Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong umum bentuk Galeri Warisan Cina S’pura; sekitaran selesa belajar bahasa ibunda
Singapura sedang mempergiat usaha untuk memelihara dan memperdalam penghayatan terhadap warisan serta budaya masyarakat Cina, kata Perdana Menteri Encik Lawrence Wong.
Ini akan dilakukan menerusi penubuhan galeri baharu yang menelusuri sejarah komuniti tersebut dan pameran yang menampilkan edisi-edisi jarang ditemui bagi empat karya sastera klasik agung China.
Singapura juga, katanya, akan menyediakan persekitaran selesa bagi pembelajaran bahasa ibunda.
Encik Wong mengumumkan demikian dalam ucapannya yang disampaikan dalam bahasa Mandarin semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 23 Ogos.
Menurut beliau, sebuah Galeri Warisan Cina Singapura akan ditubuhkan oleh Pusat Kebudayaan Cina Singapura (SCCC) pada tahun 2031 bagi memberi penghormatan kepada golongan perintis masyarakat Cina di negara ini.
“Nilai sebenar budaya masyarakat Cina Singapura bukan sekadar terletak pada apa yang boleh kita lihat dan rasa. Ia turut merangkumi kebijaksanaan perintis kita sejak lebih seabad lalu,” ujar beliau.
Tambah beliau, galeri di Dewan Persidangan Singapura itu akan memaparkan bagaimana golongan perintis bertapak dan membina kehidupan di sini, serta memberikan penghormatan kepada pertubuhan masyarakat Cina yang telah menyumbang kepada pembentukan masyarakat berbilang kaum di Singapura.
Menurut SCCC, naratif galeri ini akan merangkumi perkembangan Singapura dari zaman sebelum abad ke-14 sehinggalah ke era moden.
Galeri ini mendapat sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Lembaga Warisan Negara (NHB).
Bagi mengumpulkan pelbagai perspektif dan mengaitkan galeri tersebut dengan konteks berbilang budaya tempatan, SCCC menyatakan bahawa ia akan berunding dengan institusi budaya lain seperti Muzium Nasional Singapura, Taman Warisan Melayu, Pusat Warisan India dan Persatuan Serani.
Sejak pertengahan 2025, usaha juga telah dijalankan bagi mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak – seperti pemimpin masyarakat, persatuan suku kaum dan golongan belia – bagi membincangkan cara terbaik untuk menyampaikan kisah masyarakat Cina.
Salah satu dapatan penting ialah keperluan untuk memberikan gambaran menyeluruh yang seimbang dan berlandaskan fakta sejarah mengenai perkembangan masyarakat Cina; gambaran ini merangkumi aspek-aspek utama seperti penghijrahan dan penempatan, kegiatan perniagaan, seni, serta sumbangan pelbagai generasi pendatang.
SCCC menyatakan bahawa adalah penting juga untuk memaparkan bagaimana budaya masyarakat Cina Singapura telah berkembang hasil interaksi dengan komuniti-komuniti lain dalam masyarakat berbilang budaya Singapura.
SCCC akan melancarkan pameran bergerak bagi memperkenalkan galeri tersebut kepada orang ramai yang berpeluang berkongsi aspirasi mereka mengenai kisah masyarakat Cina Singapura.
Pameran itu akan diadakan di Chinatown Point dari 25 Ogos hingga 11 September dan di One Punggol dari 12 September hingga 2 Oktober. Ia kemudian akan dibawa ke lokasi-lokasi lain seperti perpustakaan awam, hab komuniti dan sekolah.
Sementara itu, Encik Wong memberi perkembangan terkini bahawa lebih 1,000 pelajar telah meraih manfaat daripada kriteria mengambil Bahasa Cina Lanjutan yang dilonggarkan tahun ini.
Menurutnya, kini seorang dalam empat pelajar menengah satu belajar bahasa itu yang diambil di peringkat Cina Lanjutan, dan lebih banyak sekolah menawarkan bahasa Cina Lanjutan.
Menurut Encik Wong walaupun sekolah memainkan peranan penting, persekitaran bahasa di rumah juga sama penting.
Mengimbas kembali zaman membesar beliau, Encik Wong berkata:
“Setiap petang, keluarga saya menonton drama Saluran 8 bersama-sama. Daripada Army Series hinggalah The Flying Fish dan The Awakening, saya tidak terlepas menonton satu pun daripadanya... Begitulah cara penguasaan bahasa Mandarin saya bertambah baik secara beransur-ansur.”
