Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: Warisan rentas generasi lahirkan identiti budaya Melayu S’pura
PM Wong: Warisan rentas generasi lahirkan identiti budaya Melayu S’pura
Galak tingkat kerjasama antara Taman Warisan Melayu (TWM), masyarakat lain untuk wujudkan lebih peluang dialog, pertukaran menerusi persembahan, program silang budaya
PM Wong: Warisan rentas generasi lahirkan identiti budaya Melayu S’pura
Warisan yang diamalkan, dikongsi dan diperbaharui merentas generasi telah menghasilkan identiti unik di negara ini yang melahirkan bukan sekadar budaya Melayu, tetapi budaya Melayu Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Budaya itu berakar daripada tradisi, adat dan kepercayaan dunia Melayu merentas generasi, yang kemudian dibentuk dan ditakrifkan oleh pengalaman bersama sebagai rakyat Singapura.
Berkata demikian dalam ucapannya di festival pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM) pada 25 April, Encik Wong turut menggalak pusat itu agar menjalin kerjasama lebih mendalam merentas masyarakat agar dapat menjadi ruang yang dikongsi dengan lebih ramai warga Singapura, yang dapat mengalami sendiri budaya Melayu.
TWM dibuka semula kepada orang ramai pada 25 April setelah ditutup sejak 30 Oktober 2022 untuk kerja baik pulih, ubah elok, dan pembangunan semula secara menyeluruh.
Antara pembaharuan di TWM yang mengetengahkan naratif baru ‘Dari Rantau Ke Rumah’ adalah enam galeri tetap yang mempamerkan sebanyak 279 artifak.
“TWM yang diperbaharui ini menyampaikan kisah tersebut (warisan Melayu) dalam cara baru dan bermakna - dengan menjalin hubungan yang lebih mendalam bersama generasi baru warga Singapura. Ia melangkaui pameran statik dengan menawarkan pengalaman yang lebih imersif dan interaktif.
“Dengan cara ini mereka (pengunjung) dapat memahami dengan lebih baik bagaimana masa lalu telah membentuk siapa kita hari ini, dan bagaimana ia boleh menjadi panduan untuk kita melangkah ke hadapan,” kata Encik Wong.
Dalam ucapannya, beliau menyebut tentang beberapa tokoh Melayu setempat yang telah menyumbang ke arah perjalanan membangunkan Singapura sepanjang 60 tahun lalu seperti pengarang lagu kebangsaan, Encik Zubir Said.
Encik Wong turut menyorot sumbangan individu yang bekerja di balik tabir seperti editor Melayu wanita pertama Singapura, Puan Saleha, yang majalah Fesyen beliau dibaca puluhan ribu orang di Singapura dan Malaysia.
Beliau menekankan pentingnya untuk terus menyampaikan kisah tokoh-tokoh ini kerana mereka mengingatkan bahawa usaha membangunkan negara bukan daripada beberapa orang sahaja, tetapi adalah hasil kerja ramai orang merentas generasi.
“Melalui TWM yang diperbaharui ini, kita ingin menghidupkan kisah semua tokoh ini, agar generasi kini dan akan datang dapat mengambil pengajaran daripada mereka, serta meneruskan nilai-nilai yang mereka perjuangkan,” katanya.
Beliau juga menggalak TWM agar memperdalamkan kerjasama dengan masyarakat lain di Singapura demi memastikan pusat itu dan Kampong Gelam tidak sekadar menjadi ruang untuk satu masyarakat, tetapi menjadi tempat yang mempunyai makna yang dikongsi sama.
“Wujudkan lebih banyak peluang untuk dialog dan pertukaran menerusi persembahan dan program silang budaya. Jadikan ini ruang bukan untuk budaya dipelihara tetapi diamalkan dan dikongsi, yang mana lebih ramai warga Singapura dapat mengalami sendiri budaya Melayu dan mendalami pemahaman tentang asal usul dan identiti bersama.”
Selain itu, beliau mengesyorkan agar TWM bekerjasama rapat dengan rakan kongsi di Kampong Gelam, bagi meraikan warisan bersama kawasan itu, serta memastikan kawasan itu kekal meriah dan bersemangat.
“Pemerintah akan terus memainkan peranan untuk menyokong usaha-usaha ini, melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan, dan menyokong perniagaan warisan serta kegiatan budaya,” katanya.
