selain acara walkaton, majlis tersebut turut menampilkan aktiviti percubaan sukan para seperti larian frame running, basikal kayuhan tangan, tembak laser dan bola tampar duduk.
Acara itu turut meraikan atlet para Team Singapore menjelang Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya, Jepun dari 18 hingga 24 Oktober.
Temasya berkenaan bakal menyaksikan penyertaan kira-kira 3,000 atlet dari 45 negara atau wilayah dalam 18 jenis sukan para.
Dalam ucapannya, Encik Wong berkata meskipun terdapat kemajuan dalam usaha menjadikan Singapura sebuah masyarakat yang lebih terangkum, pelbagai perancangan sedang diatur bagi memperkukuh usaha berkenaan.
Merujuk kepada Rapat Hari Kebangsaan pada 23 Ogos yang memberi tumpuan terhadap peningkatan sokongan kepada keluarga, Encik Wong menegaskan bahawa sokongan tersebut adalah untuk pelbagai jenis keluarga, dan tidak hanya terhad kepada keluarga dengan anak kecil sahaja.
Beliau menambah bahawa pemerintah juga sedang memperluas sokongan bagi golongan warga emas, individu bujang, serta individu kurang upaya.
Pasukan bertindak antara agensi yang dipimpin oleh Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, bakal berkongsi cadangan pada akhir 2026, mengenai sokongan yang dipertingkat dalam pelbagai bidang.
Ini termasuk peralihan dari sekolah ke alam pekerjaan serta lebih banyak peluang pekerjaan untuk individu kurang upaya, katanya.
Encik Wong turut memuji atlet para Team Singapore kerana memberi inspirasi kepada orang ramai menerusi disiplin, keberanian dan kegigihan mereka.
Beliau menambah: “Pada hakikatnya, keterangkuman tidak boleh dicapai menerusi dasar semata-mata.
“Ia dibina menerusi pilihan yang kita buat setiap hari – sama ada kita melihat keupayaan mengatasi ketidakupayaan, mengiktiraf sumbangan yang boleh diberikan oleh setiap individu, dan memberi peluang yang adil kepada semua untuk menyumbang.
“Setiap warga Singapura memainkan peranan dalam hal ini, dan sebab itulah saya gembira melihat anda semua di sini hari ini bagi acara Hari Paralimpik yang julung kali diadakan.
“Kehadiran anda menyampaikan mesej yang amat kuat: bahawa kita berdiri teguh di belakang atlet para kita, dan kita ingin membina Singapura yang lebih terangkum bersama-sama.”
