Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong temu kumpulan menteri India semasa sesi meja bundar

Aug 26, 2024 | 8:45 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bertemu Menteri Kewangan dan Ehwal Korporat India, Cik Nirmala Sitharaman, di Istana pada 26 Ogos.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bertemu Menteri Kewangan dan Ehwal Korporat India, Cik Nirmala Sitharaman, di Istana pada 26 Ogos. - Foto MDDI

Singapura dan India membincangkan idea baru untuk bekerjasama, termasuk dalam pembuatan dan ketersambungan termaju, semasa satu sesi Meja Bundar Menteri India-Singapura (ISMR) yang kedua pada 26 Ogos, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Encik Wong, juga Menteri Kewangan, menambah bahawa kededua negara telah mencapai kemajuan sejak edisi sulungnya, yang diadakan di New Delhi pada 2022, dan inisiatif itu akan membuka jalan kepada kerjasama strategik yang lebih erat dan perkongsian antara dua negara Asia itu.

ISMR merupakan wadah dua hala utama bagi kumpulan menteri dari Singapura dan India untuk membincangkan kerjasama dua hala dan bertukar pandangan mengenai isu kepentingan bersama.

Edisi kedua ISMR bertujuan menyemak kemajuan daripada sesi terakhir dan mengenal pasti bidang pertumbuhan baru untuk bekerjasama.

Encik Wong, yang mengetuai sesi pertama ISMR pada 2024, mengalu-alukan kedatangan menteri India ke Singapura.

Beliau bertemu dengan delegasi India yang terdiri daripada Menteri Kewangan dan Ehwal Korporat, Cik Nirmala Sitharaman; Menteri Ehwal Luar, Dr S Jaishankar; Menteri Perdagangan dan Industri, Encik Piyush Goyal; dan Menteri Elektronik dan Teknologi Maklumat, Kereta Api, Maklumat dan Penyiaran, Encik Ashwini Vaishnaw, di Istana pada 26 Ogos.

Dalam hantarannya di Facebook pada 26 Ogos, Encik Wong berkata:

“Saya gembira kerana kemajuan telah dicapai dalam beberapa bidang sejak pertemuan terakhir kami. Dan idea baru untuk bekerjasama sedang diusahakan, termasuk dalam pembuatan dan ketersambungan termaju.

“Inisiatif ini akan membuka jalan kepada kerjasama strategik yang lebih erat dan perkongsian antara India dengan Singapura. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada menteri dalam mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil di ISMR yang kedua.”

Delegasi Singapura dipimpin Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, selain juga terdiri daripada Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; dan Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.

Selain menghadiri sesi ISMR, kumpulan menteri India turut diundang Presiden Tharman Shanmugaratnam ke jamuan makan tengah hari yang dihosnya, sebelum Encik Gan menjadi hos pada majlis makan malam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg