Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong temui penduduk West Coast, usaha kunjungi kejiranan serata S’pura

Jul 13, 2024 | 7:03 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri), beramah-tamah dengan penduduk West Coast yang menghadiri program berpusat pada keluarga, PA Family PLAYGround, pada 13 Julai.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri), beramah-tamah dengan penduduk West Coast yang menghadiri program berpusat pada keluarga, PA Family PLAYGround, pada 13 Julai. - Foto ST

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkesempatan beramah mesra dengan penduduk West Coast ketika menghadiri satu program baru yang berpusat pada keluarga, PA Family PLAYGround, di mana keluarga boleh bermain, belajar, menghargai dan mengambil berat tentang masyarakat, keluarga dan diri sendiri pada 13 Julai.

Program kendalian Persatuan Rakyat (PA) yang diadakan di Kelab Masyarakat West Coast itu merupakan anjuran bersama inisiatif menggalak sokongan masyarakat bagi pembentukan keluarga, PA Family Life Champions dan GRC West Coast serta Pertubuhan Akar Umbi Pioneer.

Lebih 1,000 keluarga menghadiri acara itu yang terisi dengan kegiatan yang diatur khas bagi keluarga menjalin ikatan utuh menerusi permainan dan penerokaan.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, hadir pada acara itu bersama Menteri Pembangunan Negara merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast.

Turut hadir adalah AP lain daripada GRC itu, Encik Ang Wei Neng, Cik Rachel Ong dan Cik Foo Mee Har serta AP Pioneer, Encik Patrick Tay.

Pada Jun, sebulan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Encik Wong menjelaskan tentang hasratnya mengunjungi pelbagai kawasan undi serata Singapura untuk bertemu seberapa ramai penduduk.

Dalam ucapannya pada 13 Julai, beliau melahirkan rasa gembira kembali ke GRC West Coast, di mana beliau memulakan kerjaya politiknya selaku AP di kawasan undi Boon Lay, antara 2011 hingga 2015.

Menurutnya, terdapat ciri tersendiri di setiap kejiranan di Singapura dengan penduduk merakam banyak kenangan bersama keluarga dan orang tercinta.

“Kami ingin berusaha dengan anda semua dalam terus membangun kediaman yang lebih baik untuk setiap orang di Singapura. Bukan sahaja untuk anda tetapi anak-anak serta cucu anda juga,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sebab mengapa beliau akan berkunjung ke pelbagai kawasan undi adalah untuk mendekati penduduk dan mendengar maklum balas serta idea mereka.

Ini membantu dalam membangun rasa kekitaan dan terus membina kediaman lebih baik untuk setiap penduduk Singapura dalam fasa pembangunan negara selanjutnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg