Satu cadangan untuk mengumpulkan dan membekalkan hasil tempatan kepada penjaja untuk membantu mewujudkan permintaan yang boleh “diramal dan tekal” untuk petani boleh diteroka Persekutuan Perniagaan Agro-Makanan Singapura (Safef) dan ladang tempatan.
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Encik Koh Poh Koon, menyatakan demikian sebagai menjawab soalan Encik Melvin Yong (Radin Mas) di Parlimen pada 7 Ogos.
“Tetapi ia bukan satu isu mudah untuk cuba meminta penjaja membeli daripada pembekal, kerana kebanyakan penjaja ini dan banyak perniagaan telah menjalinkan hubungan dengan pembekal tertentu, dan mungkin tidak begitu mudah untuk mereka bentuk hubungan ini dalam semalaman.
“Saya fikir Safef akan bersedia untuk bekerjasama dengan persatuan penjaja dan membincangkan model kontrak jangka panjang, di mana terdapat lebih ketekalan bekalan dan mutu yang baik, dan terdapat juga permintaan yang lebih baik untuk petani itu sendiri,” tambahnya.
Cadangan tersebut adalah antara beberapa cadangan yang dikemukakan oleh para AP bagi menyokong industri perladangan dengan lebih baik, berikutan penutupan beberapa ladang dan penurunan pengeluaran makanan pada 2023.
Cadangan lain yang dibangkitkan termasuk menggunakan pembiayaan geran untuk membantu industri pertanian mengimbangi sebahagian daripada kos operasi, dan memperluaskan sokongan pemerintah untuk membantu ladang meningkatkan dan mengkomersialkan produk mereka.
Cadangan tersebut datang di tengah-tengah penutupan ladang baru-baru ini dalam sektor pertanian baru muncul di Singapura, dengan syarikat pertanian seperti I.F.F.I dan Sky Greens mengurangkan operasi atau menutup sepenuhnya.
Pemerhati dan pakar sektor pertanian menyatakan harga elektrik yang tinggi dan kekurangan permintaan tempatan sebagai antara punca utama di sebalik cabaran yang dihadapi industri ini.
Safef telah berusaha untuk membantu menyelaras permintaan dan bekalan sayur-sayuran dan ikan keluaran tempatan dari beberapa ladang di sini dan menjualnya kepada pengguna pada harga lebih rendah dan meraih lebih banyak sokongan tempatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg