Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, tidak akan mendapat manfaat kewangan daripada kenaikan gajinya, kata beliau di Parlimen pada 10 September.

Beliau telah berikrar untuk mendermakan kenaikan penuh gajinya kepada usaha kebajikan bagi tempoh lima tahun akan datang, termasuk sebarang faedah cukai daripada pendermaan tersebut.

“Dan biar saya jelaskan: apabila saya berkata derma kenaikan penuh, itu termasuk sebarang faedah cukai yang diterima daripada derma tersebut.

“Oleh itu, saya tidak akan mendapat keuntungan kewangan daripada perubahan gaji ini,” kata beliau ketika menggulung perbahasan kenyataan menteri berhubung semakan gaji 2026 bagi pemegang jawatan politik.

Di bawah rangka kerja gaji politik itu, gaji Perdana Menteri, yang ditetapkan seganda daripada tanda aras MR4, akan dinaikkan kepada $3.6 juta, daripada $2.2 juta.

MR4 ialah gred rujukan bagi menentukan struktur gaji pemegang jawatan politik.

Encik Wong menambah bahawa selepas lima tahun, beliau akan terus menderma kepada usaha kebajikan tetapi “secara senyap dan tanpa publisiti”.

“Dan seperti yang saya katakan dalam ucapan saya, selepas lima tahun, saya akan terus menderma kepada tujuan yang baik – secara senyap dan tanpa publisiti.

“Ini kerana saya tidak mahu membuat komitmen terbuka yang mewujudkan jangkaan bahawa pengganti saya harus melakukan perkara yang sama,” kata beliau.