LIMA: Perdana Menteri Lawrence Wong bertemu Presiden China, Encik Xi Jinping, pada 15 November di Lima, ibu kota Peru.
Pertemuan 20 minit itu, yang berlangsung di luar sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec), adalah yang pertama bagi mereka sejak Encik Wong menggalas jawatannya itu pada Mei 2024.
Bercakap kepada Encik Xi pada awal pertemuan tersebut, Encik Wong berkata: “Saya amat berbesar hati berpeluang bertemu anda buat kali pertama.”
Encik Wong berkata hubungan antara Singapura dan China berada dalam keadaan amat baik, terutama selepas hubungan dua hala dipertingkat secara rasmi pada April 2023, lapor The Straits Times.
Singapura dan China kini mempunyai ‘perkongsian menyeluruh bermutu tinggi yang berpandang ke masa depan.
“Sejak itu, hubungan kita terus mempunyai momentum positif,” kata Encik Wong.
“Dalam ekonomi, China rakan kongsi perdagangan terbesar Singapura dan Singapura pelabur asing terbesar China,” ujar beliau lagi.
Singapura dan China juga mengadakan pertukaran peringkat tinggi, seperti mesyuarat Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC).
Pada mesyuarat JCBC pada 11 November, dua negara itu mengumumkan 25 memorandum persefahaman (MOU) dan persetujuan dalam pelbagai bidang, termasuk Inisiatif Belt and Road China, untuk berdagang, melabur dan kewangan.
Encik Wong berkata beliau berhasrat bekerjasama dengan Encik Xi untuk terus memperkukuh kerjasama antara edua negara itu dan membawa hubungan ke peringkat lebih tinggi.
Encik Xi pula berkata Singapura adalah negara jiran yang mesra dan rakan kongsi penting.
“Hasil usaha pemimpin saban generasi, pembangunan hubungan China-Singapura telah menjadi contoh sedunia bagi pembangunan yang memberi manfaat bersama dan pembangunan menang-menang,” kata beliau, dalam bahasa Mandarin.
Singapura dan China kini berada pada peringkat pembangunan genting dan akan memperingati ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik pada 2025.
Encik Xi berkata China bersedia bekerjasama dengan Singapura di laluan menuju kemodenan dan untuk membuka lembaran baru dalam kerjasama bermutu tinggi antara dua negara.
Encik Wong turut bertemu Perdana Menteri Australia, Encik Anthony ALbanese, dan Ketua Eksekutif Hong Kong, Encik John Lee, di Lima.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg