Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawatan Trump ke Timur Tengah: Perjanjian trilion dolar atasi isu Palestin

Hubungan peribadi, kepentingan ekon dan kebolehan jayakan perjanjian lebih diutamakan
May 17, 2025 | 5:30 AM
donald trump, sheikh tamim
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berjalan bersama Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, di atas permaidani merah menuju ke pesawat Air Force One ketika beliau berlepas dari Pangkalan Udara Al Udeid menuju ke Abu Dhabi, Amiriah Arab Bersatu, pada 15 Mei 2025. - Foto REUTERS

Lawatan Presiden Donald Trump ke Timur Tengah pada penggal keduanya bukan sekadar kunjungan diplomatik biasa.

Ia adalah simbol kepada arah dasar luar baru Amerika Syarikat yang lebih bersifat transaksional, unilateral dan berasaskan kepentingan ekonomi mutlak.

Keutamaannya bukanlah diplomasi hak asasi manusia atau penyelesaian konflik Palestin-Israel, tetapi rundingan ekonomi berskala besar yang menjanjikan pulangan segera kepada Amerika.

Dalam lawatan selama empat hari merangkumi Arab Saudi, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), Encik Trump secara terbuka menyatakan matlamat utama beliau: untuk memeterai perjanjian perdagangan dan pelaburan berjumlah lebih AS$1 trilion ($1.3 trilion).

Daripada penjualan senjata dan pesawat komersial, hinggalah teknologi tenaga nuklear dan kecerdasan buatan, pendekatan ini mencerminkan keutamaan yang jelas dalam kerangka Make America Great Again (MAGA) versi global.

Di sebalik kerancakan perjanjian bernilai tinggi ini, isu Palestin dan krisis kemanusiaan di Gaza hampir tidak disebut secara tuntas menunjukkan perubahan nilai dan keutamaan Washington dalam menghadapi Timur Tengah pasca-Trump.

Berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh presiden Amerika terdahulu – Encik Jimmy Carter mendesak Mesir dan Israel untuk mencapai perjanjian damai bersejarah.

Encik Bill Clinton pula berusaha merundingkan penyelesaian bersama pemimpin Palestin, Encik Yasser Arafat.

Encik George W. Bush membayangkan bahawa perang melawan keganasan yang dilancarkannya akhirnya akan membuka jalan kepada pendemokrasian rantau tersebut.

Sementara Encik Barack Obama berkunjung ke Kahirah dengan hasrat “mencari permulaan baru antara Amerika Syarikat dan umat Islam di seluruh dunia”.

Lawatan Encik Trump ke tiga-tiga negara itu mencerminkan pendirian unilateral dan berorientasikan hasil.

Bagi Encik Trump, Timur Tengah bukan lagi medan penyelesaian konflik, malah ladang subur untuk pelaburan dan penjualan senjata ketenteraan.

Menurut Dr Norshahril Saat, Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau di Iseas –Institut Yusof Ishak, pendekatan Encik Trump telah mengubah cara Amerika berinteraksi dengan Timur Tengah.

“Jika sebelum ini dasar luar Amerika mengutamakan multilateralisme dan norma undang-undang antarabangsa, Encik Trump lebih menekankan urus niaga dua hala yang menjanjikan pulangan ekonomi domestik segera kepada negaranya,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa pendekatan ini juga mencerminkan niat Encik Trump mengekalkan dominasi Amerika dalam ekonomi global dengan memanfaatkan hubungan dua hala yang kukuh dengan negara Teluk.

Dr Norshahril menambah bahawa perubahan ini bukan semata-mata retorik tetapi turut mempengaruhi struktur perundingan antara Amerika dengan negara Teluk.

“Kita melihat bagaimana negara seperti Arab Saudi dan Qatar bersaing secara aktif untuk memikat Trump dengan tawaran pelaburan dan kerjasama strategik,” katanya.

Arab Saudi: Rakan Strategik yang Semakin Berani

Lawatan ke Riyadh menjadi kemuncak simbolik lawatan ini apabila Encik Trump disambut dengan penuh kemewahan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MBS).

Hubungan mesra antara Encik Trump dengan MBS bukan perkara baru.

Menurut Dr Clemens Chay dari Institut Timur Tengah (MEI), Universiti Nasional Singapura, dasar luar Arab Saudi kini jauh lebih proaktif berbanding sebelum ini, malah jauh lebih berani dan terbuka.

“Sejak menaiki takhta pada 2017, MBS telah melaksanakan transformasi besar-besaran termasuk projek mega dalam sektor pembinaan dan pelancongan serta memajukan dasar luar yang lebih aktif. Kini, Arab Saudi bukan lagi rakan pasif, tetapi pemain utama yang ingin menentukan hala tuju serantau,” kata Dr Chay.

“Riyadh telah menunjukkan keberanian luar biasa dalam menangani isu serantau daripada rundingan damai Russia-Ukraine hinggalah kepada pemulihan hubungan dengan Iran. Ini merupakan sebahagian daripada strategi untuk menempatkan posisi Arab Saudi sebagai kuasa serantau berprofil tinggi,” jelas Dr Chay.

Tambah beliau, hubungan akrab kedua pemimpin itu kesinambungan daripada rangkaian hubungan peribadi yang dibina sejak penggal pertama Encik Trump.

Beliau turut mengaitkan keakraban hubungan Trump-MBS dengan jaringan peribadi, termasuk hubungan antara Encik Jared Kushner, menantu Encik Trump, dan dana pelaburan Saudi yang membiayai pelbagai projek.

“Ia adalah diplomasi yang dipacu oleh keakraban peribadi dan kepentingan bersama,” tambahnya.

Menurut Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis kanan hal ehwal antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, kedua-dua tokoh ini mempunyai gaya kepimpinan yang sama – “ikonoklastik, autoritarian, dan berpaksikan rundingan perjanjian”.

Beliau menyifatkan hubungan ini sebagai satu “bromance politik” yang saling menguntungkan dan dijangka terus membawa manfaat kepada kedua-dua negara dalam bentuk pelaburan, kerjasama keselamatan dan agenda pengaruh serantau.

Qatar: Pemain Diplomatik Baru

Doha pula memainkan peranan berbeza dengan pendekatan yang sama diterapkan.

Dalam persaingan untuk mendapatkan perhatian Encik Trump, Doha memanfaatkan kekuatan ekonominya dengan menawarkan perjanjian besar seperti pembelian 160 pesawat Boeing oleh Qatar Airways menyaksikan transaksi terbesar dalam sejarah syarikat itu.

Selain itu, Qatar juga menandatangani perjanjian pertahanan termasuk sistem dron dan kawalan udara.

Encik Trump turut disambut dengan kemewahan luar biasa, termasuk permaidani merah dan tawaran kediaman mewah yang digelar sebagai “istana di udara” – satu langkah yang mencetuskan kontroversi, namun secara simboliknya menggambarkan betapa pentingnya persepsi dan kemegahan dalam pendekatan diplomasi era Encik Trump.

Dr Oh Ei Sun, Zamil Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, menjelaskan bahawa Qatar kini sedang berusaha untuk mengukuhkan semula kedudukannya di dunia Arab selepas bertahun-tahun dipulau oleh jirannya dan kini cuba kembali ke arus perdana politik Timur Tengah.

“Qatar sedang memainkan peranan diplomatik yang lebih besar, mahu memainkan peranan lebih besar sebagai pengantara serantau termasuk dalam rundingan damai Israel-Hamas. Ia cuba membina imej sebagai rakan strategik Washington dan berusaha untuk memenangi hati Washington,” katanya.

Dr Oh juga menekankan bahawa Qatar melihat potensi untuk mendapat keistimewaan dalam dasar luar Amerika dengan menonjolkan dirinya sebagai pengantara yang boleh dipercayai, terutama dalam isu Gaza yang semakin meruncing.

Menurut beliau, Qatar menyedari bahawa personaliti Encik Trump yang pragmatik dan suka berunding membuka ruang untuk memperoleh konsesi strategik, termasuk akses kepada teknologi dan pengaruh diplomatik.

Palestin: Isu Yang Dipinggir

Walaupun perang di Gaza masih berlarutan dan krisis kemanusiaan semakin parah, isu Palestin hampir tidak mendapat tempat dalam lawatan Encik Trump ini.

Di sebalik semua ini, isu Palestin kekal di pinggir agenda.

Walaupun Majlis Kerjasama Teluk (GCC) cuba membangkitkan isu Gaza sebagai keutamaan serantau dalam sidang kemuncak di Riyadh, fokus utama tetap tertumpu kepada kerjasama ekonomi, keselamatan, pelaburan dan perjanjian pertahanan.

Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis kanan di Solaris Strategies Singapore, melihat perkara ini sebagai gambaran realpolitik yang semakin ketara di Timur Tengah.

“Di sebalik ucapan dan kenyataan rasmi, krisis kemanusiaan di Gaza telah diremehkan oleh keghairahan terhadap apa yang dianggap sebagai kebangkitan ekonomi rantau tersebut.”

Beliau menambah bahawa Encik Trump kini dilihat semakin menjauhkan diri daripada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang tidak termasuk dalam jadual lawatan.

“Ini menunjukkan bahawa Trump bersedia untuk mengambil langkah luar jangka, termasuk mengadakan rundingan terus dengan Hamas dan Iran, semata-mata untuk mencapai matlamat deal-making atau pemeteraian perjanjian beliau,” tambah Dr Mustafa.

“Tragisnya, di sebalik layanan mewah dan perjanjian bernilai tinggi, penderitaan rakyat Palestin dibayangi oleh ‘renaissance’ ekonomi atau kebangkitan struktur ekonomi berskala besar di Timur Tengah,” jelas beliau.

Kesan Serantau dan Domestik

Lawatan ini memperkukuh imej Encik Trump sebagai seorang presiden yang mengutamakan keputusan dan keuntungan ekonomi, berbanding norma diplomatik tradisional.

“Trump beroperasi atas logik perjanjian. Jika ia membawa pulangan kepada ekonomi Amerika, maka ia diteruskan. Hak asasi, kestabilan jangka panjang, atau perikemanusiaan bukanlah keutamaan utama,” jelas Dr Oh.

Tambah Dr Oh: “Diplomasi Trump sememangnya terkenal sebagai transaksional dan berskala besar, dan lawatan ini sekali lagi membuktikan perkara itu.”

Tambahan pula, menurut beliau, negara-negara Teluk sudah arif dengan gaya kepimpinan Encik Trump yang bersifat peribadi dan autoritatif, dan mereka menyesuaikan diri dengan gaya itu untuk meraih manfaat strategik.

“Sebagai contoh, Qatar dan Arab Saudi masing-masing menawarkan projek, pelaburan dan akses strategik untuk memastikan mereka kekal dalam radar pentadbiran Trump,” ujar Dr Oh lagi.

Namun begitu, Dr Norshahril memberi amaran bahawa pendekatan ini membawa risiko jangka panjang.

“Apabila dasar luar hanya berasaskan perjanjian dan keuntungan ekonomi semata-mata, ia akan melemahkan kredibiliti Amerika sebagai kuasa moral dan pemangkin kepada penyelesaian konflik serantau,” katanya.

Tidak seperti Presiden Joe Biden yang lebih menekankan prinsip hak asasi manusia dan keterangkuman dalam dasar luar, Encik Trump mengambil pendekatan yang lebih langsung dan berani meskipun berisiko menjejaskan jaminan keselamatan jangka panjang.

Sikap ini pernah dizahirkan secara terbuka pada 2019 apabila Encik Trump, mengulas serangan Houthi ke atas kemudahan minyak Arab Saudi, menyatakan bahawa ia “bukan serangan terhadap kita”.

Kenyataan itu mencerminkan kecenderungan beliau untuk mengelakkan penglibatan dalam konflik yang tidak memberi pulangan nyata kepada kepentingan domestik Amerika.

Lawatan Encik Trump telah menjadikan Timur Tengah sebagai pentas rundingan ekonomi terbesar di dunia, tetapi pada masa yang sama, ia menyerlahkan jurang antara pemimpin politik dan aspirasi rakyat, khususnya dalam isu Palestin.

Bagi pemimpin Teluk, Encik Trump adalah peluang.

Peluang untuk pelaburan, akses teknologi dan pengaruh strategik.

Tetapi bagi rakyat Palestin, beliau adalah simbol pengabaian.

Seperti yang diungkapkan oleh Dr Mustafa: “Dalam keghairahan mengejar perjanjian trilion dolar, suara Gaza tenggelam di tengah-tengah gema tepukan diplomasi peribadi dan kepentingan ekonomi.”

Lawatan empat hari ini telah menunjukkan bahawa Encik Trump melihat Timur Tengah bukan lagi sebagai medan konflik, tetapi sebagai pasaran besar untuk urus niaga bernilai trilion dolar.

Hubungan peribadi, kepentingan ekonomi dan kebolehan menjayakan perjanjian lebih diutamakan berbanding isu seperti Palestin, demokrasi atau hak asasi manusia.

Dr Norshahril memberikan peringatan: “Selagi kepentingan ekonomi mengatasi keperluan moral dan kemanusiaan, Timur Tengah akan kekal menjadi pentas kepada rundingan, bukan penyelesaian.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg