Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Bill Clinton, berbincang tentang perkembangan sejagat dan serantau dalam satu pertemuan pada 21 Mei.
Dalam satu hantaran di Facebook, Encik Wong mengucapkan terima kasih kepada Encik Clinton atas sokongan kuat beliau terhadap hubungan Amerika-Singapura semasa menjadi presiden, lapor The Straits Times.
Beliau berkata: “Beliau bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri ketika itu, Encik Goh Chok Tong, untuk meletakkan asas bagi Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) Amerika-Singapura – satu perjanjian penting yang menjadi penanda aras bagi FTA akan datang dan kekal sebagai tonggak hubungan dua hala kita.”
Hantaran tersebut turut memaparkan gambar mereka bertiga – Encik Wong, Encik Clinton dan Menteri Kanan Emeritus (ESM), Encik Goh Chok Tong.
Encik Clinton yang pernah menjadi presiden Amerika dari 1993 hingga 2001, berada di Singapura untuk menghadiri acara anjuran bank pelaburan UBS.
Pada 2000, Encik Goh mencadangkan bermain golf secara spontan dengan Encik Clinton semasa majlis Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Brunei.
Selepas permainan itu dan berbual santai, perjanjian perdagangan bebas dicapai dan dimeterai pada 2003.
Pada 2015, Encik Clinton mengetuai delegasi ke Singapura bagi menghadiri pengebumian mendiang Encik Lee Kuan Yew.
Mantan Setiausaha Negara Amerika, Encik Henry Kissinger, yang mempunyai hubungan rapat dengan Encik Lee, turut hadir dalam lawatan tersebut.
Encik Wong dalam hantaran di Facebook berkata:
“Singapura dan Amerika terus menjalin kerjasama strategik dalam pelbagai bidang. Kami berharap untuk mempererat lagi hubungan ini pada tahun-tahun akan datang.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg